KAEDAH BARU KAJIAN LAPANGAN?


Sesuai dengan semangat Malaysia Boleh, banyak inovasi yang dilakukan oleh rakyat Malaysia yang boleh kita banggakan.  Malah inilah juga yang dilaungkan oleh Perdana Menteri saban waktu.

Setiap masa pula ada sahaja rekod-rekod baru yang dicipta oleh rakyat negara ini, daripada rekod menggunakan pulut dan tempe untuk menghasilkan Jalur Gemilang yang besar saiznya, sehinggalah kepada majlis perkahwinan yang terbesar dan dihadiri begitu ramai ‘jemputan’ dicipta oleh rakyat kita.

Minggu lalu, Melaka sekali lagi melonjak  beberapa langkah ke hadapan dengan penganjuran majlis yang dihadiri lebih daripada 130,000 tetamu.  Ironinya acaranya adalah majlis perkahwinan anak Ketua Menterinya sendiri.   Khabarnya acara ini telah dimasukkan ke dalam Buku Rekod Malaysia, malah pegawai daripada Malaysia Book of Records telah hadir untuk menyampaikan sijil bagi mengesahkan rekod tersebut.

Saya tidak kisah malah tidak ambil pusing dengan majlis tersebut kerana ia adalah majlis peribadi milik Ketua Menteri dan keluarganya.  Tentu sudah ada pihak-pihak yang mempertikaikan bagaimana seorang Ketua Menteri boleh menganjurkan majlis sebesar itu, namun dengan semangat Malaysia Boleh tentulah tidak mustahil.  Misalnya dikhabarkan bahawa majlis tersebut mendapat ‘tajaan’ pihak-pihak tertentu.

Ketika SUARAM dan portal berita Malaysiakini  dibicarakan dengan begitu sekali kononnya menerima dana asing yang bakal menipiskan iman jati diri mereka, maka apakah bezanya sebuah majlis Ketua Menteri menerima ‘tajaan’ pihak-pihak yang berkepentingan.  Hanya ada dua kemungkinan sahaja, sama ada si penaja itu membalas budi atau menabur budi untuk habuan yang lebih selepas ini.  Kita tidak perlu berprasangka, namun meminjam ungkapan “nothing is free in this world”.

Selain itu timbul pula kecenderungan baru membuat kesimpulan kononnya bahawa bilangan kehadiran yang begitu ramai menunjukkan sokongan yang begitu kuat.  Teringat ketika rumah terbuka Perdana Menteri di Pekan pada minggu pertama Syawal yang lalu yang khabarnya meningkat daripada 50,000 kepada 80,000 orang pada tahun ini. 

Jikalau begitu mudah meningkatkan sokongan atau kaedah mengukur sokongan rakyat kepada pemimpin maka ianya juga satu inovasi dalam penyelidikan dan kajian lapangan  di negara kita. 

Rakyat Malaysia belum begitu buruk akhlaknya sehingga menolak undangan bagi menghadiri rumah terbuka para pemimpin mereka sama ada daripada pihak Kerajaan mahupun pembangkang, apatah lagi dalam semangat muhibah dengan pelbagai lapisan masyarakat di negara kita.  Biar bagaimana pun fahaman politik seseorang jika dijemput menghadiri majlis mahupun kenduri tentulah akan dihadiri dengan mengenepikan fahaman politik bagi menghargai jemputan.  Malah dalam budaya orang Melayu, “rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari” sering diulang-ulang.

Apa yang sangat malang adalah mengukur populariti dengan memberikan jamuan, apatah lagi jamuan beberapa jam seperti yang dilakukan ketika rumah terbuka Perdana Menteri dan majlis perkahwinan keluarga Ketua Menteri Melaka.  Mana-mana rakyat yang waras pertimbangan politiknya  tahu bahawa, jamuan seperti rumah terbuka Perdana Menteri dan majlis oleh Ketua Menteri Melaka akan dihadiri oleh puluhan ribu malah boleh mencapai ratusan ribu orang, kerana budaya rakyat Malaysia yang sukakan pesta makanan.

Maka apabila kehadiran yang begitu ramai dalam majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan majlis Ketua Menteri seperti yang berlaku di Melaka dijadikan kayu ukur popularitinya, tentulah amat melucukan.  Jika mahu dilihat lebih popular dan sokongan meningkat buat sahaja jamuan atau pesta makan, lagi lama lagi banyak sokongan dan selepas itu, mereka boleh mendabik dada dengan mengatakan sokongan rakyat terhadap mereka telah meningkat.

Sebenarnya, seorang kenalan baru sahaja menambah bidang dalam Sijil Kewangannya dengan menawarkan perkhidmatan katering dalam sebagai satu lagi bidang perniagaannya.  Ini sebahagian usaha menguar-uarkan perkhidmatannya, dia menawarkan khidmat katering, saya pula menawarkan khidmat kajian lapangan, satu kombinasi yang menguntungkan, selaras dengan semangat Malaysia Boleh!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
bila pulak bee end nak buat kenduri negara..
Tanpa Nama berkata…
ini teori ameno yg baru kot oleh profesor kangkungnya..
haji manap berkata…
ada ubi ada batas, ada budi boleh dibalas...
yani berkata…
semua rekod ada di malaysia..
Tanpa Nama berkata…
rekod mengalahkan majlis piem pun..
SIS berkata…
dah dasar nak menunjuk..itu je la yang dema dapat..hakikatnya ????

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?