GILA APA?


Sesuai dengan semangat Malaysia Boleh, kita juga tidak sunyi dengan saranan dan pemikiran aras tinggi khususnya daripada para pemimpin.   Terkini adalah saranan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor.

Beliau dilaporkan berkata sedang bercadang untuk melaksanakan hukuman denda kepada pemberi dan peminta sedekah kerana budaya meminta sedekah mencemar imej negara.

"Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita 'angkut' kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing”.

Ironinya alasan yang digunakan oleh menteri berfikiran aras tinggi ini adalah bahawa kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing.  Bukankah telah sedia ada hukuman kepada warga asing yang memasuki negara ini, atau adakah mereka ini pendatang asing tanpa izin.  Jika apa pun sebenarnya saranan menteri berfikiran aras tinggi ini sebenarnya menampakkan kelemahan agensi penguatkuasaan khususnya terhadap warga asing.

Amalan bersedekah adalah amalan mulia yang dituntut oleh ajaran Islam.  Sebagai sebuah yang agama rasminya adalah Islam, yang mana pengurusan haji yang dikagumi negara lain, yang mana penganjuran tilawah Al-Quran saban tahun menjadi idola negara Islam yang lain, saranan menteri berfikiran aras tinggi ini tentulah dianggap ‘buang tebiat’.

Malah ada hadis sahih menyebutkan Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

Bersedekah juga adalah salah satu nilai murni yang menjadi amalan setiap insan tanpa mengira agama.  Apabila menteri berfikiran aras tinggi memberikan saranan atau sedang memikirkan untuk melaksanakan tafsiran baru kepada yang bersedekah, bukankah ianya menghantar isyarat yang salah khususnya kepada generasi baru dan anak-anak kita.

Adakah kerana kita terlalu mahu menjaga imej negara dan ibu kota, sehingga menghakis nilai-nilai murni dan amalan baik dalam kalangan rakyat dan umat Islam.  Selain itu menteri tersebut juga bercadang untuk mengehadkan lokasi pengedaran makanan percuma kepada geladangan kerana khabarnya mengundang kekotoran.

Amat malang bagi sebuah ibu kota seperti Kuala Lumpur dan Malaysia mempunyai seorang menteri berfikiran sempit seperti ini.  Apa tidaknya bukan sahaja badan-badan bukan kerajaan ini berusaha mengumpul dana, menyiapkan makanan untuk disedekahkan kepada golongan gelandangan sebagai satu amalan mulia, kini mereka pula diletakkan pelbagai hambatan bagi melaksanakannya.

Apalah yang lebih dituntut dalam aspek kemanusiaan jika agensi-agensi di bawah menteri berfikiran aras tinggi tersebut tidak pun boleh digerakkan untuk membersihkan bandaraya, bukannya untuk memberi makan pun! 

Jika menteri berfikiran aras tinggi menjengah ke lokasi-lokasi di mana pengagihan makanan dilakukan, tentu beliau akan mendapat gambaran bahawa sampah yang ada tidak begitu teruk berbanding sampah oleh pengunjung konsert yang lesennya diberikan oleh agensi di bawah menteri berfikiran aras tinggi.


Dalam bulan Ramadan Al-Mubarak yang Islam menganjurkan amalan bersedekah yang lebih, saranan menteri berfikiran aras tinggi yang beragama Islam, seperti menghina umat Islam dan ajaran Islam, mungkin ada baiknya menteri tersebut memikirkan semula idea ‘gila’nya sebelum lebih ramai mengungkapkan, gila apa!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
meroyan kot...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?