KISAH BUKU TAMU

Ini bukan lembaran dari 'Buku Tamu' saya - Gambar ihsan www.jipp-world.com


Saya tidak pasti sejak bila saya mula menggunakan buku tamu bagi merekodkan kehadiran saya dalam acara, program  atau mesyuarat yang saya hadiri. 
Seingat saya, sejak zaman persekolahan saya memang suka merakam dan merekod, dalam ertikata lain mendokumentasikan kehadiran teman-teman dalam sesebuah program yang saya hadiri.

Sebenarnya tidak semua kita gemar menuliskan maklumat asas di dalam buku tamu, kerana dikhuatiri akan dimanfaatkan untuk tujuan yang kurang digemari oleh kita.  Misalnya, ada tanggapan bahawa maklumat itu akan ‘dijual’ kepada si perunding kewangan mahupun agen insuran.

Namun sejak beberapa tahun, saya memang akrab membawa buku tamu ketika menghadiri pelbagai acara yang saya hadiri, walaupun ada tanggapan negatif namun saya tidak pernah berasa ‘marah’ atau kecil hati sekiranya ada teman-teman yang memilih untuk tidak menulis di dalam buku tamu saya.  Kerana saya seorang sahaja yang dilihat kerap membawa buku tamu, teman-teman dan kenalan saya sudah mampu mengecam ‘buku tamu’ saya.

Memang ada juga ketika bila, peserta yang hadir ‘enggan’ menulis maklumat mereka ke dalam buku tamu saya, misalnya seorang wartawan wanita sebuah portal berita propembangkang yang agak ‘bimbang’ untuk menulis maklumat dirinya.  Saya sekadar tersenyum dengan gelagat wartawan muda tersebut.  Rupanya ada juga wartawan yang seperti itu.

Sebenarnya banyak yang diperkatakan apabila sahaja saya mula mengedarkan buku tamu dalam sesebuah majlis mahupun program yang saya sertai, sama ada perkara yang memuji perlakuan saya ataupun sinis kerana memikirkan apa pula yang saya lakukan dengan maklumat yang ditulis dalam buku tamu saya.

Saya memang sangat serius dengan buku tamu saya, malah pada setiap acara atau program, saya akan mencetak ‘pelekat’ yang menerangkan butiran program mahupun acara yang saya sertai, supaya senang menjadi rujukan saya.  Sebenarnya banyak manfaat daripada maklumat yang dicatat di dalam buku tamu, misalnya saya akan menghantar jemputan secara email atau pesanan ringkas kepada teman-teman berdasarkan kecenderungan mereka menghadirkan diri dalam sesebuah acara.

Sepanjang saya menggunakan buku tamu, telah ramai orang kenamaan yang telah mencatat di dalam buku tamu saya, misalnya Perdana Menteri, Menteri Besar Selangor, mantan Menteri Besar Perak, Timbalan Menteri, aktivitis, penulis dan pelbagai lapisan masyarakat telah mencatat di dalam buku tamu saya.  Tidak ketinggalan juga tokoh-tokoh politik daripada kedua belah pihak Kerajaan dan juga pembangkang.

Mungkin pada zaman sekarang, penggunaan buku tamu kurang dianggap penting, mungkin disebabkan teknologi catatan di hujung jari seperti penggunaan iPad, telefon pintar dan pelbagai gajet yang mungkin menyebabkan ada kalangan yang menganggap catatan di dalam buku tamu dipandang remeh.

Walauapapun tanggapan umum mengenai buku tamu, ia pasti tidak menjejaskan kesungguhan saya ‘mengusung’ dan mengedarkan buku tamu pada setiap acara yang saya hadiri.  Semoga catatan di dalamnya akan menjadi kenangan dan sejarah pada masa akan datang.  Bukankah sejarah harus diangkat, dipulihara dan direnung!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
menarik, jarang melihat lelaki membawa buku tamu!
haji manap berkata…
pendokumentasian yang baik melalui buku tamu, namun tidak ramai yang masih menggunakan dewasa ini.
Yang bernama Siti berkata…
Menarik. Saya belum pernah melihat peserta acara membawa buku tamu. Yang biasa, buku tamu disediakan oleh pihak penganjur.
SIS berkata…
arwah bapa saya juga mengamalkan buku tamu ini..bila dia meninggal dunia, buku tamu ini banyak membantu saya menguruskan urusan2 yang tidak sempat diselesaikan oleh arwah bapa..begitu juga memudahkan saya menghubungi org2 yang arwah berurusan semasa hidupnya..mmg bagus untuk diamalkan..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?