SHUHAIMI, LU SIAPA?

Apabila Kerajaan Pulau Pinang ‘meminta’ pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem kontroversi Tanda Putera, arahan pengarah tersohor, Datin Paduka Shuhaimi Baba, ramai yang mungkin beranggapan bahawa ‘permintaan’ ini agak keterlaluan dan berfikiran sempit.

Malah dikhabarkan pula, pengarahnya memberi amaran kepada pengusaha pawagam bahawa mereka bakal berdepan dengan risiko lesen mereka dibatalkan.  Walaupun peringatan ini agak keras, namun akhirnya pengusaha pawagam khususnya rangkaian pawagam Golden Screen Cinema (GSC) memilih untuk akur kepada ‘permintaan’ kerajaan negeri Pulau Pinang.

Walaupun telah dimaktubkan dalam Skim Wajib Tayang FINAS, namun apa yang menjengkelkan adalah ‘amaran’ Shuhaimi Baba kepada pengusaha pawagam melebihi menteri dan FINAS sendiri.

Dengan dolak dalik kononnya Tanda Putera berasaskan fakta malah apabila disuguh mengenai adegan ‘kencing’, dikhabarkan pula bahawa ianya adalah berdasarkan ‘fakta sejarah’, kini menjelang tayangan umumnya pula dimaklumkan bahawa adegan tersebut adalah fiksyen berasaskan cakap-cakap sahaja.

Kerajaan Pulau Pinang khabarnya hanya ‘meminta’ dan tidak mengarahkan mana-mana pihak untuk tidak menayangkan filem Tanda Putera, berdasarkan justifikasi bahawa filem tersebut yang dihasilkan menggunakan dana awam tidak mencermin atau membudayakan keharmonian kaum di Malaysia.  Itu sahaja, selebihnya adalah atas budi bicara pengusaha pawagam.

Telah lama dikhabarkan bagaimana pengusaha pawagam menjadi ‘penentu’ dalam jatuh bangunnya sebuah filem di negara kita, maka apabila pengarah seperti Shuhaimi Baba memberikan ‘amaran’ kepada mereka, tentulah mereka terkesan antara akur kepada permintaan kerajaan negeri yang memberikan alasan yang kukuh terhadap permintaan mereka dan pengarah yang memberikan ‘amaran’ kepada mereka.

Beberapa hari yang lalu dalam Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), diungkapkan dalam resolusinya memberi “peringatan kepada kerajaan agar berhenti daripada menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu”.

Apabila pengarah Tanda Putera memberikan ‘amaran’ kepada pengusaha pawagam di Pulau Pinang supaya menayangkan filemnya atau berhadapan dengan risiko pembatalan lesen mereka, bukan juga satu bentuk ‘peras ugut’ kepada mereka.

Langkah yang diambil oleh rangkaian pawagam GSC yang bertindak ‘akur’ kepada permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang adalah satu langkah yang tegas dan berani bagi menidakkan ‘amaran’ pengarah filem ini.

Shuhaimi, jika anda juga bebas menggunakan ‘lesen kreatif’ anda untuk memuaskan hati dan menjadi alat propaganda kepada badut politik anda, mengapa para pengusaha pawagam di Pulau Pinang tidak boleh menggunakan ‘pertimbangan’ mereka untuk akur kepada ‘permintaan’ kerajaan negeri.  Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung!


Pengarah filem dan penerbit yang bergantung kepada ‘pemamer’ dan pengusaha pawagam sebagai talian hayat filem mereka memberikan ‘amaran’ adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, apatah dengan filem kontroversi seperti Tanda Putera.  Shuhaimi, lu siapa?  
Share this article :
 

+ komen + 1 komen

Tanpa Nama
29 Ogos 2013 12:44 PTG

kerasnya...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger