LARA BAHASAKU LARA

Minggu lepas selepas meneliti satu artikel yang ditulis oleh seorang kolumnis di dalam akhbar Berita Harian, masih saya tertanya apakah tulisan dalam artikel tersebut telah menjadi realiti atau sekadar cadangan seorang akademik.

Tulisan Dr. Teo Kok Seong dari UKM dalam Berita Harian 26 Jun 2014 yang berjudul “Kecekapan Bahasa Melayu Wajib Untuk Kewarganegaraan” memang mengundang persoalan yang bukan sedikit.

Apa tidaknya selepas lebih separuh abad negara mencapai kemerdekaan, kita masih teraba-raba untuk menguatkuasa perihal kecekapan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi kita.

Saya memang mengkagumi kolumnis ini kerana jiwa dan semangat memperjuangkan Bahasa Melayu kadang-kadang dilihat lebih melayu dari melayu.

Memang mudah untuk meletakkan sesuatu asas untuk dilihat sebagai seorang warganegara khususnya di Malaysia.  Amat tragis jika dilihat bukan sahaja ada segelintir rakyat Malaysia yang gagal berbahasa Melayu dengan baik, dan yang amat memeranjatkan adalah bahawa kadang-kadang kegagalan ini juga terpancar dalam kalangan para pemimpin di semua peringkat.

Jika seorang rakyat biasa seperti anda dan saya gagal berbahasa Melayu dengan baik, ia masih boleh diterima namun lain halnya jika seorang pemimpin yang lahir dan membesar di negara ini gagal menguasai Bahasa Melayu dengan baik malah kadang-kadang menjadi bahan ketawa.

Tidak pasti adakah Bahasa Melayu antara bahasa yang paling mudah dikuasai kerana tidak ada satu kajian secara ilmiah di mana-mana yang menunjukkan ia merupakan bahasa yang paling mudah dikuasai.  Namun begitu amat memeranjatkan apabila para pendatang asing misalnya dari Bangladesh begitu fasih berbahasa Melayu walaupun kurang setahun berada di bumi Malaysia.

Dewan Bahasa & Pustaka yang diberi mandat untuk mendaulatkan Bahasa Melayu masih lagi dibelenggu hambatan-hambatan penguatkuasaan kerana kuasa bertindih khususnya dengan pihak berkuasa tempatan. 

Iklan-iklan perniagaan yang bercelaru Bahasa Melayu masih menjadi jenaka di kalangan rakyat kita.  Jika benarlah saranan kolumnis terhadap penguasaan Bahasa Melayu sebagai satu asas kewarganegaraan maka seperti yang diungkapkan beliau mengenai kaum Cina di negara ini.

“Walau bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia yang menjadi warganegara secara automatik kerana dilahirkan di negara ini, didapati tidak cekap berbahasa Melayu. Malah, ada yang boleh dikategorikan sebagai tidak boleh berbahasa Melayu langsung.

Meskipun demikian, dengan tiada pengetahuan baik dan penguasaan tinggi dalam bahasa rasmi negara, mereka ini didapati terus mampu hidup dengan selesa dan sesetengahnya mewah lagi, tanpa sebarang musibah sosial. Hal begini bukan saja tidak terdapat, tetapi tidak dibenarkan berlaku di negara lain.”

Jika pandangan kolumnis ini diambil kira, maka tentulah ramai golongan daripada peniaga Cina yang sepatutnya merasa malu kerana membina kekayaan di negara ini namun gagal mendakap kecintaan dan penguasaan bahasa rasmi negara yang memberikan kehidupan kepada mereka.

Mungkin parti-parti politik harus menggembelingkan usaha mereka dan tidak hanya bergantung kepada agensi-agensi Kerajaan untuk memastikan setiap warganegara kita harus dan mampu berbahasa Melayu dengan baik sejajar dengan pilihan mereka untuk menjadi warganegara Malaysia sama ada secara automatik, permohonan dan lain-lain kaedah dan proses kewarganegaraan.

Dasar Bahasa Negara sedia ada wajar diperkasa dan dikuatkuasa.  Adakah selepas 57 tahun negara merdeka kita masih mahu menggariskan peraturan berbahasa seperti yang diungkapkan oleh seorang ustaz dalam tazkirah Ramadan. 

“Selepas berpuluh-puluh tahun berpuasa, ini bukanlah ketikanya kita berdebat mengenai batal tidak puasa dengan perlakuan-perlakuan yang telah kita sedia maklum.  Tetapi yang lebih penting adalah menambah nilai dalam ibadah puasa kita.”


Adakah selepas 57 tahun Malaysia merdeka, persoalan mengenai kefasihan warganegara berbahasa Melayu dengan baik masih menjadi persoalan, meludah ke langit terpercik ke muka sendiri!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
melayuku oh melayuku...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?