MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA!

Tinggal dua hari lagi, negara bakal menyambut ulangtahun kemerdekaaan yang ke-56. “Tanggal 31, bulan 8, lima puluh tujuh, merdeka, merdeka, negaraku merdeka..” – itu antara bait lagu allahyarham Sudirman Hj. Arshad antara ikon yang sering menjadi kenangan setiap kali tibanya bulan kemerdekaan di negara kita.

Apa tidak, seperti negarawan lain yang telah berjuang untuk memastikan bumi indah ini tidak lagi terbelenggu daripada penjajah, allahyarham Sudirman juga menyumbangkan idea dan gagasan beliau sendiri setiap kali menjelang hari kemerdekaan. 

Lagu-lagu seperti ‘Warisan’ , ‘31 Ogos’, ‘Bapak’, ‘Di Bumi Bertuah’, ‘Kenali Malaysia, Cintai Malaysia’, ‘Kul it’, ‘Tanah Ini Tanahku (Milik Kita Bersama)’, ‘Tanah Pusaka’, ‘Tegakkan Bendera Kita’,  adalah antara lagu-lagu patriot yang menjadi ‘jenama’ kentalnya jati diri penghibur negara ini.

Kini, selepas 56 tahun negara menyambut kemerdekaan, kita masih membandingkan bagaimana saban tahun kibaran Jalur Gemilang semakin kurang malah dikhabarkan pula oleh Menteri Komunikasi & Multimedia bagaimana, kibaran Jalur Gemilang di negara-negara jiran yang jauh lebih meriah setiap kali menjelangnya hari Kebangsaan negara-negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Kita tidak sepatutnya menuding jari kepada Kerajaan mahupun menteri yang terbabit, namun yang lebih mendasar adalah memikirkan bagaimana harga kemerdekaan yang kita capai dengan darah dan perjuangan wira-wira seolah-olah tidak mempunyai sebarang erti dan nilai kepada rakyat Malaysia khususnya pada masa sekarang.

Menunggu untuk diberikan Jalur Gemilang secara percuma sebenarnya bukanlah potret yang sewajarnya dipamerkan setiap kali menjelang sambutan kemerdekaaan negara.  Bukankah yang lebih ikhlas ialah menggunakan hasil titik peluh sendiri untuk menyemai jati diri dalam diri kita.

Mungkin agak malang bagi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menjadi Menteri Komunikasi & Multimedia sekarang, sebagai menteri yang bertanggungjawab secara langsung terhadap sambutan Hari Kemerdekaan negara, memandangkan kibaran Jalur Gemilang agak tidak memberangsangkan.  Di mana silapnya, tiada siapa pun dapat menjawab dengan tepatnya.

Pada masa-masa genting seperti ini rakyat Malaysia tentu terkenang kepada Menteri-menteri sebelum ini, misalnya bagaimana Datuk Mohamad Rahmat (Tok Mat), yang gigih memeriahkan sambutan dan kibaran bendera Malaysia ketika beliau menjadi teraju sambutan Hari Kemerdekaan ketika menjadi Menteri Penerangan dari tahun 1978-1982 dan sekali lagi pada 1987 – 1999.

Begitu juga, Datuk Seri Rais Yatim yang menjadi Menteri Penerangan dari tahun 1984 – 1986 dan sekali lagi dari tahun 2009 hingga sebelum Pilihanraya Umum yang lalu.  Walaupun menteri yang sekarang ini pernah menjadi Menteri  yang bertanggungjawab terhadap sambutan kemerdekaan negara pada tahun 2009, namun kibaran Jalur Gemilang tidaklah ‘seburuk’ pada masa ini.

Kementerian Komunikasi & Multimedia perlulah merancang dan merencanakan dengan teliti sambutan Hari Kemerdekaan bukan sahaja dengan peruntukan dan dana yang lebih besar tetapi yang lebih penting adalah ‘membudayakan’ semangat patriotism kepada rakyat sepanjang masa tanpa perlu menunggu menjelangnya bulan kemerdekaan.

Sambutan juga perlu diadakan di semua peringkat, sekolah, kampung, daerah, DUN, Parlimen, selain daripada negeri dan pusat. 

Selain itu, apa yang lebih utama adalah Kerajaan (baca: Kerajaan BN)  bermuhasabah diri dengan bertanya apakah yang sedang dilakukan benar-benar menggembira dan membahagiakan rakyat?  Apatah lagi dengan baru berlalunya Pilihanraya Umum ke-13, tentulah luka dan nanar masih terasa kesannya.  Kepada Menteri Komunikasi & Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, apa yang akan rakyat Malaysia catat dalam kad laporan beliau adalah, “Mat, teruskan usaha gigih”!

Jika pawagam yang beroperasi secara komersil  tidak memainkan lagu Negaraku kerana khabarnya  masih tidak menerima CD percuma daripada Kementerian Komunikasi & Multimedia, apa lagi yang diharapkan daripada anda dan saya?


Salam Hari Merdeka, moga kita akan terus menjadi bangsa yang merdeka – jiwa dan raga!

Ulasan

anep berkata…
merdeka merdeka merdeka..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?