MENGAPA TIDAK?

Ketika di awal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut beliau antara kriteria untuk dipilih sebagai calon adalah mereka yang mampu menjadikan media sosial sebagai medium penghubung dengan rakyat.  Malah Perdana Menteri sendiri adalah seorang yang sangat akrab dan aktif menggunakan media sosial seperti blog, facebook dan twitter.

Dengan limpahan pelbagai wadah media sosial dan berita online seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Malaysiakini dan The Malaysian Insider, para pemimpin mempunyai wadah yang cukup banyak untuk pelbagai aktiviti dan masyarakat untuk berhubung.

Malangnya, hanya kelihatan para pemimpin pembangkang yang giat menggunakan wadah seperti Malaysiakini untuk berhubung daripada hal-hal menguar-uarkan aktiviti mereka sehinggalah kepada yang lebih ringkas seperti menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya.  Mungkin pada tanggapan saya Malaysiakini yang dikhabarkan sebagai pro-pembangkang tidak sesuai untuk para pemimpin BN dan Kerajaan, namun tidak juga berlaku di halaman online arus perdana seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Adakah para pemimpin BN dan Kerajaan beranggapan bahawa mengiklan diri mereka dengan menyampaikan ucapan dalam laman online seperti tidak perlu dan membazir?  Bukankah penggunaan media sosial dan laman online adalah wadah berhubung yang paling ampuh dewasa ini.

Di portal berita online Malaysiakini, misalnya bukan sahaja para pemimpin mengiklankan ucapan Hari Raya mereka malah parti politik seperti DAP juga turut mengiklan.  Jika iklan berbayar seperti ini mampu memberikan talian hayat kepada portal berita seperti Malaysiakini, apakah tidak wajar para pemimpin Kerajaan dan BN memperuntukkan sebahagian dana mereka untuk mengiklan di portal berita online seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia?

Pedulilah sama ada mereka menggunakan dana peribadi atau dana yang diperuntukkan kepada mereka, kerana apa yang lebih penting dan utama adalah capaian yang boleh dilakukan melalui internet khususnya portal-portal berita online.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa para pemimpin BN seolah-olah lebih menjadi pak turut dalam hal-hal berkaitan dengan publisiti, tiada ramai pun para pemimpin BN yang memulakan tradisi ‘rumah terbuka’, ‘kain rentang’ ucapan hari-hari perayaan sehinggalah dimulai oleh para pemimpin pembangkang. 

Walaupun difahamkan bahawa memang terdapat dana bagi melakukan aktiviti seperti ini, namun tidak ramai yang melakukankanya sehinggalah selepas tsunami politik pada tahun 2008, apabila kesedaran untuk meningkatkan persepsi umum terhadap apa yang dilakukan oleh para pemimpin meningkat secara mendadak.

Di pihak pembangkang pula, mereka menguar-uarkan hampir kesemua tindakan mereka untuk maklumat para pengundi dan masyarakat sekeliling, malah mengambil kesempatan menggunakan wadah yang disediakan dan kadang-kadang kelihatan seperti ‘berkempen’ seperti yang didakwa oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor baru-baru ini yang mengecam ucapan ‘berbaur politik’ Menteri Besar Selangor dalam akhbar rasmi Kerajaan Negeri Selangor – Selangorkini.

Soalnya, jika para pemimpin BN tidak menggunakan sebaiknya pelbagai wadah, maka dikhutiri akan lebih menjauhkan para pengundi khususnya golongan muda yang lebih banyak menghabiskan masa menguliti laman sosial dan portal berita online berbanding akhbar tradisi.

Apakah para pemimpin BN masih sangsi dan tidak yakin dengan kemampuan media sosial untuk menentukan faktor pemilihan para pemimpin dalam Pilihanraya Umum.  Jika para pemimpin pembangkang berlumba-lumba menonjolkan diri untuk dilihat aktif oleh masyarakat dan pengundi, mengapa tidak para pemimpin BN dan Kerajaan?


Share this article :
 

+ komen + 2 komen

sarip dol
8 Ogos 2013 12:46 PTG

para pemimpin bee end asyk kata pembangkang guna media alterntif tapi mreka sendiri menjauhinya, lama2 pengundi pun jauh..

Tanpa Nama
8 Ogos 2013 3:49 PTG

peminpin bn ameno berhemat kot..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger