ADAB KAIN SARUNG!

Seorang kenalan saya meminta saya menulis entri berhubung dengan arahan pakaian di premis kerajaan.  Sebelum itu dia meminta pandangan saya mengenai layanan kain sarung oleh pegawai RELA di JPJ beberapa minggu lepas.  Kata saya, saya bersetuju dengan tindakan pegawai RELA tersebut. 

Sebagai sebuah agensi Kerajaan tentulah, premis-premis kerajaan mempunyai kod etika berpakaian yang dianggap sesuai untuk berurusan.  Maka apabila pegawai keselamatan yang diberikan mandat untuk memastikan semua pelanggan dan pelawat yang ingin berurusan untuk mematuhi kod etika berpakaian, saya tidak nampak sebarang kesalahan.

Sesiapa sahaja yang melihat gambar sipemakai berskirt merah boleh membuat kesimpulan sendiri sama ada pakaian yang dipakai untuk ke premis kerajaan itu adalah sesuai atau tidak.

Dengan penduduk berbilang bangsa, kaum dan agama tentulah seseorang dapat membezakan pakaian yang dianggap sesuai untuk ke sesuatu tempat apatah lagi berurusan di premis kerajaan.  Adakah mereka ini bebas berpakaian semahu mereka tanpa perlu ditegur.  Bukankah sebagai tuan rumah kita berhak menetapkan etika berpakaian ke rumah kita, jika kita mahu.

Rasionalnya mudah, jika anda mahu berurusan di sesuatu tempat, sila patuhi etika berpakaian.  Jika anda rasa anda tidak mahu dipaksa berkain sarung yang disediakan, sila datang semula pada ketika yang lain untuk berurusan dengan pakaian yang sesuai.

Ironinya, samada JPJ dan SUK yang menjadi majikan pengawal keselamatan yang diberi mandat memilih untuk memohon maaf di atas perlakuan pengawal keselamatan mereka.  Dan wakil rakyat yang bebal pula tiba-tiba mahu menjadi jaguh.

"Mengapa kaki wanita diperiksa? Mengapakah pengawal keselamatan ini melihat kaki wanita? Adakah ini peranan baru pengawal keselamatan?

"Memandangkan JPJ telah memohon maaf minggu lalu secara terbuka, mengapakah pengawal keselamatan di SUK menguatkuasakan polisi ini?"

Dan wakil rakyat yang bebal, mempertahankan pelawat yang memasuki premis mereka dengan pakaian yang tidak begitu sesuai.  Adakah dua-dua keputusan  JPJ dan SUK dipengaruhi emosi politik berbanding rasional adab.

Mungkin selepas ini, sesiapa yang mahu ke bangunan SUK atau berurusan dengan JPJ boleh sahaja berpakaian semahu mereka, kerana jelas samada JPJ mahupun SUK tidak menghormati mandat dan etika berpakaian yang sepatutnya dikuatkuasakan oleh pengawal mereka sendiri.

Siapa sahaja tahu, setiap premis kerajaan mempunyai etika berpakaian mereka sendiri.  Misalnya sekolah, apatah lagi yang berurusan dengan orang awam.

Anehnya, salah seorang yang dipertahankan oleh si wakil rakyat yang bebal adalah wartawan yang memang sedia tahu dan sepatutnya tahu etika berpakaian ke premis kerajaan.  

Cubalah berpakaian seperti itu ke bangunan Parlimen.  Anda pasti dialu-alukan jika mempunyai wakil rakyat yang bebal!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
bravo bro,..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?