KITA SEMUA AYAH HALIM

Tidak ramai daripada kalangan reformis yang tidak mengenali sosok bernama Abdul Halim Abdul Hamid.  Beliau lebih dikenali sebagai Ayah Halim dalam kalangan mereka.  Ayah Halim meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 24 April yang lalu.

Ayah Halim adalah potret seorang reformis tegar yang sangat serius dalam perjuangannya.  Terkenal dengan sifat dan semangat kebapaan, Ayah Halim adalah ikon gerakan rakyat.

Minggu lalu dalam program bulanan kami – Baca Puisi Madrasah Seni yang bertemakan Kita Semua Ayah Halim, buku tribut untuk allahyarham dilancarkan.  Buku tribut Kita Semua Ayah Halim mengandungi catatan dan luahan rasa dan pengalaman oleh 36 orang yang mengenali Ayah Halim daripada pelbagai sisi.

Selain dari kenalan rapat, juga terdapat mereka yang langsung tidak pernah bertembung atau berselisih dengan kelibat Ayah Halim.  Saya adalah salah seorang daripadanya.  Namun begitu ianya tidak merencatkan keinginan saya mencatat sesuatu kepada lelaki istimewa gerakan rakyat di negara kita.

Selain dari mencatat, saya juga mengambil tanggungjawab penerbitan istimewa ini.  Selepas tarikh tutup untuk menghantar karya pada penghujung bulan Mei, kami di tim editorial hanya mempunyai masa kurang daripada dua minggu untuk memastikan naskhah Kita Semua Ayah Halim menemui khalayak.

Selain daripada kenalan, kaum keluarga Ayah Halim juga menyumbangkan tulisan antaranya adalah anak Ayah Halim – Adam Adli yang pernah menggemparkan negara apabila menurunkan bendera berwajah Perdana Menteri di PWTC.

Halijah Hashim, Amir Amin dan Harun Hamid adik allahyarham Ayah Halim juga menyumbangkan kerinduan terhadap abangnya.

Saya sendiri tidak menyangka apa yang sebenarnya dimulai daripada keinginan untuk menghargai seorang wira tidak didendang bertukar menjadi satu yang sangat mengesankan.
Idea awalnya dicetuskan oleh Dinsman, Presiden PAKSI yang disambut oleh kami dengan perasaan yang teruja.

Biarpun saya mengulangi rekod berjaga selama lebih 48 jam, namun rasa puas menguliti kisah seorang reformis tulen pasti akan tersimpan kemas dalam lipatan kenangan saya.

Saya sengaja memilih untuk menulis mengenai Kita Semua Ayah Halim bagi menginsafi pengorbanan seorang insan kecil berjiwa besar yang telah begitu banyak berkorban.  Meletakkan kepentingan orang lain melebihi kepentingan dan keperluan diri sendiri.

Dalam semangat Ramadan, marilah kita merenung sejenak insan seperti Ayah Halim yang sanggup berkorban demi memastikan kita hidup sebagai rakyat Merdeka dalam Malaysia yang lebih insani.

Selamat Menyambut Ramadan dan menjalani ibadah dalam bulan mulia ini.


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
dimana boleh dapatkan buku ayah halim tu,..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?