PERLU APA TUKAR MB SELANGOR?

Sejak pilihanraya kecil ‘dipaksa’ di Kajang pada penghujung Mac yang lalu, kerusi Menteri Besar Selangor seperti diasak-asak untuk dikosongkan oleh penyandangnya sekarang.  Pilihanraya kecil Kajang yang diberikan jolokan ‘Langkah Kajang’ khabarnya adalah untuk mengukuhkan parti PKR.  Namun lain pula ceritanya selepas parti itu berjaya mengekalkan kerusi DUN Kajang.

Selepas beberpa bulan pilihanraya kecil tersebut berlangsung dan dimenangi oleh Presiden parti PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, cerita panas kerusi MB muncul kembali.   Strategi awal adalah untuk meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun tidak kesampaian kerana masalah teknikal berhubung kes mahkamah beliau.

Kerusi MB Selangor kini menjadi kerusi panas, apa tidaknya saban hari ada sahaja berita mengenai kerusi MB negeri termaju di Malaysia ini.  Malah telah ada usaha-usaha terang-terangan yang mahu MB Tan Sri Khalid Ibrahim untuk berundur.

Walaupun MB gagal mempertahankan kedudukannya di peringkat bahagian, namun ia bukanlah asas dan penentu untuk beliau mengosongkan kerusi MB.  Ini kerana prestasi beliau sebagai MB adalah sangat cemerlang sebagai pentadbir dan pengurus kerajaan negeri.

Selain itu, umum juga tahu bagaimana seorang MB juga harus mendapat restu dan diterima oleh Sultan.  Sehingga kini sejak Tan Sri Khalid memegang jawatan Menteri Besar Selangor pasca PRU-ke 12 pada 2008, tidak pernah terdengar apa-apa yang kurang menyenangkan daripada Tuanku Sultan Selangor.  Jika adapun hanyalah teguran bagi memperkukuhkan jentera pentadbiran di Selangor.

Namun lain pula yang dilihat oleh mereka-mereka yang mahukan MB sekarang berundur.  Kelemahan Tan Sri Khalid yang diuar-uarkan oleh pemimpin dalaman parti adalah bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim tidak ‘mesra parti’ dalam ertikata lain tafsiran yang diberikan adalah bahawa banyak keputusan yang beliau lakukan tidak dibincangkan dengan pemimpin parti.

Tan Sri Khalid sejak menerajui Selangor bermula dari tahun 2008, telah ada banyak yang disumbangkan kepada rakyat dan negeri Selangor yang tidak pernah dilakukan oleh Menteri Besar sebelum ini, malah oleh Barisan Nasional selama lebih lima dekad.

Rakyat Selangor tidak mungkin lupa bagaimana mereka menikmati pemberian air percuma sebanyak 20 metrik padu di bawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.  Malah isu air di Selangor juga hampir menemui jalan penyelesaian dengan usaha terancang beliau dan kerjasama dengan Kerajaan Pusat.

Sebagai seorang Menteri Besar tentulah Tan Sri Khalid memerlukan kebebasan mentadbir dan membuat keputusan demi manfaat negeri dan rakyatnya.  Alasan bahawa beliau membelakangkan parti sepatut tidak wujud, malah tidak perlu bagi seorang Menteri Besar untuk mendapatkan pandangan sebelum melaksanakan sesuatu keputusan dan tindakan.

Rasanya BN tidak pernah mendesak Menteri Besar mana-mana negeri di bawah BN untuk dinasihatkan oleh parti sebelum membuat sebarang keputusan terhadap negeri mereka.

Menteri Besar sebagai ketua pentadbiran dan pengurus sesebuah negeri tentulah mempunyai garis panduan dan amalan-amalan yang perlu diikuti dan hanya meminta pandangan Perdana Menteri dan Presiden parti jika berkaitan dengan polisi dan bukannya semua keputusan.  Jika demikian tentulah PKR telah merendahkan martabat dan pemikiran seorang Menteri Besar seperti Tan Sri Khalid ke taraf hanya sebagai ‘budak suruhan’ dan ‘pelaksana’.

Menteri Besar sekarang harus dibiarkan mentadbir negeri dan hanya melaporkan bila perlu kepada parti dalam mesyuarat dalaman mereka.  Parti sepatutnya berusaha menyokong Menteri Besar sehingga penggal beliau tamat atau hanya jika beliau disabitkan dengan sebarang salah laku yang serius.

Sebagai rekod, pentadbiran Menteri Besar Selangor pada masa sekarang adalah memberangsangkan, sungguhpun dikhabarkan tidak ‘mesra parti’ kerana umum telah sedia tahu gaya pengurusan beliau sejak di zaman Guthrie dan PNB dahulu.  Siapa yang boleh lupa bagaimana Tan Sri Khalid antara yang terlibat dalam usaha mengembalikan pemilikan syarikat perladangan Guthrie kepada Malaysia dalam satu operasi yang diberi nama ‘Dawn Raid’.

Sebaiknya PKR haruslah menumpukan kepada usaha mengukuh dan memperkasa parti, apatah lagi dengan pelbagai insiden yang kurang menyenangkan sepanjang pemilihan parti tersebut berlangsung.  Malah insiden ketika pemilihan parti kini menjadi bahan jenaka saban hari.


Adalah amat memalukan bagi sebuah parti yang bertunjangkan keadilan untuk mendesak perubahan tampuk pimpinan sebuah negeri dengan cara yang ‘tidak begitu lelaki’!
Share this article :
 

+ komen + 3 komen

Tanpa Nama
7 Julai 2014 4:24 PTG

perlu sgt..sbb tak masyukk...

Tanpa Nama
7 Julai 2014 8:23 PTG

tukar mb hilang la sellangor kepada bn..

anep
7 Julai 2014 10:46 PTG

ini la padah meroyan org politik..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger