ADAB AHLI SUKAN

Saya mementingkan adab.  Mungkin pembawaan saya dan ketegasan ayah saya ketika saya membesar.  Malah anak-anak mamak selalunya mempunyai adab yang tinggi walaupun sekarang ini kalangan kaum India Muslim seperti telah kurang beradab.

Saya tidak mahu bercakap mengenai adab, namun sesuatu yang penting adalah adab oleh ahli sukan.

Akhir-akhir ini kita mendengar pelbagai tingkah laku atlet mengenai sikap dan kurang adab mereka di padang.  Ketika perlawanan bola sepak dalam Sukan Sea yang baru melabuhkan tirainya di Singapura, pemain kebangsaan Nazmi Faiz Mansor digantung enam perlawanan kerana kurang adab.

Pemain itu yang mewakili pasukan kebangsaan skuad bawah 23 tahun, digantung gara-gara meludah pemain Timor Leste ketika perlawanan pada 30 Mei yang lalu.

Walaupun Nazmi Faiz dikhabarkan seorang yang berbakat dan berpotensi membantu pasukan Malaysia namun kerana kurang adabnya dia terlepas enam perlawanan berikutan keputusan Jawatankuasa Tatatertib Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Insiden yang berlaku ketika aksi perlawanan pembukaan Kumpulan B di Singapura menentang Timor Leste.  Tindakan pemain muda itu yang meludah Filipe Oliveira menyebabkan beliau dibuang padang oleh pengadil Chuan Hui Foo dari Singapura dan menyebabkan pasukan Malaysia bermain dengan 10 orang sahaja.

Pemain import Trengganu, Paulo Rangel pula digantung selama enam bulan dan kehilangan peluang untuk mewakili Trengganu dalam baki perlawanan dalam Liga Super.

Selain berkasar dengan pengadil apabila bertindak menolak pengadil dia juga menendang bola kea rah penolong pengadil tambahan.

Insiden itu berlaku ketika Rangel yang mewakili pasukan Trengganu menentang Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 Mei yang lalu.

Walaupun Rangel boleh membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan oleh FAM, namun apa yang lebih penting adalah ketegasan FAM terhadap isu adab pemain ketika beraksi di padang. 

Selain bakat, kemahiran dan prestasi yang cemerlang ketika beraksi, pemain juga harus belajar beradab dan mengekang sikap panas baran mereka yang diterjemah kepada aksi kurang adab yang seterusnya menyusahkan dan merugikan bukan sahaja diri sendiri tetapi juga pasukan yang mereka wakili.

Rupanya, adab di atas padang juga adalah tidak kurang penting seperti juga skil dan kemahiran sebagai pemain bola sepak yang cemerlang.


Walaupun insiden membabitkan Nazmi Faiz dan Paulo Rangel mungkin boleh dianggap sebagai sesuatu yang terpencil namun FAM juga perlu menerapkan kaedah-kaedah motivasi yang boleh membantu para pemain untuk mengawal sikap mereka di atas padang.  

Janganlah sehingga insiden seperti yang berlaku ketika Sukan Sea itu berulang baharulah kita berusaha untuk menerapkan adab sukan kepada para atlet kita!  

Salam Ramadan.

Ulasan

anep berkata…
kalau dah panas baran elok jgn bersukan..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?