GAZA MESTI DIPERTAHANKAN, PALESTIN MESTI DIBEBASKAN DAN ISRAEL MESTI DIHUKUM

Kami, organisasi dan individu yang bertandatangan di bawah, menyatakan kutukan keras kami kepada keganasan tentera Israel Occupation Force (IOF) keatas Gaza. Pembunuhan rakyat Palestin di Gaza sejak serangan itu dilancarkan pada hari Selasa , 8 hb Julai 2014 yang lalu adalah pengulangan  serangan tentera Israel pada 2008/2009 dan 2012. Serangan yang diberi nama oleh IOF itu  sebagai Operation Protective Edge telah diumumkan akan menjadi operasi ketenteraan yang akan berlarutan dalam jangka masa yang panjang.

Kini pencerobohan sekali lagi dilancarkan dan mensasar orang awam melalui serangan udara dan pengeboman setiap hari. Tiada kawasan yang selamat lagi di Gaza.

Sangat malang ketika seluruh dunia memberi perhatian sepenuhnya kepada Piala Dunia FIFA di Brazil , masyarakat dunia berdiri kaku bila setakat 12 hb Julai lebih 100 orang, termasuk  kanak-kanak terbunuh dan lebih 800 orang cedera , 300 rumah kediaman musnah dan 1000 rumah rumah rosak  dalam serangan ganas Israel ke atas Gaza dalam 4 hari sejak 8 hb Julai yang lalu.Adalah mencukupi untuk sesiapa sahaja tersentuh hatinya bila mengetahui bahawa dalam satu serangan udara sahaja , ke atas sebuah rumah , IOF telah membunuh 7 rakyat Palestin termasuk 5 kanak-kanak pada hari Selasa lalu.

Laporan terkini menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 1100 sasaran  kawasan telah diserang jet Israel dan mengikut IOF " still hundreds more to furnish " ( ratusan lagi yang maseh belum dilancarkan lagi ) . Bandar-bandar yang padat dengan penduduk seperti Gaza City, Beit Hanoun dan Khan Younis telah dihujani dengan peluru roket dengan sewenang-wenangnya. Israel telah menetapkan untuk melancarkan serangan darat dengan meletakkan 40,000 tentera pasukan simpanan Israel berlegar di sempadan Gaza-Israel. Ini dijangka akan berlaku pembunuhan orang awam secara massa .

Kami juga merasa kesal atas sikap lesu komuniti dunia. Peningkatan jumlah mangsa yang disiar setiap hari mencerminkan keadaan yang semakin parah.

Angka kematian masih meningkat dan ia menunjukkan tanda-tanda kemusnahan yang bakal berhujung dengan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Wad kecemasan hospital Al-Shifa di Gaza dibanjiri oleh mangsa yang mengalami kecederaan akibat terkena serpihan serangan udara Israel yang membedil rumah kediaman. Kejadian 2008/2009 berulang kembali apabila hospital dipenuhi dengan darah dan mayat yang mengerikan.

Sementara Israel terus menghentam Gaza dengan serangan udara - dengan 50 pengeboman semalaman dan sepanjang hari Selasa, 8 Julai, 2014, pasukan perubatan memaklumkan kebimbangan mengenai keupayaan hospital yang terbatas untuk merawat orang ramai yang cedera. Mengikut laporan , serangan udara berlaku setiap empat setengah minit.

Sehingga awal petang pada hari Selasa itu, sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin telah terbunuh dalam pengeboman Israel. Lebih daripada 80 yang lain cedera, menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, termasuk lebih daripada 25 yang mempunyai kecederaan serius.

Sebanyak 12 buah katil di unit rawatan rapi di hospital tersebut digunakan sepenuhnya untuk mereka yang tercedera dan tiada katil yang tinggal untuk  pesakit baru jika serangan udara diperhebatkan.

Penutupan terowong antara Gaza dan Mesir - ia merupakan nadi utama di mana bekalan , perubatan dan keperluan  dibawa masuk ke Gaza selepas serangan Israel pada November 2012 - dan telah memburukkan lagi situasi tersebut.

Serangan ini telah mencipta krisis di semua peringkat.

Gaza kini mengalami kekurangan ubat-ubatan dan alatan perubatan. Ia kehilangan kira-kira 30% daripada ubat-ubatan penting, manakala 15% daripada bakinya dijangka akan habis dalam masa beberapa hari sepanjang serangan Israel. Keperluan seperti sarung tangan, kateter air kencing, dan peralatan perubatan lain berkurangan dengan kadar yang sangat pantas.

Walaupun rayuan dibuat kepada kerajaan konsensus Palestin, yang telah ditubuhkan bulan lepas, tiada sebarang tindakan diambil setakat ini untuk menyelamatkan sistem penjagaan kesihatan di Gaza.

Krisis bahan api yang berterusan di Gaza, yang membawa kepada terputus elektrik yang kerap meletakkan pesakit dalam risiko, terutamanya mereka yang bergantung kepada inkubator dan mesin dialisis, dan mereka yang dimasukkan ke jabatan kecemasan. Serangan Israel akan menyebabkan situasi di hospital menjadi lebih parah.

