AIR LAGI!

Minggu lepas, kemelut air di Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma disiarkan oleh stesen TV3.  Memang menyedihkan, apatah lagi menonton visual warga emas yang terpaksa mengangkat air untuk kegunaan saban hari.  Malah dalam satu sesi temuramah dengan penduduk yang terbabit dengan kemelut itu, merayu campur tangan DYMM Sultan Selangor.

Bandar Tasik Kesuma adalah beberapa kilometer sahaja jaraknya daripada kediaman saya.  Namun saya bersyukur, saya tidak mengalami masalah ketiadaan air yang serius seperti mereka.

Tidak pasti adakah masalah air yang serius seperti yang dilaporkan dalam siaran TV3 dan akhbar Sinar Harian hanya meliputi kawasan pangsapuri itu sahaja atau membabitkan kawasan sekitarnya juga.

Akhbar Sinar Harian di muka hadapannya menyiarkan kemelut air dan sengsara para penghuni pangsapuri Bandar Tasik Kesuma yang mengalami kesulitan air sejak bermulanya Ramadan.  Khabarnya masalah ini agak kerap bagi mereka.

Masalah selama dua tahun yang dialami oleh para penghuni pangsapuri ini khabarnya telah dilaporkan, namun belum ada sebarang pelan tindakan bagi mengatasi masalah ini.

Ironinya, isu air memberikan peluang kepada BN untuk menabur bakti.  Seperti yang dilakukan oleh YB Datuk Johan Abdul Aziz yang mengedarkan air minuman percuma kepada para penghuni di situ.

Isu air di Selangor bukanlah sesuatu yang baru, namun catuan sering dihebahkan melalui media, namun apa yang terjadi kepada penghuni pangsapuri Bandar Tasik Kesuma adalah sesuatu yang memeranjatkan.  Adakah masalah teknikal lain yang berlaku di lokasi tersebut?

Rasanya Kerajaan Negeri harus berbuat sesuatu selain daripada menyediakan lori tangki Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dengan bekalan air berwarna kuning yang diragui untuk dibuat minuman.

Menteri Besar dari PKR yang khabarnya bertemu dengan pimpinan PKR dalam satu pertemuan bulanan melontarkan saranan ini.

"Saya telah meminta semua pimpinan Keadilan memberi tumpuan dan fokus untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat Selangor dan memastikan aspirasi rakyat ini dapat dipertahankan dan dilaksanakan tanggungjawab masing-masing di semua peringkat.”


Mungkin selepas ini, Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma dan masalah airnya akan menjadi sasaran blusukan Menteri Besar Selangor itu.  Tunggulah dengan baldi untuk dihadiahkan kepada Menteri Besar!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?