PERNIAGAAN BARU BN!
Tabik ‘spring’ ketika membaca
berita mengenai usaha membeli tanah seluas 0.45 hektar pada harga RM450 sekaki
persegi oleh BN Pulau Pinang daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Tanah di Taman Manggis yang
menjadi punca kemelut oleh BN Pulau Pinang dan Kerajaan Pulau Pinang yang mendakwa tanah
tersebut sepatutnya dibangunkan untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Fasa
Kedua. Kerajaan Negeri pula didakwa
menjualkan tanah tersebut kepada syarikat swasta untuk pembinaan bangunan setinggi
30 tingkat merangkumi hotel, hospital swasta dan tempat letak kereta.
Semalam BN Pulau Pinang menyerahkan wang tunai RM224,073 sebagai
bayaran kesungguhan sebanyak 1%. Maksudnya harga tanah tersebut pada harga
RM450 sekaki persegi adalah sebanyak RM22,407,300.00. Wang sebanyak itu bukanlah sesuatu yang mudah
disediakan, apatah lagi jika melibatkan projek perumahan rakyat yang dikatakan
segmen yang tidak menguntungkan oleh pemaju mahupun institusi kewangan.
Jika hasrat BN Pulau Pinang berjaya (pada masa ini hanya 1% berjaya) untuk
membeli tanah tersebut sepenuhnya, maka beruntunglah rakyat Pulau Pinang
khususnya dan rakyat Malaysia amnya apabila BN Pulau Pinang mampu melaksanakan misi dengan niat murni
seperti itu.
Sebenarnya bukanlah mudah bagi
meyakinkan para pelabur untuk membeli hartanah pada harga seperti itu, namun
usaha BN Pulau Pinang mengambil cabaran
demi rakyat adalah sesuatu yang harus dipuji.
Misi membeli tanah di Taman
Manggis itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan BN merampas kembali Pulau
Pinang daripada DAP. Sekiranya usaha
Pemuda BN untuk membeli tanah tersebut berjaya sepenuhnya (selepas pembayaran
penuh dalam tempoh 30 hari), maka langkah seterusnya ialah membina Perumahan
Rakyat seperti yang mereka dakwa diabaikan oleh Kerajaan Pulau Pinang pada masa
ini.
Bagi mencapai misi tersebut, BN Pulau
Pinang telah menubuhkan sebuah entiti
baru yang telah diperbadankan iaitu Taman Manggis Fasa Dua Development Sdn Bhd.
Melihat semua ini, cabaran,
penubuhan syarikat, pembelian tanah pada harga yang tinggi seperti melihat satu
lagi episod program realiti seperti ‘The
Apprentice’ yang dihoskan oleh tokoh
hartanah terkenal Donald Trump, yang sangat popular suatu ketika dahulu.
Bukanlah niat kita mendoakan misi
oleh BN Pulau Pinang ini akan gagal,
jika niat yang murni seperti yang dilaungkan oleh BN Pulau Pinang bagi membangunkan Projek Perumahan Rakyat,
sesuai dengan gagasan 1 Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, tiada salahnya kita mendoakan mereka berjaya.
Walauapapun, BN Pulau Pinang
bakal melakar sejarah apabila sebagai pembangkang di negeri ini akan membina
Projek PPR yang diabaikan oleh Kerajaan Negeri.
Seperti juga misi menawan
Selangor, BN sedang dan akan melakukan apa sahaja cara untuk merampas kembali
kedua-dua negeri di samping Kelantan yang juga telah diperintah oleh PAS sejak
dua puluh dua tahun yang lalu.
Anehnya, BN Pulau Pinang seperti
tidak bijak apabila memilih untuk menjelaskan wang kesungguhan sebanyak RM224,073 dalam bentuk wang
tunai. Alasan yang diberikan adalah perkara
ini tidak dinyatakan di dalam surat tawaran kepada siapa bayaran harus
dilakukan.
Jika urusniaga sekecil ini pun
tidak boleh dilaksanakan secara serius dan sistematik bagaimana BN mampu
merebut dan menguruskan negeri maju seperti Pulau Pinang daripada DAP dalam Pilihanraya Umum yang akan
datang. Meminjam ungkapan Si Nabil,
pelawak – lu pikirlah sendiri!
Ulasan