Amat jelas , Israel kini kebal kepada mana-mana undang-undang antarabangsa atau Piagam PBB berhubung pencerobohannya yang kejam terhadap Gaza. Serangan ini bukan  "perang" dengan Hamas sebagaimana yang didakwa oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Nantanyahu. Tetapi ia adalah mengenai polisi Israel yang mahu menghapuskan sebarang ancaman kepada kewujudan Negara Yahudi, termasuklah mengguna pendekatan membunuh rakyat Palestin.

Kami merasa jijik dengan hegemoni US-Arab yang menyumbang kepada penindasan keatas  Palestin. Apa yang dunia saksikan sekarang adalah hasil daripada kepatuhan Amerika Syarikat, Arab Saudi, Emirit Arab Bersatu (UAE) dan Mesir kepada kehendak Israel.

Israel telah diberi imuniti daripada dihukum atas kelakuan biadab dengan adanya sokongan penuh daripada Amerika Syarikat. Beberapa negara Arab telah menjadi alat Amerika Syarikat yang menggalakkan dan memberi laluan kepada Israel untuk menindas rakyat Palestin semahunya. Majlis Keselamatan PBB telah disekat dari bertindak ke atas Israel apabila Amerika Syarikat mengancam untuk menggunakan kuasa veto setiap kali usaha untuk menghukum Israel diusulkan.

Di samping itu, Mesir yang kini berada di bawah pemerintahan diktator Abdul Fatah El-Sisi, dan disokong oleh Arab Saudi dan UAE , setelah berlakunya rampasan kuasa, turut menyebabkan perjuangan rakyat Palestin melawan pencerobohan Israel menjadi amat terhad dan lemah.

Kami mengutuk tindakan pertama El-Sisi, selepas rampasan kuasa, yang telah memusnahkan terowong yang berfungsi sebagai talian hayat untuk rakyat Palestin di Gaza. Terowong telah digunakan untuk mengangkut makanan, perubatan dan barangan keperluan lain ke Gaza yang berada di bawah kepungan Israel-Mesir sejak tahun 2007. Sekatan yang dikenakan sejak tahun 2007 itu telah menjadi satu bentuk hukuman kolektif dan yang paling kejam kepada rakyat Gaza.

Kami bertegas memberi kebersamaan dan mengisytiharkan sokongan kami kepada perjuangan Palestin yang menentang pencerobohan Israel. Mereka mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka daripada pencerobohan Israel dan membebaskan tanah air mereka dari Zionis peneroka-kolonialisme dengan menggunakan segala cara yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa.

Presiden kerajaan perpaduan nasional Palestin, Mahmoud Abbas, telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa Israel sedang melakukan pembunuhan massa di Semenanjung Gaza yang dikepung.

"Ia pembunuhan beramai-ramai. Pembunuhan sebuah keluarga ( dalam serangan di daerah Khan Younis ) adalah pembunuhan beramai-ramai oleh Israel terhadap rakyat Palestin," kata Abbas pada Rabu lalu.

"Kita tahu bahawa Israel tidak mempertahankan dirinya, ia mempertahankan penempatan Yahudi, sebagai projek utamanya. Dalam satu kenyataan beliau memberitahu bahawa "Rakyat Palestin mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka daripada pencerobohan ganas [Israel] dengan menggunakan segala cara yang dijamin oleh konvensyen antarabangsa kepada mereka yang dijajah."

Kami menyeru kepada semua yang menentang penjajahan dan aparteid dan memperjuangkan hak kebebasan, demokrasi dan keadilan hendaklah menyokong perjuangan Palestin dalam apa cara sekalipun.

Kami juga kesal dengan sikap pengecut dan ketandusan moral beberapa ahli-negeri, Liga Arab dan Pertubuhan Persidangan Islam OIC yang tidak bersedia untuk mengambil apa-apa tindakan yang berkesan untuk membantu rakyat Palestin dan menghentikan keganasan Israel.

Negeri-negeri ini tunduk kepada Amerika Syarikat dan Zionis dan telah berpakat untuk menggalakkan konflik sektarian yang akan melemahkan penentangan pencerobohan Israel di Palestin. Masjid ketiga paling suci dalam Islam, Al-Aqsa terletak di sana dan kini  terancam dan bakal dimusnahkan oleh Zionis.

Kami menuntut supaya:

1.Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu segera meluluskan resolusi mengutuk dan  menghentikan keganasan Israel dan serangan ke atas Gaza.

2. Sempadan Rafah dibuka untuk membenarkan akses untuk orang ramai dan barang-barang untuk memasuki Gaza dan menghentikan kepungan ke atas Gaza secara kekal.

3.Agensi-agensi antarabangsa dan kerajaan memberikan sokongan moral dan material kepada perjuangan Palestin dan dengan segera menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

4.Organisasi masyarakat sivil  mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat, Israel, Arab Saudi dan Mesir bagi mengutuk keganasan Israel dan menyatakan sokongan kepada perjuangan Palestin.

5.Masyarakat sivik memperhebatkan kempen Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) ke atas Israel .

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi Shura

Wan Tarmizi Abdul Aziz
Timbalan Pengerusi, TERAS Pengupayaan Melayu.

Datin Hajah Aminah Zakaria
Pengerusi, Salimah

Zulkifli Ibrahim
Timbalan Pengerusi JAMA'IY Perak


Share this article :
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger