BAZAR & BAZIR!

Ramadhan kembali lagi.  Dan membeli makanan untuk juadah buka puasa akan kelihatan seperti pesta.  Di sana-sini akan ada tapak bazar Ramadhan.  Daripada yang perdana sampailah sekecil-kecil bazar Ramadhan di simpang taman perumahan.

Ironinya, segala macam makanan dijual di bazar Ramadhan.  Malah, gerai pasar malam yang kerap saya kunjungi memaklumkan saya bahawa dia akan berniaga di Bazar Ramadhan Jalan Raja Alang sepanjang bulan Ramadhan ini.  Seorang lagi peniaga pula menghulurkan saya notis kecil memaklumkan lokasi perniagaannya sepanjang bulan Ramadhan.

Memanglah wajar ramai memilih untuk menjalankan perniagaan demi menambah pendapatan dengan berniaga di bazar Ramadhan.  Tiada salahnya berniaga atau menambahkan pendapatan.  Namun begitu patut juga diingat supaya para peniaga benar-benar memanfaatkan peluang untuk menambah pendapatan dan bukannya menambah sumpah dan seranah dari para pembeli dan pengunjung.

Selain dari bazar Ramadhan, satu lagi aktiviti adalah juga pembaziran sepanjang Ramadhan.

Akhbar Berita Harian dua hari lepas melaporkan bagaimana pelbagai bentuk pembaziran khususnya ketika mejalani ibadah di bulan Ramadhan. Dilaporkan bahawa rakyat Malaysia membazirkan 1000 tan makanan sehari pada bulan Ramadhan ini.  Jika kita tidak boleh membayangkan 1000 tan, inilah yang lebih mudah 1 tan = 1000 kg, maka 1000 tan adalah bersamaan 1,000,000 kilogram makanan.   Pembaziran ini seperti satu fenomena yang menjelekkan setiap kali dalam bulan Ramadhan.

Jumlah makanan yang dibazirkan itu pula boleh digunakan untuk memberikan makanan kepada 7 juta orang setiap hari.  Ironinya, yang terbabit dengan pembaziran di negara kita adalah umat Islam yang mengerjakan ibadah puasa.

Pembaziran yang paling nyata adalah ketika berkunjung ke bazar Ramadhan.  Hampir semua yang nampak mahu dibeli.  Seorang sahabat saya secara berseloroh memberitahu bahawa dia berbelanja sebanyak RM70.00 pada hari pertama berpuasa.

Dengan keluarga kecil dua orang dewasa dan tiga orang anak, maka nilai perbelanjaan sebegitu tentulah dianggap melampau.

Semangat Ramadhan yang menganjurkan kesederhanaan, bersyukur dan berpada-pada bertukar menjadi pesta makanan yang luar biasa meriahnya.

Setiap kita bukan tidak tahu malah ditegaskan saban kali menjelang Ramadhan untuk bersederhana, tidak membazir, apatah lagi membazir adalah amalan syaitan.  Namun mungkin kita beranggapan tidak mengapa kerana Ramadhan hanya setahun sekali.  Biar apa pun alasannya, bazar dan bazir adalah dua perkara yang menjadi pengisian dalam bulan Ramadhan.


Moga amalan membazir akan dapat kita semua minimakan atau tiadakan langsung sebagai mengambil semangat kesederhanaan bulan mulia ini. Ramadhan, moga kita terus bersederhana!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
eloklah berpada2
SIS berkata…
dah tiga tahun sy x jejak kaki ke bazar ramadhan..lebih selesa masak n makan sendiri bersama anak2..puas hati n kuranglah dosa mengumpat penjual..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?