APA KHABAR, MIM?

Hari ini negara menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-56 selepas berjaya mendapat kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957.  Selama 56 tahun, pelbagai kejayaan telah dicapai oleh negara yang memilih untuk membangun mengikut acuannya sendiri.

Matlamat untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 telah dimaktubkan berasaskan Wawasan 2020.  Pelbagai agensi telah diwujudkan bagi melaksanakan  dan memastikan agenda Kerajaan dapat dicapai.  Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang ditubuhkan pada tahun 1981, misalnya adalah satu agensi yang bertanggungjawab secara langsung hal-hal mengenai perfilemen di Malaysia.

Industri perfileman (jika pun boleh disebut industri) sama ada filem cereka, dokumentari mahupun iklan adalah antara yang terletak di bawah pengawasan FINAS.  Bagi memastikan bahawa filem-filem iklan benar-benar mencermin wajah ‘Malaysia’ dan tidak ‘dijajah’ secara bawah sedar, FINAS telah memperkenalkan Sijil Akuan Iklan Buatan Malaysia atau ringkasnya Sijil MIM (Made in Malaysia).

Sijil Akuan Iklan Buatan Malaysia (Sijil MIM) diperkenalkan berasaskan Peraturan 4 – Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Perlesenan (1983).  

Antara kriteria yang menjadi pertimbangan untuk ditolak bagi perakuan buatan Malaysia adalah latar belakang tidak di Malaysia. 

Filem-filem iklan yang ditayangkan akhir-akhir ini juga banyak menampilkan wajah-wajah yang sukar dikategorikan sebagai wajah Malaysia, antara yang diperlukan untuk memperolehi Sijil MIM.

Akhir-akhir ini di kaca televisyen dapat diteliti  perkembangan rancak penghasilan filem-filem iklan yang wajah keMalaysiaannya sudah tidak dapat dilihat lagi.  Lihatlah iklan sebuah minuman bikarbonat embun yang dihasilkan pada tahun 2010 dan juga versi yang terbaru, tidak menampakkan langsung ianya menepati ciri-ciri yang ditetapkan dalam perakuan Iklan Buatan Malaysia.

Apakah FINAS kini tidak lagi menguatkuasakan Sijil MIM?  Jika tidak silap, mantan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan, Datuk Joseph Salang dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada November 2010 menegaskan “sijil MIM hanya akan dikeluarkan kepada filem-filem iklan yang diterbitkan oleh filem iklan tempatan sahaja dan filem iklan luar negara boleh digunakan sebagai ‘foreign footage’  atau kakian asing dengan tidak melebihi 30 peratus kakian asing”.

Selepas sekian lama Merdeka, tentulah kita tidak mahu apa yang ditetapkan oleh Kerajaan dengan FINAS sebagai badan kawal selia, isu kebanjiran filem iklan luar dan yang tidak menepati piawaian Sijil MIM disiarkan untuk tatapan rakyat Malaysia.

Apalah maknanya mempunyai peraturan yang boleh dibanggakan oleh pemain industri namun tiada penguatkuasaan berhubung peraturan ini.  Atau adakah pihak-pihak yang membawa masuk filem-filem iklan buatan luar negara dan tidak layak diberikan Sijil MIM, bermain silap mata?

Masanya sudah tiba untuk pihak-pihak yang berkenaan membuka mata, apatah lagi melihat iklan-iklan di kaca televisyen seperti kita menonton saluran televisyen di luar negara!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ingatan yg bagu8s, pun dh lama tak denganr pasal peraturan ini..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?