FAM, PERLUKAH BERMAIN DI WAKTU MALAM DALAM BULAN RAMADAN?

Saya sedikit terganggu.  Mungkin kerana peningkatan usia.  Terganggu sebab perlawanan bola sepak dalam bulan Ramadan ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.  Sungguhpun mungkin ini telah beberapa tahun menjadi kebiasaan, namun entah mengapa saya merasa sangat terganggu ketika ini. 

Sungguhpun perlawanan ini khabarnya diadakan selepas jam 9.30 malam, namun di manakah rasionalnya mengadakan perlawanan dalam bulan Ramadan.  Apatah lagi di sebuah negara yang mendabik sebagai negara Islam.

Ada juga perlawanan yang dimulakan pada jam 8.30 malam mengundang rasa tidak senang ketua pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) misalnya, Hairuddin Omar yang mempertikaikan jadual perlawanan iaitu hanya 30 minit selepas berbuka puasa.

Adakah FAM yang diterajui oleh orang Islam tidak mampu untuk faham bagaimana para peminat bakal terencat untuk melakukan ibadah solat sunat terawih apabila perlawanan diadakan pada jam 8.30 malam.  

Memanglah solat terawih bukanlah sesuatu yang fardhu sifatnya, namun begitu mengadakan perlawanan bola sepak pada waktu malam ketika Ramadan dalam sebuah negara seperti Malaysia akan menjadi semacam momokan.

Bukankah lebih molek jika FAM dan pasukan-pasukan negeri berehat daripada segi pertandingan bola sepak, tetapi boleh juga mengisi sepanjang bulan Ramadan dengan latihan dan motivasi serta menyusun strategi di luar padang.  Bukankah lebih manis jika FAM merintis inisiatif untuk meniadakan sebarang perlawanan dalam bulan Ramadan yang mulia.

Rasanya FAM dan persatuan negeri boleh menggunakan sepanjang bulan Ramadan bagi menganjurkan ceramah, tazkirah dan motivasi serta melatih para pemain untuk mengawal nafsu dan panas baran supaya tiada insiden ‘meludah’ atau ‘menendang dan menolak pengadil’ seperti yang dicetuskan oleh Nazmi Faiz dan Paulo Rangel.

Memanglah ‘kubur adalah urusan masing-masing’ malah di stadium juga disediakan kemudahan surau dan lain-lain untuk tujuan melakukan ibadah.  Namun seperti saranan seorang penolong jurulatih asing yang menganggap permainan selepas jam 9.30 malam adalah tidak begitu menyihatkan kepada para pemain muda.

Adakah FAM akan dianggap tidak maju dan ketinggalan jika bertegas untuk tidak melaksanakan sebarang perlawanan dalam bulan Ramadan?  Jawatankuasa Pertandingan FAM seharusnya memikirkan keperluan bermain dalam bulan Ramadan dan merangka aktiviti lain selain dari perlawanan bola sepak untuk membolehkan para peminat dan pemain menumpukan sepenuh pengisian dalam bulan Ramadan. 


Atau adakah FAM masih berpegang, bulan Ramadan bukanlah penghalang kepada aktiviti bola sepak di negara kita?  

Mungkin FAM akan  diketawakan kerana tidak melaksanakan pertandingan bola sepak dalam bulan Ramadan, tetapi rasanya lebih ramai yang tidak gemar permainan dalam bulan Ramadan dan akan menyokong tindakan FAM yang luarbiasa ini!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?