KITA TIDAK MELINDUNGI…?

Seluruh rakyat Malaysia termasuk saya terpegun dengan kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang dipetik sebagai berkata “jangan fikir hanya kerana dia seorang diplomat, dia boleh terlepas hukuman.  Imuniti sebagai seorang diplomat bukan lesen untuk melakukan jenayah”.

Memang tegas dan membanggakan apabila beliau mengungkapkannya.  Namun apa yang lebih menarik adalah jenayah yang khabarnya dilakukan oleh diplomat yang dimaksudkan sebenarnya bukan berlaku semalam atau minggu lepas, ianya berlaku pada 9 Mei hampir tiga bulan yang lalu!

Malah sebahagian media di New Zealand telah pun menamakan diplomat yang dimaksudkan.  Rakyat Malaysia yang difikirkan naif oleh Menteri tidak mengetahui mengenai isu ini sehinggalah baru-baru ini.

Yang lebih menarik adalah bahawa diplomat tersebut telah pun berjaya dihantar pulang oleh Malaysia.  Mengimbas satu lagi insiden yang berlaku kepada pegawai kita yang bertugas di luar negara, tentu ramai masih ingat bagaimana pasangan suami isteri yang dituduh mendera anak mereka untuk mendisiplinkan mereka masih sedang menjalani hukuman di negara tersebut.

Itu kes bagaimana ibu bapa dituduh merotan anak mereka.  Lain pula ceritanya dengan diplomat yang dituduh melakukan serangan seksual, pecah rumah dan cubaan merogol.  Mungkin melakukan serangan seksual tidaklah seteruk mendera anak untuk tujuan mendidik, sekurang-kurangnya itulah yang cuba disampaikan oleh Malaysia kepada rakyatnya.

Adakah Wisma Putra mahu rakyat percaya bahawa isu yang telah berlaku hampir 3 bulan yang lalu, serius dan mencemarkan imej negara dan dilabel sebagai ‘kami tidak melindungi’.

Lazimnya, jika sesuatu kesalahan apatah lagi jenayah seperti yang dilakukan oleh diplomat kita, tentulah tertuduh tidak dibenarkan meninggalkan negara sehingga selesai sebutan kesnya.  

Adakah Wisma Putra dalam usaha melindungi diplomatnya menghantarnya pulang dan berusaha untuk menyelesaikan di peringkat kerajaan.  Kita mungkin tidak pasti apakah alasan yang wajar untuk Wisma Putra menghantar pulang diplomatnya yang sedang menghadapi tuduhan jenayah di negara lain.

Tidakkah Wisma Putra ataupun Malaysia merasa malu masih mahu mengekalkan kekebalan diplomat sungguhpun telah diketahui bahawa yang dituduh sedang dalam perbicaraan dan dituduh di mahkamah.  Apakah yang cuba dilindungi oleh Malaysia sehingga memaksa Perdana Menteri New Zealand membuka mulut dan mengulas mengenai insiden ini.

Apa yang lebih memalukan adalah apabila kerajaan New Zealand menyangkal versi Menteri Luar kita dan mendedahkan koresponden dan dokumen berkaitan.  Apakah ini isyarat yang jelas kepada Menteri untuk tidak menerima versi beliau dan kenyataan ‘kita tidak melindungi’ hanya retorik semata-mata.

Sebagai sebuah negara yang mendaulatkan undang-undang, Wisma Putra sepatutnya membiarkan proses undang-undang di mana kesalahan dilakukan untuk berjalan dan membantu dan jika benar bahawa rakyat atau diplomat kita tidak bersalah, mengapa perlu ditakuti perjalanan proses undang-undang.  Mungkin Wisma Putra berusaha untuk menjaga imej negara namun apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

Menteri Luar kita dilabel sebagai memberikan versi yang berbeza.  Hanya kerana mahu melindungi seorang diplomat yang terang-terang sedang dibicarakan atas tuduhan jenayah, maruah dan imej negara tercalar begitu teruk. 


Jangan lupa New Zealand adalah antara rakan Malaysia yang menghulurkan bantuan dalam misi mencari MH370, adakah Malaysia mahu mengkhianati hubungan baik ini hanya kerana seorang rakyatnya, ooops maaf diplomat!
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

Tanpa Nama
2 Julai 2014 6:44 PTG

lawak lawak..

Tanpa Nama
2 Julai 2014 11:44 PTG

ckp org politik mana boleh pake,,

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger