TIADANYA KEBEBASAN AKADEMIK DAN BOBROKNYA DUNIA AKADEMIK DI MALAYSIA
TIADANYA KEBEBASAN AKADEMIK DAN BOBROKNYA DUNIA
AKADEMIK DI MALAYSIA
July 16, 2014 · oleh Dr Shaharir Mohamad Zain · dalam Makalah
Ringkasnya, kebebasan akademik ialah kebebasan
penyelidikan, pengajaran-pendidikan dan penyuaraan (lisan atau tulisan) bisikan
qalbu kecendekiawanan. Kebebasan ini terhakis sejak 1970-an dahulu
sehingga kini tinggallah kerak-keraknya yang tipis sahaja. Bagaimana ini boleh
berlaku?
Kakitangan akademik universiti awam di Malaysia
sejak tahun 1974, menerusi penyemakan skema perkhidmatan baharu universiti di
bawah Laporan Harun, diiktiraf sebagai kakitangan
perkhidmatan awam kategori badan berkanun. Sejak itu jugalah kakitangan
akademik terpaksa menerima skema perkhidmatan yang serupa dengan yang dinikmati
oleh kakitangan awam, walaupun banyaklah penyetaraan ahli akademik dengan
pegawai perkhidmatan awam itu yang tidak sesuai. Satu daripada yang paling
tidak sesuainya ialah dipaksanya pemakaian “Perintah Am” kepada ahli
akademik sedangkan peraturan yang terkandung di dalamnya ialah segala macam
peraturan yang dianggap sesuai dan patut “tidak bolehnya” bagi seseorang
“penjawat awam” itu bertentangan dengan tabii dan tatakerja seseorang ahli
akademik. Ahli akademik adalah seorang penyelidik (pengkritik, penginovasi atau
pembina ilmu), pengajar (penyampai ilmu secara bebasnya) dan cendekiawan
masyarakat (pengkritik membina dan jurucakap masyarakat). Oleh itu kepatuhan
kepada “Perintah Am” itulah bermulanya terpangkas dan tercantas dengan parahnya
cara hidup seseorang ahli akadamik atau sarjana, iaitu bebas berfikir dan bebas
bersuara secara lisan dan tulisan di khalayak mana jua yang difikirkannya layak
hatta kepada ketuanya atau pihak berkuasa termasuklah kerajaan. Mereka perlu
hidup seperti pekerja kerajaan yang sentiasa patuh pada ketuanya dan
lebih-lebih lagilah pada kerajaan. Mereka perlu berhati-hati mengajar dan
menggunakan ilmunya agar tidak dapat ditafsirkan sebagai mengandungi anasir
yang bertentangan dengan “Perintah Am” itu.
Tidak cukup dengan “Perintah Am” itu, pada 1978
kerajaan mewujudkan lagi sebuah peraturan yang mengemaskan lagi apa-apa yang
longgar, menutup apa-apa liang atau mewujudkan apa-apa yang tiada dalam
“Perintah Am” itu menerusi satu lagi “perintah” yang dinamanya “Tatatertib
Guru” . “Perintah” baharu ini memang ditujukan khas kepada para kakitangan
akademik universiti (awam). Istilahnya pun sudah merosakkan tabii kakitangan
akademik kerana kakitangan akademik bukannya seorang guru dalam pengertian
patuh kepada guru besar atau pengetuanya dan mengajar benda yang sudah termapan
kukuh (ilmu asas), menghabiskan sukatan pelajaran yang ditetapkan oleh pihak
lain, walaupun pendekatannya masih patut juga secara kritis, inovasi dan
kreatif yang sepatutnya dilakukan di universiti. Apa pun di dalam “Tatatertib
Guru” inilah ditegaskan tidak bebasnya seseorang kakitangan akademik bersuara
(lisan atau tulisan) dan bahkan tidak bebasnya ahli-ahli akademik berkumpul
sehingga boleh ditafsirkan menggugat pihak berkuasa universiti, apatah lagi
kerajaan. Semua kegiataan sebegini perlulah mendapat izin daripada Naib
Canselor. Kebebasan akademik benar-benar terbongkas! Sejak itu ahli akademik
tidak lagi patut menyuburkan dirinya sebagai seorang cendekiawan masyarakat.
Satu daripada sektor kebebasan akademik, iaitu bebas bersuara (lisan dan
tulisan) perlahan-lahan menuju ke arah kebungkaman. Akibatnya, kini amatlah
sukar mendapati seorang ahli akademik yang mahu mengambil tahu tentang
masyarakatnya, alam sekitarnya, atau tentang sesuatu dasar dari pihak berkuasa
di peringkat mana sahaja bagi merelevankan ilmunya kepada masyarakatnya dan
pihak berkuasa itu secara kritis dan kreatifnya. Bahkan mereka, walaupun dari
dalam bidang ilmu kemasyarakatan, kemanusiaan atau keagamaan, enggan mengaitkan
atau mengheretkan ilmunya dengan apa-apa yang berlaku di sekelilingnya, seperti
yang sepatutnya, kerana dihantui oleh “Perintah Am” dan “Tatatertib Guru” itu.
Mereka benar-benar mahu berada di dalam dunianya sahaja, mengelakkan dirinya
daripada masyarakatnya supaya jauh daripada terkena bahana “Perintah Am” atau
“Tatatertib Guru” itu. Mereka hanya senyap-senyap berstrategi (mungkin juga
berkumpulan tolong-menolong dan tenggek-menenggek) mendaki menara gading yang
disediakan oleh pihak berkuasanya sahaja. Mereka hanya menumpukan kepada
penyelidikan yang diswatapis (self censored) menggali telaga ilmunya
sedalam dan sesempit mungkin kerana itulah yang disukai oleh ketuanya dengan
pemberian pelbagai penyanjungan kebendaan dan bukan kebendaan.
