IMPIAN HADIAH NOBEL


Setiap kali menjelang bulan Oktober saya menjadi sangat cemas dan ghairah, apatah lagi dengan pelbagai aktiviti sastera di negara kita khususnya di Lembah Kelang.  Setiap kali juga menatap wajah para penulis yang telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara juga penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara (SEA Write Award), saya masih memasang angan-angan.   

Katalah apa sahaja, namun impian saya untuk melihat sasterawan kita menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan tidak pernah surut.

Pada tahun ini, Hadiah Nobel Kesusasteraan akan diumumkan pada hari Khamis nanti. Khabarnya penulis Jepun, Haruki Murakami adalah calon yang disebut-sebut untuk dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel bagi bidang Kesusasteraan.

Haruki Murakami bakal menambah lagi seorang penulis dari Jepun sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan
Haruki Murakami, novelis Jepun yang terkenal dengan karya pasca moden, yang dimulai dengan novel Hear The Wind Sing di samping puluhan cerpen dan hasil terjemahannya.  Novelnya Umibe no Kafuka yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Kafka On The Shore, memenangi World Fantasy Award for Novels pada tahun 2006.  Mula menulis ketika berusia 29 tahun, malah sebelum itu beliau dikhabarkan tidak pun pernah menulis.

Hadiah Nobel pengiktirafan tertinggi bagi apa jua bidang yang diberikan saban tahun.  Jika Haruki Murakami menepati ramalan untuk memenanginya pada tahun ini, maka Jepun akan mempunyai seorang lagi penerima Hadiah Nobel bidang Kesusasteraan di samping Yasunari Kawabata dan Kenzaburo Oe yang masing-masing menerimanya pada tahun 1968 dan 1994.

Selain daripada Haruki Murakami, seorang lagi penulis dari benua Asia yang disebut adalah penulis dari negara Cina, Mo Yan.

Apa yang terkesan oleh saya adalah para penerima Hadiah Nobel bagi bidang kesusasteraan kebanyakannya jikapun tidak semua menetap beberapa ketika di luar negara khususnya di Amerika Syarikat dan Eropah. Haruki Murakami juga tidak terkecuali apabila meninggalkan Jepun pada tahun 1986, mengembara ke Eropah dan menetap di Amerika Syarikat, sebagai penulis tamu di Universiti Princeton dan Universiti Tufts, sebelum kembali selepas peristiwa gempabumi Kobe pada tahun 1995.

Mungkin sasterawan kita boleh ditaja atau disokong untuk menjadi penulis tamu di universiti luar negara seperti yang dilalui oleh sasterawan dari Jepun, China dan India?  Hal ini bukanlah mustahil jika semua pihak benar-benar serius untuk melihat sasterawan Malaysia dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Walaupun telah ada penerima Hadiah Nobel daripada kalangan warga Asia namun apa yang lebih manis jika akan ada penerima daripada negara kita, Malaysia.  Pada hari Khamis nanti penerima  penerima Hadiah Nobel bidang Kesusasteraan akan diumumkan, maka impian saya untuk melihat penulis Malaysia menjadi penerimanya pada masa hadapan akan juga terus menyala dengan maraknya!

Ulasan

ct berkata…
wow, sy berkongsi impian tn ks juga..
Tanpa Nama berkata…
adakah pihak2 yg serius?
SIS berkata…
cubalah tn ks jadi penulis..tulis buku..sbb tulisan kat blog tn ks byk membuka mata dan mengajak berfikir diluar kotak...mana tau satu hari hadiah nobel jadi milik tn ks...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?