MESIN JUDI, BUKAN CERITA BARU!

Kisah mesin judi yang menjadi isu utama dan iltizam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bukanlah sesuatu yang baru.  Malah jika ianya adalah gossip, bolehlah diibaratkan sebagai gossip yang basi.

Mesin judi telah menular di negara kita khususnya di bandar-bandar besar dan juga pekan-pekan kecil sejak awal tahun 90an.

Ironinya perusahan kecil dan sederhana mesin judi ini dipelopori oleh kaum Cina dan pelanggan terbesarnya adalah kaum Melayu.  Ini bukanlah andaian namun adalah realiti.  Malah ada juga dakwaan bagaimana perusahan kecil dan sederhana mesin judi ini dinaungi oleh ‘bapa angkat’ daripada kalangan penguatkuasa sama ada polis atau pun pihak berkuasa tempatan.

Pernah terdapat sebuah laporan sebuah akhbar yang mendedahkan bagaimana perusahan kecil dan sederhana mesin judi ini beroperasi seolah-olah sebuah perusahaan yang halal hanya beberapa ratus meter daripada sebuah pondok polis.  Malah senario lambakan mesin judi di pekarangan balai polis juga bukanlah sesuatu yang asing, misalnya di Balai Polis Pandan Indah.

Membanteras perusahaan kecil dan sederhana mesin judi ini memerlukan usaha bersepadu semua pihak dan tidak hanya menudin jadi kepada pasukan PDRM.  Tentulah amat mustahil jika hanya PDRM dibebani dengan tanggungjawab ini dan tidak mendapat kerjasama daripada agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional dan Jabatan Bekalan Air dan agensi penguatkuasaan yang lain.

Jika Menteri Dalam Negeri pada masa ini, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu meninggalkan legasi dan diingati, beliau haruslah beriltizam untuk membanteras perusahaan kecil dan sederhana mesin judi ini sehingga ke akar umbi.  Jika terdapat mana-mana pegawai penguatkuasa di bawah KDN yang dikenalpasti melindungi mana-mana pengendali perusahaan kecil dan sederhana mesin judi haruslah dihukum sewajarnya dan bukanlah dipindahkan ke tugasan meja sahaja!

Secara peribadi saya pernah mendengar dan melihat sendiri bagaimana perusahaan kecil dan sederhana mesin judi ini sebenarnya memporak perandakan sebuah keluarga yang mengusahakan sebuah restoran di sebuah pusat membeli belah di pinggir ibu kota.

Si bapa, yang merupakan lulusan sebuah universiti luar negara mengendalikan restoran tersebut bersama isterinya.  Pada peringkat awalnya si bapa ini membuat urusan pembelian bahan-bahan mentah untuk jualan, namun selepas wujudnya perusahaan kecil dan sederhana mesin judi di kompleks membeli belah tersebut, beliau menjadi ketagih kepada mesin judi atau mesin kuda ini.

Akhirnya wang yang dibekalkan untuk membeli bahan-bahan mentah ini akan disedekahkan kepada perusahaan kecil dan sederhana mesin judi ini.  Malah mengikut cerita isterinya, anak perempuan pasangan ini juga pernah dicagarkan untuk melepaskan nafsu ketagihan terhadap perusahaan kecil dan sederhana mesin judi ini.

Pembongkaran demi pembongkaran mengenai perusahaan kecil dan sederhana mesin judi ini sebenarnya tidak membantu apa-apa pun, yang penting adalah bersungguh-sungguh membanterasnya sehingga ke akar umbi.

Kenyataan Ketua Polis Negara bahawa peningkatan rampasan sebanyak 35% pada tahun ini sahaja sebenarnya bukanlah sesuatu pencapaian yang baik jika peningkatan perusahaan kecil dan sederhana mesin judi ini adalah pada kadar 350% setiap tahun!

Selain daripada penguatkuasaan, hukuman juga harus dikenakan kepada pemilik premis agar berhati-hati dan memastikan bahawa premis sewaan mereka tidak terlibat dengan perusahaan kecil dan sederhana mesin judi ini.


Sebenarnya perusahaan kecil dan sederhana mesin judi adalah seperti industri huluan yang mencambah industri hiliran yang lain seperti judi pertaruhan, sindiket pelacuran dan cetak rompak.  Ini adalah amanah kepada PDRM dan bagaimana anda mahu diingati oleh rakyat dan generasi akan datang. 

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
mesin kuda berlambak, kdg nmpak polis pun main

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?