HARGA ROKOK NAIK LAGI!

Semalam dikhabarkan harga rokok akan dinaikkan sebanyak RM0.30 sekotak.  Dengan penjualan minima adalah kotak berisi 20 batang, maka kenaikan RM0.30 hanyalah ‘celah gigi’ bagi para perokok.

Walaupun harga sekotak rokok adalah lebih daripada RM13.00, namun percayalah para perokok hanya akan tersenyum untuk mencari alasan baru bagi meneruskan ketagihan mereka.

Malah para perokok tegar memang sukar untuk mengatasi tabiat merokok mereka.  Baru-baru ini beberapa hari menjelang Ramadan, saya berada di Masjid Negara.  Ketika menaiki tangga untuk ke ruang solat, kelihatan seorang yang baru sahaja keluar dari ruang solat, namun telah meletakkan rokok di bibirnya untuk bersedia menyalakan apinya.

Insiden yang satu lagi adalah apabila saya menghadiri majlis berbuka puasa secara tetap bagi beberapa tahun di ibu kota.  Pemerhatian saya, setiap kali pasti ada perokok tegar yang menunggu laungan azan dengan mengepit rokok dan memulakan berbuka puasa dengan merokok!

Mungkin ada yang menganggap saya agak keterlaluan untuk memberi gambaran yang buruk terhadap para perokok.  Namun percayalah, apa sahaja anda katakan, ianya hanya akan dibalas dengan senyuman sinis mereka.

Pernah seorang ustaz mengajukan saranan kepada para isteri yang suami mereka merokok untuk bertanyakan adakah mereka sebenarnya suka mempunyai seorang suami perokok.  Jawapannya boleh diagak.

Khabarnya harga rokok dinaikan adalah berikutan adanya cukai barang dan perkhidmatan (GST). 

Kenaikan harga rokok atau apa sahaja yang berkaitan dengannya tidak akan mengurangkan jumlah perokok.  Percayalah.  Walaupun terdapat pelbagai alternatif bagi rokok.  Misalnya rokok elektronik, shisha dan sebagainya namun rokok dan perokok adalah seperti irama dan lagu.  Berpisah tiada.

Selepas kenaikan harga rokok, tentulah gejala rokok seludup atau yang dibawa masuk tanpa membayar cukai akan berleluasa.  Mungkin, pihak berwajib patut menumpukan kepada rokok seludup.  Ini kerana ia juga boleh menyumbang hasil kepada Kerajaan berbanding rokok ‘halal’.

Walaupun merokok difatwakan ‘haram’ namun kerana cukai keatasnya telah dijelaskan maka ia menjadi rokok ‘halal’.  Seperti yang diamarankan oleh seorang kenalan saya kepada ipar dan mentua yang menegur tabiat merokoknya.

“Tak hisap rokok, tak kaya pun”.  


Selamat menikmati kenaikan harga!
Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger