APALAH ERTI PUASA TANPA KURMA?

Katalah apa sahaja, puasa tanpa kurma memang tiada ertinya.  Sekurang-kurangnya itulah tanggapan peribadi saya ketika ingin menyambung puasa di bulan Syawal pula, selepas merasa bahang rumah terbuka sudah mulai surut, saya bercadang berpuasa dalam bulan Syawal pula.  Tiba-tiba sahaja terpacul pertanyaan ‘ada kurma tak’, bila dimaklumkan bekalan kurma Ramadan saya telah pun habis, saya menangguhkan hasrat berpuasa bulan Syawal saya.

Memanglah kurma dan puasa tidak mempunyai konotasi yang begitu kukuh, namun pada saya kurma dan puasa seolah-olah sangat sinonim, seperti ‘irama dan lagu’ atau apa sahaja aksiom lain yang menggambarkan keakraban kedua-duanya.

Pada sebahagian orang berpuasa, puasalah aja, apa ada kena mengena dengan kurma, seolah-olah kurma tidak melengkapkan puasa pula.  Itu pandangan orang lain, dan bukan pandangan peribadi saya.  Malah saya meletakkan kurma dan puasa sebagai satu kemestian, berpuasa mesti ada kurma titik.

Jadinya apabila saya mula menyambung puasa Syawal saya, mestilah ada kurma sama seperti berpuasa dalam bulan Ramadan atau berpuasa pada bila-bila masa sahaja.

Pergolakan di Mesir yang kini telah menjangkau hampir setahun yang dimulai dalam bulan November 2012 yang lalu, kelihatannya semakin meruncing.

Pergolakan di mana-mana negara adalah lumrah, namun apa yang lebih menyedihkan adalah bagaimana tentera digunakan untuk melakukan ‘rampasan kuasa’ dan mengulingkan seorang pemimpin yang telah dipilih melalui proses demokrasi.

Pergolakan di Mesir di antara puak penyokong Morsi dan pembangkang serta pihak tentera dan Ikhwanul Muslim, bakal mengundang perang saudara yang berpanjangan.

Kini warga seluruh dunia, dengan suara ‘kuasa-kuasa besar’ menyuarakan kebimbangan mengenai apa yang berlaku di Mesir. Sama ada suara mereka yang nyaring sebenarnya adalah suara ‘tulin’ yang benar-benar menentang apa yang dilakukan oleh pihak tentera Mesir atau sekadar melengkapkan suara-suara sedia ada.

Di Malaysia, nampaknya tidak banyak yang dilakukan oleh Kerajaan, mungkin lebih mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dari masa ke semasa.  Walaupun ada usaha yang dirintis oleh pembangkang seperti PAS dalam mengutuk tindakan ‘kudeta’ oleh tentera di Mesir, namun usaha ini tentulah tidak begitu menyerlah tanpa penglibatan pihak Kerajaan. 

Malah usaha membincangkan usul mengutuk kekejaman tentera Mesir ke atas orang awam serta memulihkan semula demokrasi di sana telah ditolak oleh Speker DUN Johor pada persidangan mereka.  Apakah asas penolakan ini tidaklah diketahui.  Mungkin tidak mahu dilihat bahawa usul ini dibawa oleh pihak pembangkang.

Hanya baru beberapa hari ini, dikhabarkan Malaysia mendesak Pertubuhan Negara Islam (OIC) untuk memanggil mesyuarat bagi membincangkan pergolakan di Mesir ini.

Sebagai sebuah negara Islam, tentulah kita merasa terkesan apabila saudara seagama kita dianiyai sebegitu rupa oleh pihak tentera dalam bentuk yang mencabar demokrasi.  Apatah lagi, Mesir sejak dahulu merupakan antara destinasi para pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran.

Selain menyatakan kebimbangan terhadap apa yang berlaku, Kerajaan  juga perlu mengambil sikap dan menyatakan pendirian berhubung cara bagaimana pergolakan di Mesir dimulakan.

Menganggap sebagai sebuah negara Islam, dengan majoriti rakyat Islam, dipimpin oleh para pemimpin Islam, tentulah kita merasa amat ‘malu’ dengan apa yang berlaku di sebuah negara Islam yang lain.  Apalah ertinya menganggap diri negara Islam jika kita sekadar berpeluk tubuh dan lambat berbuat sesuatu kerana bimbang dengan kuasa-kuasa besar di sekeliling kita.


Seperti juga pendirian peribadi saya, apalah erti berpuasa tanpa kurma.   Meminjam ungkapan pelawak Nabil – lu pikirlah sendiri!
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

pak sahak
27 Ogos 2013 9:41 PG

analogi yg kritis..

Tanpa Nama
27 Ogos 2013 11:17 PG

makan dalam ni..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger