KITA SEMUA AYAH HALIM
Tidak
ramai daripada kalangan reformis yang tidak mengenali sosok bernama Abdul Halim
Abdul Hamid. Beliau lebih dikenali
sebagai Ayah Halim dalam kalangan mereka.
Ayah Halim meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya
pada 24 April yang lalu.
Ayah
Halim adalah potret seorang reformis tegar yang sangat serius dalam
perjuangannya. Terkenal dengan sifat dan
semangat kebapaan, Ayah Halim adalah ikon gerakan rakyat.
Minggu
lalu dalam program bulanan kami – Baca Puisi Madrasah Seni yang bertemakan Kita
Semua Ayah Halim, buku tribut untuk allahyarham dilancarkan. Buku tribut Kita Semua Ayah Halim mengandungi
catatan dan luahan rasa dan pengalaman oleh 36 orang yang mengenali Ayah Halim
daripada pelbagai sisi.
Selain
dari kenalan rapat, juga terdapat mereka yang langsung tidak pernah bertembung
atau berselisih dengan kelibat Ayah Halim.
Saya adalah salah seorang daripadanya.
Namun begitu ianya tidak merencatkan keinginan saya mencatat sesuatu
kepada lelaki istimewa gerakan rakyat di negara kita.
Selain
dari mencatat, saya juga mengambil tanggungjawab penerbitan istimewa ini. Selepas tarikh tutup untuk menghantar karya
pada penghujung bulan Mei, kami di tim editorial hanya mempunyai masa kurang
daripada dua minggu untuk memastikan naskhah Kita Semua Ayah Halim menemui
khalayak.
Selain
daripada kenalan, kaum keluarga Ayah Halim juga menyumbangkan tulisan antaranya
adalah anak Ayah Halim – Adam Adli yang pernah menggemparkan negara apabila
menurunkan bendera berwajah Perdana Menteri di PWTC.
Halijah
Hashim, Amir Amin dan Harun Hamid adik allahyarham Ayah Halim juga
menyumbangkan kerinduan terhadap abangnya.
Saya
sendiri tidak menyangka apa yang sebenarnya dimulai daripada keinginan untuk
menghargai seorang wira tidak didendang bertukar menjadi satu yang sangat
mengesankan.
Idea
awalnya dicetuskan oleh Dinsman, Presiden PAKSI yang disambut oleh kami dengan
perasaan yang teruja.
Biarpun
saya mengulangi rekod berjaga selama lebih 48 jam, namun rasa puas menguliti
kisah seorang reformis tulen pasti akan tersimpan kemas dalam lipatan kenangan
saya.
Saya
sengaja memilih untuk menulis mengenai Kita Semua Ayah Halim bagi menginsafi
pengorbanan seorang insan kecil berjiwa besar yang telah begitu banyak
berkorban. Meletakkan kepentingan orang
lain melebihi kepentingan dan keperluan diri sendiri.
Dalam
semangat Ramadan, marilah kita merenung sejenak insan seperti Ayah Halim yang
sanggup berkorban demi memastikan kita hidup sebagai rakyat Merdeka dalam
Malaysia yang lebih insani.
Selamat
Menyambut Ramadan dan menjalani ibadah dalam bulan mulia ini.
Ulasan