KISAH RASHID & SHILA


Setiap kali pulang ke kampung sama ada untuk sambutan Hari Raya baik Aidil Fitri mahupun Aidil Adha, saya tidak akan lupa mengunjungi rumah enyang sebelah isteri saya yang dikhabarkan berusia lebih 100 tahun.  Enyang ini tinggal dengan salah seorang anaknya yang kami panggil Mak Su. 

Walaupun kini enyang ini telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, namun rutin menziarahi Mak Su tetap menjadi keutamaan.  

Mak Su adalah potret wanita yang kecoh sama seperti watak Zizie Zulkifli dalam drama Toll Gate Girl lakonan Amy Mastura beberapa tahun yang lalu.  Bezanya Mak Su telah berkeluarga dan juga telah menjadi ibu tunggal dengan tiga orang anaknya yang telah dewasa.

Saya mengingati Mak Su kerana beliaulah yang banyak membantu saya ketika majlis pernikahan saya dan isteri saya.  Sejak itu, setiap kali pulang ke kampung kami sentiasa mengunjungi Mak Su.  Tiga orang anak Mak Su  - dua lelaki dan seorang perempuan yang kebetulan mengalami masalah penglihatan.  Ketika beberapa tahun yang lalu, anak Mak Su, Shila telah dihantar untuk menjalani latihan di Pusat Orang Buta di Brickfield. 

Pada tahun lepas selepas abang-abangnya berkeluarga dan mempunyai anak, Shila pula dikahwin dengan seorang pemuda yang mempunyai masalah penglihatan yang sama sepertinya.  Rashid anak kelahiran Negeri Sembilan, saya merasa terkilan kerana tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan mereka tempohari kerana kekangan tugasan.

Ketika pulang beraya, saya diperkenalkan dengan Rashid suami Shila anak Mak Su.  Saya agak tergamam kerana memikirkan bagaimana mereka mengharungi kehidupan sebagai suami isteri, namun apa yang membanggakan ialah sifat kental pasangan muda ini.  Mereka tinggal di sebuah pangsapuri di Shah Alam, si isteri bertugas di Pusat Orang Buta di Brickfield manakala Rashid pula di Seksyen 24 Shah Alam.

Tuhan memang Maha Kaya dan Pemurah.  Kedua mereka pulang berhari raya ke kampung menaiki keretapi seusai Hari Raya kedua yang disambut di kampung Rashid di Negeri Sembilan.  Ketika kita yang celik, mengadu mengenai banyak perkara, saya amat terkesan dengan kisah cinta Shila dan Rashid menyokong sesama mereka, mengharungi kehidupan dalam serba kekurangan pasangan masing-masing.

Seusai sambutan Hari Raya di kampung tempohari, kami dijemput pula untuk ke rumah terbuka pasangan muda ini di Shah Alam pada hari Malaysia, kerana katanya ada ‘makan-makan’.  Saya sekeluarga sekali lagi tidak dapat hadir pada hari tersebut ke majlis rumah terbuka, namun berkunjung ke kediaman mereka pada keesokkan harinya.

Kisah mengenai rumah terbuka pasangan ini semalamnya diceritakan oleh Mak Su, katanya tidak menang tangan, malah jangkaan bilangan tetamu jauh meleset kerana sehingga selepas maghrib pun tetamu masih berkunjung, sehingga penyedia makanan menyediakan pula makanan tambahan tanpa bayaran tambahan, manakala Mak Su pula membantu menyediakan apa sahaja meraikan tetamu pasangan yang hadir.  Kehadirannya dianggarkan lebih 200 orang berbanding hanya sekitar 50 ke 80 orang yang dijemput.

Saya teringat, setiap kali ingin membuat rumah terbuka, akan ada banyak halangan dan kekangan sehingga menyulitkan kami untuk memanggilnya sebagai rumah terbuka yang rasmi, namun sentiasa mengalu-alukan sesiapa yang mahu hadir, namun kegigihan pasangan yang dengan serba kekurangannya melaksanakan rumah terbuka pada tahun pertama perkahwinan mereka memang menuntut keluarga saya menilai semula bagaimana kesungguhan untuk melaksanakan sesuatu dengan bantuan yang minima daripada keluarga masing-masing.

Benarlah, kita yang celik seperti tidak menghargai kehidupan, misalnya ketika berada di jalan raya, namun kisah kecekalan dan ketabahan serta rasa bersyukur dan redha pasangan muda Rashid dan Shila meruntun  sesiapa sahaja. 

Mungkin dalam kalangan kita memang ada ramai Rashid dan Shila di mana-mana, yang jarang kita melihat dengan mata hati, mungkin inilah masanya kita merenung anugerah Allah SWT untuk menyatakan rasa syukur bagaimana kehidupan kita yang cukup sempurna dengan segala nikmat yang diberikan Allah SWT.  Meminjam ungkapan Pak Arif dalam novel ‘Langit Petang’ SN/SR A. Samad Said  – “Ya Tuhan, terlalu banyak yang kau beri, terlalu sedikit yang ku balas”!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
terharunya...
SIS berkata…
kisah tn ks ini mengingatkan saya tntang ibu saudara belah suami saya yg kami panggil Mak Dak..Di usia tua mereka Mak Dak (70thn) menjadi buta krn masalh saraf dan Pak Dak (73thn) menjadi bisu akibat dr serangan Angin Ahmar sejak 5 thn yg lalu..mereka boleh hidup berdua di kg tanpa sbrg masalh..sdg anak2 hanya dtg menjenguk bila tiba hari raya...subhanallah..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?