CACAT KE TANDA PUTERA TANPA ‘KENCING’?

Selepas Tanda Putera ditayangkan kepada umum bermula hari ini, mungkin ramai yang bersetuju dengan tindakan Kerajaan Pulau Pinang ‘meminta’ pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem ini.

Walaupun ini bukanlah larangan dan tidak menghalang jika ada pihak yang memilih untuk menayangkan filem tersebut di negeri itu.  Rasionalnya adalah bahawa filem tersebut ‘dikhuatiri’ akan mengocak keharmonian kaum di negeri itu.

Apa tidaknya, filem ini yang memaparkan  insiden 13 Mei 1969 dan bagaimana para pemimpin mentadbir negara pada masa yang genting seperti itu.  Selain itu paparan persahabatan dua pemimpin tertinggi negara pada ketika itu, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri memang meruntun naluri.

Kisah bagaimana Tun Dr. Ismail dipanggil semula menyertai kabinet bagi membantu Tun Abdul Razak selepas mengambilalih kepimpinan negara daripada Tunku Abdul Rahman.  Tanda Putera dalam nada yang lain adalah kisah mengenai Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan bagaimana sayang dan kasihnya kepada negara sehingga mengabaikan kesihatan sendiri.

Tun Abdul Razak yang mengidap penyakit leukemia bukan sahaja merahsiakan penyakitnya daripada rakyat dan para pemimpin yang lain malah kepada anak-anak dan isteri tercintanya.

Tun Dr. Ismail pula merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuan umum termasuk kepada sahabat baiknya, Tun Abdul Razak kerana amanah yang diberikan kepadanya untuk menjaga keluarga Tun Abdul Razak sekiranya sesuatu berlaku kepada beliau.  

Insiden rusuhan pasca Pilihanraya Umum 1969 dan sebelumnya dipaparkan berasaskan rentetan sejarah.  Ini termasuklah angkara komunis yang menembak mati Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974, manakala Ketua Polis Perak, Khoo Chong Khong ditembak di Ipoh pada November 1975.  Seorang lagi pegawai polis yang terlibat dalam insiden tembak pada November 1975 adalah DSP Kulasingam yang ditembak 18 das, cedera parah tetapi tidak mati.

Ironinya, komunis pada ketika itu cuba untuk menghapuskan ramai pemimpin negara untuk mewujudkan ketakutan kepada rakyat. Apabila negara diletakkan dibawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Tun Abdul Razak yang menggalas tugas dan tanggungjawab besar untuk mengembalikan keselamatan dan kestabilan negara.

Walaupun keseluruhan ceritanya dinyatakan sebagai kutipan sejarah, namun apa yang jelas kisah-kisah lain misalnya adalah dianyam bagi menghidupkan filem ini di samping mengekalkan unsur dramatiknya.

Selepas ditonton oleh umum, barulah boleh diagak mengapa filem Tanda Putera ditangguhkan tayangan umumnya beberapa kali, ini kerana filem ini secara tidak langsung memaparkan bagaimana kaum Cina ketika itu menyemai kebencian yang amat kepada kaum Melayu kerana insiden 13 Mei 1969.

Selain itu, Tanda Putera juga mungkin pada awalnya dirancang untuk digunakan sebagai satu lagi bahan  ‘kempen’ dalam pilihanraya umum yang lalu bagi menunjukkan sifat dan sikap sebenar masyarakat Cina pada ketika itu, namun hasrat ini tidak diteruskan secara terbuka.

Sebenarnya Tanda Putera tidak ada sebarang keistimewaan kecuali ia lebih merupakan filem biopik mengenai pemimpin negara khususnya Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail yang merupakan sahabat karib dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Di samping itu, Tanda Putera sebenarnya lebih berjaya sebagai filem 'propaganda murahan' yang menyalahgunakan dana awam.

Rasanya Shuhaimi Baba akan lebih berjaya jika filem ini dihasilkan bukan dana kerajaan dan terikat dengan elemen-elemen yang boleh dianggap propaganda murahan.

Tanda Putera buah tangan Shuhaimi Baba  tidak menampakkan  peranan yang dimainkan oleh pemimpin lain, misalnya Datuk Harun Idris yang menjadi Menteri Besar pada ketika itu, malah filem ini sebenarnya akan lebih ‘dihormati’ jika adegan ‘kencing’ tiang bendera ditiadakan!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
itula propanya kot..
siti berkata…
setuju dgn pemilik blog,.boleh pun ditiadakan..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?