TNB & LAWAK TARIF BARU!

Alasan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan  di Malaysia lazimnya pelbagai, namun yang sering digunakan untuk mewajarkan kenaikannya adalah “harga petrol kita masih rendah berbanding negara Asean yang lain”  atau “yang paling rendah di rantau ini”  atau yang lebih kerap digunakan bagi mewajarkan kenaikan tarif elektrik ialah “kenaikan ini tidak akan membebankan pengguna”.

Kini gendang kenaikan tarif elektrik telah mula dipalu selepas 100 hari pasca Pilihanraya Umum ke-13.  Bagi mewajarkan kenaikan ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaitkan dengan kenaikan kos bahan api.

Walaupun dengan kenaikan tarif elektrik, TNB dengan rasa megah menguar-uarkan bahawa kenaikan ini “tidak akan membebankan”  pengguna.  Adakah pengurusan TNB bercadang menyertai program realiti popular ‘Raja Lawak’ ini kerana kenyataan mereka seolah menjadi bahan lawak.

Mana mungkin kenaikan dan perubahan tarif elektrik tidak akan membebankan pengguna, bukankah penurunan nilai ringgit sebanyak 0.04% sudah cukup memberikan kesan kepada pengguna, apatah lagi dengan kenaikan tarif elektrik yang dijangka beberapa peratus itu.

Mungkin para pengurus di TNB tidak sedar atau pura-pura tidak sedar  tentang kesan kenaikan tarif elektrik, secara mudahnya, TNB akan menaikkan tarif elektrik ‘beberapa sen atau peratus’, pengguna industri yang terjejas dengan kenaikan ini akan menaikkan harga barangan keluaran mereka.  Kesannya adalah kepada para pengguna yang terpaksa membayar lebih.  Inilah kesan daripada lawak TNB “tidak akan membebankan pengguna”.

Atas alasan menampung peningkatan kos operasi, TNB akan terus menaikkan tarif elektrik dari masa ke semasa, manakala pengeluar tenaga bebas Independent Power Producer (IPP) pula akan mengaut keuntungan daripada kenaikkan tarif ini.

TNB sepatutnya bertindak menyemak semula perjanjian yang ditandatangani dengan pihak IPP yang khabarnya ‘berat sebelah’ dan menguntungkan pihak IPP berbanding TNB sendiri.  Adakah Kerajaan dan TNB bersedia untuk bersikap telus dan mendedahkan isi kandungan perjanjian dengan para IPP?

Jika diteliti kenyataan oleh Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif  TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd, sebenarnya tidak perlu pun untuk meningkatkan tarif elektrik, ini kerana bahan bakar yang dibekalkan oleh Petronas tidak pun menjejaskan TNB sebagai pembelinya.

"TNB neutral, kita tidak rugi apa-apa, seperti sekarang yang rugi adalah Petronas yang membekalkan Gas Asli Cecair (LNG) sebagai bahan api kerana terpaksa menanggung harga berkali ganda, Petronas menetapkan harga gas iaitu bahan bakar utama untuk menjana elektrik pada kadar RM13.70 MMBtu, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran RM40 MMBtu."


Adakah TNB sekadar mengambil kesempatan daripada sitiuasi pasca Pilihanraya dan kenaikan harga bahan bakar yang tidak menjejaskan mereka, untuk meningkatkan tarif elektrik?  Selamat menjuarai Lawak Tarif Baru TNB!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
hadiah kemenangan...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?