GRADUASI BERSAMA AES!


Jika anda seorang pemandu yang berhemah, dengan pemanduan yang amat teliti, tidak pernah dikenakan saman, hidup anda bakal berubah selepas ini.  

Cawangan Trafik Polis DiRaja Malaysia misalnya mengeluarkan dua jenis notis saman – POL 170A  yang diberikan secara langsung kepada para pemandu yang melakukan kesalahan dan POL 257 atau yang lebih dikenali saman ekor.

Mulai 23 September 2012 yang lalu, misalnya Jabatan Pengangkutan Jalan memperkenalkan AES atau Sistem Penguatkuasaan Automatik.  Khabarnya dalam tempoh 10 hari  sahaja  sebanyak 63,558 imej kesalahan telah dirakamkan, dengan hanya 14 buah kamera!

Anda mungkin menganggap bahawa jika anda pemandu yang berhemah dan teliti, anda  tidak mungkin melakukan kesalahan, namun jangan lupa objektif utama pemasangan sistem AES oleh kerajaan adalah ‘kononnya bagi mengurangkan kemalangan jalan raya’, namun begitu apabilanya ianya dilaksanakan secara inisiatif pembiayaan swasta, maka ia telah menjadi satu lagi industri baru bagi menjana pendapatan bukan sahaja kepada syarikat swasta tersebut, tetapi juga pihak KERAJAAN.

Sistem AES bukanlah baru, pada tahun 1997 sahaja sebanyak 75 buah negara telah menggunakan sistem ini, malah sesetengah negara telah melakukan uji cuba seawal tahun 70an. Di Amerika Syarikat misalnya, penggunaan AES tidak begitu menjadi kerana kurangnya sokongan awam dan perundangan.  Di Norway pula, sistem ini tidak diteruskan.

Walaupun di negara ini sistem AES diperkenal bagi mencapai tujuan yang murni, namun ianya harus dilakukan secara telus dan tidak menganggapnya sebagai satu lagi model menjana ekonomi.  Salah satu aspek yang sering ditimbulkan adalah peringatan di mana sistem ini dipasang, dengan papan tanda yang jelas supaya para pemandu mahupun pengguna jalan tidak melihatnya sebagai satu ‘lukah’ untuk memerangkap mereka.

Pelbagai pihak telah menyuarakan ‘bantahan’ mereka, malah kerajaan negeri Pulau Pinang telah menangguhkan pelaksanaannya sehingga satu kajian terperinci dilaksanakan.  Ahli Parlimen daripada Kerajaan dan pembangkang juga mahukan sistem AES ini dikaji semula kerana dikhuatiri akan menjadi ‘medan penganiyaan rakyat’.

Walaupun di kebanyakan negara dilaporkan bahawa kadar kemalangan maut mampu dikurangkan sehingga 40% dengan penggunaan sistem AES, namun kejayaan ini mungkin hanya tinggal statistik di negara kita, ini kerana pelaksanaan sistem ini adalah melalui usaha bersama pihak swasta yang tidak berkongsi aspirasi murni pihak Kerajaan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut.

Satu lagi persoalan adakah pihak yang membangunkan sistem AES ini juga dilindungi dengan perjanjian berat sebelah seperti yang dipraktikkan dalam isu pelaksanaan pembinaan lebuh raya bertol – yang mengungkapkan bahawa Kerajaan akan ‘top-up’ jika tidak mencapai angka yang dipersetujui.

Jika anda pemandu yang berhemah, jangan cepat merasa seronok dengan pelaksanaan sistem AES, ini kerana jika kita mengkaji ‘kejayaan’ nya merakam 63,558 imej kesalahan dalam tempoh 10 hari, dengan hanya 14 kameranya, maka bayangkanlah jika kesemua 831 kamera yang dicadangkan berkuatkuasa, maka kebarangkalian anda tidak terkena ‘saman’ melalui sistem AES adalah sangat tipis.

Hal ini menjadi sangat mungkin kerana kekurangan sistem peringatan dan papan tanda serta penurunan had laju pada keadaan yang tidak disangka, misalnya jika daripada lebuhraya ke jalan biasa, seperti yang dilakukan di Jalan Puchong – Kajang berhampiran stesen minyak Shell.

Mungkin saya bakal dilabel sebagai tidak prihatin dengan soal keselamatan jalan raya kerana tidak menyokong sistem AES ini, sekurang-kurangnya itulah yang diungkapkan oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap implementasi sistem AES ini.   

Dengan pengenalan sistem AES, anda mungkin akan ‘menjadi’ salah seorang yang bergraduasi bersamanya.  Mungkin selepas ini pihak yang menjaga statsitik rekod di Malaysia boleh memasukan satu lagi kategori yang boleh dibanggakan – ‘rekod paling banyak dirakam oleh kamera sistem AES’, selamat mencuba, mungkin anda pemenangnya!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ini lukah yang moden..
Tanpa Nama berkata…
model baru ekonomi kot..
SIS berkata…
kajian juga menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang tertinggi mempunyai pemandu yg tidak mematuhi undang2...mungkin ia salah satu cara utk memberi ksedaran..diperingkat permulaan mungkin ramai yg tidak perasan dan 'terlupa' akan adanya kamera AES ni..lama2 nanti angka kesalahan tersebut pasti menurun...keuntungan di sebelah pihak tapi kita sbgai rakyat pun untung krn yg pastinya kawasan yang ada kamera AES ini kemalangan pasti tidak akan berlaku... keselamatan kita juga yg terjamin...kenapa perlu pandang secara negetif..positifnya juga ada..ini hanya pandangan peribadi saya..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?