KERAMAT 100 HARI!

Angka 100 dalam budaya orang Melayu dan Islam mempunyai pelbagai konotasi.  Dalam politik pula jangkamasa  100 hari akan sentiasa dipantau tentang tindak-tanduk seseorang pemimpin itu.

Tindakan dan pola pentadbiran, serta langkah-langkah yang diambil oleh seorang pemimpin khususnya pemimpin yang baru sentiasa di bawah ‘radar’ pemantauan.  Misalnya, apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambilalih pentadbiran negara daripada Tun Abdullah Badawi pada Mac 2009, tindakan beliau sepanjang 100 hari dianggap ramai pihak sebagai cemerlang.

Namun hal itu tidak berulang apabila beliau mengetuai Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei lalu dan sekali lagi di bawah ‘radar’ pemantauan 100 hari pasca PRU 13.  Kali ini ramai yang berpendapat bahawa beliau tidak memberikan atau melaksanakan sesuatu yang baru dan innovatif berbanding pada tahun 2009.

Tentulah amat mudah bagi Perdana Menteri dianggap gagal dalam 100 hari pertamanya selepas PRU 13, ini kerana segala apa yang mahu dilaksanakan telahpun diumumkan sebelum PRU ataupun ketika mentadbir negara sejak tahun 2009. 

Mana mungkin perkara-perkara yang telah mula dilaksanakan pada 100 hari pertama beliau pada tahun 2009, kini dikitar semula hanya mahu dilihat sebagai cemerlang.  Bukankah lebih baik memastikan bahawa apa yang telah dijanjikan atau sedang dilaksanakan terus menepati perancangannya.

Di Kedah pula, Menteri Besar kali pertamanya, Datuk Mukhriz Mahathir juga dilihat tidak banyak melakukan sebarang perubahan dan dilabel gagal khususnya oleh pembangkang.

Bagi seorang pemimpin, tempoh 100 hari memanglah penting dan di bawah ‘radar’ pemantauan tapi bagi seorang Menteri Besar yang baru dengan hanya pengalaman sebagai Timbalan Menteri tentulah jangkamasa 100 hari hanya cukup untuk meneliti keadaan dan pola pentadbiran ketua negeri sebelumnya.

Apatah lagi pentadbiran sebelum ini adalah daripada kerajaan yang berbeza, tentulah memerlukan masa yang lebih lama sedikit untuk meneliti dan memperhalusi berbanding untuk bertindak gelojoh kerana mahu dilihat sebagai cemerlang dalam tempoh kepimpinan 100 harinya.

Mengambilalih sebuah negeri daripada kerajaan yang berlainan sebelum ini tentulah mewarisi masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan sebelumnya, maka amatlah tidak wajar untuk terus melabel 100 hari pertama Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah sebagai gagal.

Walaupun dikhabarkan telah dimaklumkan mengenai Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang diselubungi masalah oleh mantan Menteri Besar, namun Datuk Mukhriz bukanlah ahli silap mata yang mampu merubah nasib institusi itu sekelip mata. 

Apatah lagi dengan pembinaan kampus induk KUIN di Kuala Ketil dengan perbelanjaan RM330 juta dan pinjaman yang perlu dibayar sebanyak RM46 juta setahun selama 13 tahun, tentulah memerlukan masa lebih daripada 100 hari untuk berbuat sesuatu.

Nampaknya, parameter 100 hari untuk menilai prestasi dan kepimpinan seseorang pemimpin haruslah bersikap adil dan objektif.  Parameter 100 hari tidak boleh dipakai secara pukul rata kepada semua pemimpin tanpa memikirkan kesamarataan padang permainan level playing field!

Walaupun begitu, kenyataan tegas  Datuk Mukhriz mengenai pemberian projek kepada ahli keluargannya dan mengadakan memorandum persefahaman (MOU) dengan kelab bolasepak Cardiff City dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam tempoh 100 hari juga boleh dilihat sebagai sesuatu yang cemerlang.

Jika kesemua pemimpin ‘risau’ mengenai prestasi mereka dalam tempoh 100 hari tentulah akan berebut-rebut memperkenalkan pelbagai unjuran baru yang akhirnya akan tinggal sebagai retorik.  Nampaknya pepatah biar lambat asal selamat kini boleh diungkapkan semula sebagai biar lambat asal buat!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
setuju sgt...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?