MALAYSIA BOLEH, ALAT PENGUKUR KEIKHLASAN!

Suasananya sunyi sepi, malah tidak mendengar apa pun hatta nafas daripada para hadirin yang hampir 10 ribu orang dalam dewan kalis bunyi yang pernah melakarkan banyak peristiwa pencapaian akademik bertaraf antarabangsa.

Malah 10 ribu hadirin yang menjadi jemputan juga bukan calang-calang orang, mereka adalah yang telah melalui proses penapisan yang sangat ketat, ditapis hampir 100 hari oleh para pemilih di seluruh dunia.  Hadirinnya pula adalah masyarakat antarabangsa, daripada lebih 100 buah negara.

Acaranya adalah peluncuran mesin paling canggih di dunia pada masa ini.  Mesin pengukur tahap keikhlasan, yang dihasilkan oleh anak Malaysia.  Anak Malaysia yang begitu ‘genius’ ini sebenarnya bukanlah anak Melayu yang menjadi majoriti kaum di negara ini.  Itu tidak penting, yang lebih utama adalah dia adalah warganegara Malaysia, bukan warganegara mana-mana daripada lebih 100 negara yang menjadi jemputannya.

Yang lebih mengkagumkan adalah bahawa anak Malaysia yang ‘genius’ yang sedang berada di pentas dewan paling terkemuka di dunia bukanlah seorang jurutera sepenuh masa, walaupun berpendidikan tinggi dengan latar belakang kejuruteraan, namun dia lebih menumpukan masa dan tenaganya untuk menjadi seorang ahli politik sepenuh masa. 

Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran, suatu jawatan yang agak kanan berbanding kementerian-kementerian yang lain, selain itu beliau juga adalah Ketua Pemuda parti yang diwakilinya, inilah yang mengkagumkan semua bagaimana seorang anak Malaysia yang begitu prihatin dengan nasib bangsanya masih mampu dan mempunyai iltizam mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa melalui ciptaannya.

Ciptaan anak Malaysia ini, bukan sahaja dikagumi dalam negara malah para sarjana dan bijak pandai daripada negara luar seolah-olah terpukau dengan ciptaan yang julung kali berjaya mengambilalih tugas manusia dan tuhan dengan ketepatan yang hampir 9999.9999%.  Julat kegagalannya hampir tiada.  Kalau diistilahkan dalam bahasa Inggeris seperti yang diucapkan oleh mereka yang berpusu-pusu mengucapkan tahniah kepada anak Malaysia ini ialah – perfect!

Siapa yang tidak bangga apabila negara seperti Malaysia mampu melahirkan seorang pencipta yang kini menjadi sebutan ramai malah mungkin mencatat namanya dalam buku rekod dunia dengan ciptaannya.

Jika diteliti latar penciptaannya, apabila ditemubual secara eksklusif oleh sebuah jurnal penciptaan, anak Malaysia ini memaklumkan bahawa idea ciptaannya tercetus ketika beliau aktif berpolitik ‘lidah’ disebabkan dasar parti yang diwakilinya tidak mahu menerima jawatan kerajaan kerana kemerosotan pencapaian mereka dalam Pilihanraya Umum yang lalu.

Malah, ketua partinya pula begitu bermurah hati memberikan gelaran ‘gila’ kepada seorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat dan merupakan Ketua Negeri Parti  dalam sebuah gabungan yang mereka sama-sama menjadi ahli gabungannya.


Latarnya adalah apabila seorang pengetua sekolah menengah mengungkapkan “balik China, India” kepada para pelajarnya yang membuat bising ketika nyanyian lagu Negaraku.  Di sebabkan oleh insiden ini, anak Malaysia ini berjaya mengharumkan nama negara dengan ciptaannya – mesin pengukur keikhlasan.  Seperti yang diungkapkannya sendiri  “the rest is history”.  Malaysia Boleh!

Ulasan

anep berkata…
sapa makan cili dia rasa podeh..
SIS berkata…
kena sebijik...Malaysia pasti tidak boleh...manusia dah cuba atasi Tuhan..!!..keikhlasan seseorg hanya Tuhan saja yg tahu..
Tanpa Nama berkata…
hi hi hi..satira yng menarik syabas tn ks..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?