DERA & KERA!

Saya rasa puasa saya agak tidak sempurna hari ini.  Apa tidaknya, sejak pecah berita anak kecil berusia lima tahun didera bapa kandung dan ibu tirinya, saya merasa sangat geram.

Kisah ibu tiri bukanlah sesuatu yang baru.  Perihal ibu tiri mendera anak tirinya bukanlah sesuatu yang asing.  Malah perlakuan ini telah banyak kita tonton dalam filem mahupun drama TV.  Namun yang menjadikan saya lebih geram adalah si bapa kandung sendiri tergamak mendera anaknya sendiri.

Seperti yang sering kita  dengar, binatang pun tau sayangkan anaknya.  Cuba-cubalah meragut anak daripada induknya. 

Mungkin si ibu tiri tidak mempunyai hubungan biologi dengan anak tersebut, namun si bapa kandung yang seperti binatang membiarkan anak dan darah dagingnya sendiri didera oleh isteri barunya adalah sesuatu yang menyedihkan.  Dayus sangat si bapa kandung ini.

Anak kecil berusia lima tahun itu, Nur Zuliana Zaara Mohd Mishabuddin didera dengan teruk.  Selain daripada berat badan yang menyusut, anak kecil tersebut dikhuatiri akan mengalami kecacatan kekal akibat deraan daripada ibu tiri dan bapa kandung ‘syaitan’nya.

Ironinya, anak ini adalah mangsa perpisahan ibu dan bapanya.  Saya tidak faham bagaimana seorang ibu boleh membenarkan si bapa menjaga seorang anak perempuan atau sehingga si ibu tersebut tidak menjengah anaknya sendiri sejak berpisah pada tahun 2013.

Jika benarlah penderaan ini dilakukan oleh si bapa kandung dan ibu tiri anak ini, maka yang lebih wajar adalah menghumbankan kedua-dua mereka ke dalam penjara.  Si ibu juga harus dipertanggungjawabkan kerana membiarkan perlakuan seburuk itu terjadi kepada anaknya.

Khabarnya kedua-dua ibu tiri dan bapa kandung yang mendera anak ini telah pun ditahan oleh pihak polis dan sedang direman untuk siasatan.  Semoga anak ini akan kembali pulih dengan segala bantuan oleh pihak hospital.


Moga hukuman pendera yang setimpal dikenakan kepada mereka jika didapati benar-benar terlibat dengan penderaan anak tersebut.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?