MENGATA DULANG PAKU SERPIH!

Ahli politik di mana-mana adalah sama.  Hayat pengucapan mereka tidak lama, seorang teman saya yang gemar mengajuk karenah ahli politik mengatakan apa yang diucapkan pada waktu pagi akan segera berubah pada sebelah petangnya, itulah hayat percakapan ahli politik!

Imbas kembali.  Pada tahun 2008, selepas Perak di kuasai oleh Pakatan Pembangkang, mereka membuat keputusan untuk menukar kenderaan rasmi mereka kepada kereta jenis Toyota Camry.  Sebanyak 16 buah kereta Toyota Camry di beli untuk digunakan sebagai kenderaan rasmi.  Alasan yang diberikan adalah kerana kos penyelengaraan kenderaan Proton yang tinggi berbanding kereta yang dipilih mereka.

Ketika itu kecoh dikhabarkan bahawa Kerajaan Perak disifatkan sebagai tidak patriotik dan membelakangkan aspirasi nasional di samping dituduh sanggup mengalirkan wang ke luar negara untuk membeli kereta buatan luar negara.

Malah Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM) pada ketika itu, Mohd Firdaus Abdullah  juga menyifatkan Kerajaan Perak ‘mengkhianati’  dan memperlekehkan kereta buatan tempatan kerana menggunakan kenderaan buatan luar negara.

Selepas tidak sampai enam bulan, Kerajaan Perak yang baru selepas krisis politik di Perak yang di ketuai oleh Menteri Besarnya, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir melelong kereta Toyota Camry dan menggunakan semula kereta nasional Proton Perdana untuk kembali dilihat sebagai patriotik!

Kini, Kerajaan Persekutuan pula mengumumkan menggantikan kereta rasmi Kerajaan kepada Honda Accord, sesuatu yang memeranjatkan ramai orang.  Soalnya adakah pihak-pihak seperti Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM)dan mereka yang ‘bertempik’ ketika Kerajaan Perak membeli kenderaan buatan luar  berani menempelak Kerajaan Pusat sebagai tidak patriotik dan memperlekehkan kereta buatan tempatan.

Walaupun dikhabarkan alasan penggantian kereta kepada Honda Accord  adalah kerana model Proton Perdana tidak lagi dikeluarkan, namun kenderaan setarafnya Proton Inspira dan Proton Preve adalah model gantian terbaik, jika dengan niat untuk kekal menggunakan kenderaan buatan tempatan dan nasional sifatnya.

Adakah kereta Honda Accord dipilih kerana model tersebut dipasang di kilang DRB-Hicom di Pekan, dan adakah kerana ianya dipasang dalam negara maka ia dihalalkan cara untuk diiktiraf sebagai model gantian paling sesuai menggantikan kereta nasional.

Dalam ketika meraikan kemerdekaan negara yang ke-56 penghujung bulan ini, menukarkan kenderaan rasmi kepada kenderaan buatan luar negara adalah perkara paling akhir perlu dilakukan. 

Sehingga kini sebenarnya, keputusan mengenai penggantian kenderaan rasmi daripada Proton kepada model Honda Accord khabarnya belum dimuktamadkan, namun sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya memberikan contoh dan teladan yang baik bagi menggalakkan penggunaan kenderaan rasmi daripada model tempatan. 


Dengan kempen dan galakan ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’ atau yang sewaktu denganya, jika kerajaan sendiri kelihatannya tidak yakin dengan kenderaan nasional, apa lagi yang boleh diharapkan!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
mana ada bran bro..nak tegur..
barajiwa berkata…
Sdr Nasser,

Adakah yang dalam pelbagai institusi gomen itu berani bercakap benar tentang Proton? Taubat Lahum, berani! Berani?
SIS berkata…
dah rasmi pun tn ks...pekeliling pun dah keluar..pertukaran dr proton ke honda dibuat secara berperingkat..biasalah BN..dah adat paku serpih!!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?