NADZMI, IDRIS & HIPOKRIT KELAS PERTAMA!

Selepas memberi laluan kepada peneraju baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mantan Presidennya tiba-tiba mengeluarkan kenyataan bahawa BAM perlu segera mencari pengganti kepada jaguh nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.  Saranan ini hanya selepas tidak sampai dua minggu mengosongkan kerusi Presiden BAM.

Datuk Nadzmi yang menerajui BAM sejak 2000 dan sejak itu Lee Chong Wei bernaung di bawah pengurusan BAM.  Walaupun dalam Mesyuarat Agung Tahunan pada bulan lalu, Datuk Nadzmi masih diberi kepercayaan menjadi Presiden Kehormat iaitu penasihat dalam menyelesaikan isu-isu tertentu, mungkin sebagai cara menghormati beliau.

Anehnya, selama hampir 13 tahun menerajui BAM, apakah yang dilakukan oleh BAM di bawah kepimpinan beliau sehingga kelihatannya hanya Lee Chong Wei sahaja yang berhasil digilap oleh persatuan nasional itu.  Adakah Datuk Nadzmi sedar bahawa selama ini pun BAM sebenarnya tidak banyak mempunyai kumpulan atau ‘pool’ pemain yang boleh diketengahkan.

Hari ini tidak sampai dua minggu, ketika Lee Chong Wei menarik diri di perlawanan akhir menentang pemain utama China, Lin Dan akibat  masalah kekejangan otot, tiba-tiba mantan Presiden BAM itu bersuara dengan nada  ‘ala-ala prihatin’ dengan nasib sukan badminton di negara ini! 

Saranannya adalah ‘perlu segera mencari pengganti Lee Chong Wei’, Datuk Nadzmi bercakap seolah-olah usia Lee Chong Wei meningkat secara mendadak dalam tempoh dua minggu beliau meninggalkan BAM, adakah beliau sedar selama 13 tahun, masalah mencari pengganti tidak dilakukan dengan serius oleh BAM di bawah teraju beliau.  Jika tidak, tentulah kita mempunyai ramai pelapis yang boleh diketengahkan untuk menggantikan Lee Chong Wei!

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala pula dilaporkan menyarankan bahawa Penerbangan Malaysia (MAS) patut dijual ketika beliau menjadi Ketua Eksekutifnya.  Idris Jala menerajui MAS sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada Disember 2005 hingga  31 Ogos 2009.

Memang diakui, beliau merupakan yang diberi tanggungjawab untuk memulihkan MAS yang ketika itu nilai sahamnya melonjak daripada RM3.00 kepada RM6.20.  Namun adakah Menteri ini sedar falsafah di sebalik penubuhan MAS.  Jika hanya memberikan saranan untuk menjualkan sebuah entiti kerajaan jika ia mengalami kerugian, maka sewajarnya saranan seperti ini boleh saja diberikan oleh seorang lepasan sekolah menengah sahaja!

Tentulah Datuk Seri Idris Jala sendiri akan menentang jika Kerajaan benar-benar menjualkan MAS ketika beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutifnya, apatah lagi ketika itu MAS benar-benar berada di landasan untuk terus mencatat keuntungan.

Sebagai seorang Menteri dan orang yang pernah menerajui MAS memberikan saranan secara umum seperti itu, seharusnya adalah perkara terakhir yang patut diucapkan oleh Datuk Seri Idris Jala.  

Beliau seharusnya memberikan saranan dan cadangan (jika masih berminat) untuk membantu Kerajaan mengekalkan Penerbangan Malaysia untuk terus beroperasi, apatah syarikat penerbangan nasional itu adalah maruah negara kita.  Menjelang kemerdekaan pada penghujung Ogos ini, Idris Jala perlu mencermin dan menilai semangat nasionalisme dalam diri beliau.

Kedua-dua kenyataan mantan Presiden BAM dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif MAS bolehlah dinobatkan sebagai ‘hipokrit kelas pertama’!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
pedasnya...
Tanpa Nama berkata…
setuju sgt..apa muslihat IJ..utk kroni ke.,.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?