APABILA SUARA ‘RAKYAT’ DIQAMATKAN
Bajet 2013 yang dibentangkan
penghujung September yang lalu khabarnya adalah pengisian untuk semua segmen
masyarakat Malaysia. Apa tidaknya, semua
lapisan masyarakat menerima habuan secara langsung mahupun tidak langsung,
hatta si peniaga yang rakus pun menerima tempiasnya melalui kenaikan harga yang
tidak beretika selepas kakitangan awam menerima bonus.
Antara cadangan yang turut
mengiringi selepas pemberian bonus yang
‘meriah’, kakitangan awam adalah cadangan pinjaman perumahan kakitangan awam
yang selama ini diuruskan oleh Kerajaan melalui Bahagian Pinjaman Perumahan
akan diambilalih oleh bank komersil.
Walaupun kadar faedah semasa yang
dinikmati oleh kakitangan awam akan kekal pada paras 4% setahun, namun cadangan
pengambilalihan oleh bank komersil dibantah oleh CUEPACS badan induk yang
mewakili kepentingan kakitangan awam di negara ini.
Malah, dikhabarkan bantahan
tersebut adalah bantahan yang sungguh-sungguh.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman dikatakan “dihujani panggilan dan sistem pesanan ringkas yang mahu
skim pinjaman perumahan tidak diserahkan kepada bank komersil”.
Nampaknya para penjawat awam
seramai 1.3 juta pun seperti ‘tidak percaya’ dengan bank komersil di negara
ini, sekurang-kurangnya itulah tanggapan anda dan saya jika diteliti permintaan
para penjawat awam melalui CUEPACS.
Banyak sebenarnya insiden berhubung
bank komersil yang agak tidak meyenangkan malah terdapat banyak rungutan atau
kejengkelan terhadap bank komersil di negara ini, misalnya kes rumah
terbengkalai, yang sering menjadi mangsa adalah para peminjam dan bukannya
pemaju yang seolah-olah ‘menikmati imunasi’ daripada Kerajaan.
Lain pula kisahnya dengan para
pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membantah usaha MMC Corporation
Berhad di bawah jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mahu
mengambilalih KTMB daripada pihak Kerajaan.
![]() |
Piket oleh para pekerja KTMB - Gambar ihsan: pkrl.blogspot.com |
Ini bukan kali pertama KTMB di’serah’kan
kepada pihak swasta kerana sebuah entiti Konsortium Marak Unggul Sdn Bhd pernah
menguruskan KTMB di antara 1997 hingga 2002, namun dengan pelbagai kemelut
sehingga memaksa Kerajaan mengambil semula KTMB daripada entiti tersebut.
Seperti juga bantahan CUEPACS
mengenai pengambilalihan pinjaman perumahan oleh bank komersil, pekerja KTMB
juga membantah sekeras-kerasnya ura-ura usaha pengambilalihan KTMB oleh MMC
Corporation Berhad.
Rasional bantahan pekerja KTMB
adalah sangat wajar memandangkan Kerajaan baru sahaja melantik Datuk Elias
Kadir sebagai Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad yang baru pada Mei yang
lalu. Jika hanya dalam masa lima bulan
sahaja di bawah pimpinan baru maka tentulah tidak bermakna jika ianya mahu
diserahkan kepada entiti swasta pula, kerana adalah amat mustahil untuk melihat
perubahan dalam tempoh yang sangat singkat seperti itu.
Jika Kerajaan serius ‘rakyat didahulukan’
maka suara para penjawat awam dan para pekerja KTMB walaupun tidak begitu
ramai, namun harus didengar dan diteliti, dan tidak seperti melepaskan
tanggungjawab kepada pihak swasta seperti bank komersil dan entiti swasta yang
menyerahkan cadangan untuk pengambilalihan KTMB.
Ulasan