KUASA WANG

Rupanya masih segar lagi tanggapan umum terhadap wang.  Biarpun aksiom ‘wang bukan segala’ sering dilaungkan namun manusia masih menjadi hamba wang.  Sekurang-kurangnya itulah tanggapan saya apabila membaca hasrat kerajaan Johor untuk mengenakan bayaran RM0.30 kepada pemaju bagi setiap kaki persegi tanah yang ditambak di negeri itu.

Khabarnya wang tersebut akan dikembalikan kepada nelayan yang terjejas pendapatan mereka kerana aktiviti penambakan tersebut.  Agaknya pemimpin alaf baru dan berfikiran aras tinggi tidak menyedari implikasi penambakan tanah yang akan menjejaskan alam sekitar apatah lagi menjejaskan sistem ekologi dan pendapatan para nelayan.

Betullah pendapatan para nelayan boleh digantikan dengan wang yang dikutip melalui peraturan tersebut, tetapi akan samakah alam sekitar selepas aktiviti galakan penambakan seperti itu. 

Bukanlah bermakna bahawa tulisan ini menentang pembangunan khususnya di Iskandar Malaysia, namun sebagai sebuah kerajaan yang berakauntabiliti, tanggungjawab bukan hanya kepada para nelayan pada waktu ini tetapi juga kepada generasi akan datang.

Cerita kerajaan Johor mengenakan bayaran RM0.30 kepada pemaju yang terbabit dengan kerja penambakan laut memanglah nampak menarik dan menunjukkan keprihatinan kepada golongan nelayan yang terjejas. 

Tapi hakikatnya adalah dasar yang digunapakai oleh kerajaan negeri dalam meluluskan projek tersebut juga harus dinilai semula.  Adakah ini bermakna para nelayan yang terjejas akan menerima imbuhan seumur hidup, tentulah tidak.  Namun mata pencarian mereka akan terjejas selamanya.

Jika diambil angka sekarang berdasarkan 3,237.48 hektar yang akan diterima bayaran sebanyak RM104 juta.

Sama ada pihak-pihak ini sedar atau tidak, ini bukanlah soal pampasan tetapi adalah bagaimana alam sekitar dihapuskan untuk kepentingan kemajuan.

Bagi para pemaju yang telah dikenakan bayaran ini, ianya bukanlah satu jumlah yang besar berbanding dengan nilai hartanah yang bakal dibangun dan dipasarkan.  Malah tidak mustahil, akhirnya bayaran yang dikenakan oleh kerajaan negeri ini pula bakal dikenakan kepada para pembeli hartanah mereka.


Suara para nelayan mungkin dapat disenyapkan dengan bayaran yang mungkin dibuat oleh kerajaan negeri, tapi dapatkan tindakan meluluskan kawasan untuk ditambak itu diterima oleh generasi akan datang.  Mungkin ini masanya kerajaan negeri belajar menghormati alam dan tidak terlalu rakus untuk melonjakkan pembangunan atas nama kemajuan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ada fulus semua lulus..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?