Kemudian sejak sekitar belasan tahun kebelakangan
ini pula, mereka lebih-lebih lagilah menumpukan kepada kegiatan menggali telaga
itu “secara yang paling selamat” lagi dalam penyelusurannya ke menara gading
itu akibat “Aku Janji” yang dipaksa menyetujuinya itu. “Aku Janji” ini
seanalog sekali dengan istiadat para pegawai kerajaan Funan (Malayu kuno) abad
ke-5 M dahulu yang dipaksa mengadap Barahmana dan Acharya di
hadapan api untuk bersumpah setia sehingga, jika mereka ingkar kelak,
sangguplah mengorbankan jiwa-raganya dan rela dilahirkan semula dalam tiga
puluh dua naraka selagi ada Matahari dan Bulan. Itulah semangat yang
dikehendaki oleh “Aku Janji” itu pun.
“Perintah Am”, “Tatatertib Guru” dan “Aku Janji”
menjadikan ahli akademik tidak lagi berfungsi atau berupaya untuk menghidupkan
konsep kebebasan akademik itu, malah sebahagian besarnya menjadikan konsep itu
tidak relevan lagi dengan dunia akademiknya. Kebebasan akademik ditimpa sakit
teruk, dan tiadalah pula tempat untuk mengubati atau diubatinya; malah
dibiarkan begitu sahaja menuju nazak!
Sementara itu ada pula sistem kepemerintahan atau
tataperintah universiti yang menjadikan konsep kebebasan akademik itu memang
tidak relevan lagi. Bagaimana kebebasan itu relevan jika semua kaedah perlantikan
ketua-ketua pentadbir akademik dari ketua jabatan hingga kepada Naib Canselor
tidak dilakukan secara beranasirkan demokrasi? Semuanya ditentukan oleh
seorang-dua sahaja! Ketua jabatan dan dekan oleh Naib Canselor, manakala TNC
oleh Menteri Pendidikan dan NC oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana
Menteri; dan Lembaga Pengarah Universiti oleh Menteri Pendidikan atau Yang
Di-Pertuan Agong (untuk Pengerusinya). Jika pun, pada akhir-akhirnya ini, ada
dipaparkan unsur pendemokrasian itu tetapi ternyata itu hanya permainan wayang
sahaja. “Perakuan ramai” atau “perakuan jawatankuasa pemilih” tidak semestinya
diikuti oleh pihak berkuasa.
Selanjutnya, Senat yang secara
rasminya dianggap kemuncak kuasa ahli akademik dalam menentukan apa jua hal
akademik sudah lama (sejak tahun 1974 itu) tidak berkuku sedemikian. Sering
kali persetujauan senat dalam penawaran kursus umpamanya tidak diluluskan oleh
pihak berkuasa yang lebih berkuku daripadanya (Kementerian Pendidikan).
Sudahlah demikian, sering kali pula senat dipaksa bersetuju memperakukan
sesuatu kursus (dikategorikan kursus universiti) atau kaedah pengajaran
(seperti Pembelajaran Berasaskan Masalah, ISO, penggunaan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar ilmu sehingga menjangkau kepada mata
pelajaran pengajian Melayu) untuk dilaksanakan; atau penganugerahan ijazah
kehormat kepada seseorang individu; penganugerahan ijazah sarjana atau D.Fal,
bahkan perlepasan tangga-tangga ke menara gading itu pun (semuanya perlu
persetujuan penilai daripada pihak Ketua Penyunting jurnal luar negara seperti
jurnal ISI dan sebagainya). Semua ini memang tidaklah susah
berlaku kerana ahli akademik sudah laih dan sudah tidak kesah lagi dengan hal
yang dianggapnya tiada relevan dengan titian ke menara gadingnya (akibat
lamanya dibelenggu oleh 3 jenis rantai kongkongan jiwa dan hati budinya yang
telah disebut di atas).
Dengan senario kedudukan dunia akademik dan sistem
tataperintah universiti yang diperihal di atas, maka apa yang berlaku pada
Prof. Ridzuan di UM baru-baru ini adalah suatu yang bersahaja berlakunya.
Kebanyakan ahli akademik sendiri pun sama ada tidak tahu kejadian ini (kerana
berada dalam telaga dalamnya), tak kesah, atau yang sudah sentiasa dengan pihak
kuasawan (iaitu ahli akademik profesional, atau dalam bahasa yang agak kasarnya
ahli akademik upahan) cuba berteori atau berhujah mempertahankan keadaan itu.
Hanya seorang-dua yang menyuarakan kejengkilannya terhadap peristiwa itu tetapi
tidak pula menyentuh isu yang besar yang mendasari kejadian ini seperti yang
dibicara di atas. Hal ini sudah banyak kali berlaku dan berlakunya itu bukan di
UM sahaja, cuma tidak menjadi heboh kerana individu, masa dan tempatnya tidak
berada di seni taman politik sekarang. Selagi keadaan yang lebih asas
yang diperihalkan di atas tentang kebebasan akademik itu tidak ditangani,
khususnya rantai-rantai belenggu itu diputuskan dan sistem tataperintah
universiti kini (warisan hampir setengah abad yang lepas lagi) direformasikan,
maka tiadalah yang dapat diselamatkan lagi kedudukan dunia akademik kita
daripada terus menerus ke tahap kebobrokan dan peristiwa yang sama dengan yang
berlaku pada Prof Ridzuan itu akan berulang dari masa ke masa nanti.
Shaharir b.M.Z. (Dr.)
Ketua GATERA
17 Ramadhan 1435/15 Julai 2014
Ketua GATERA
17 Ramadhan 1435/15 Julai 2014
Ulasan