TALAM & PENYELESAIAN HUTANG



Selepas menghadiri sesi taklimat isu air di Selangor dan isu TALAM  pada hari ini, saya membuat satu kesimpulan yang jelas, ahli politik BN memang dalam keadaan terdesak untuk menawan Selangor daripada pakatan pembangkang.

Saya tidak mahu sangat menyentuh mengenai isu air kerana telah disentuh di dalam entri terdahulu, SYABAS yang berselindung di belakang sokongan Kerajaan Persekutuan amat jelas telah gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pengagih air terawat bagi kegunaan warga Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  

Bekalan air mentah memang mencukupi daripada tujuh buah empangan di Negeri Selangor dan ditambah pula oleh loji Sungai Labu yang bakal beroperasi, namun kegagalan SYABAS menyalurkan air terawat dengan peratus air tidak berbayar masih di tahap tinggi iaitu 32%, menampakkan kegagalan tanggungjawabnya kepada para pengguna seperti saya.

Taklimat hampir tiga jam setengah yang kebanyakkannya dihadiri oleh pemilik industri dan pemaju perumahan di adakan di Pusat Konvensyen Shah Alam.  Apa yang menjadi kegusaran ialah permohonan daripada kalangan pemilik kilang dan pemaju perumahan masih belum diluluskan yang kini telah mencapai lebih 200 permohonan yang tertangguh.

Taklimat mengenai isu TALAM yang hangat dimainkan oleh MCA melalui Datuk Chua Tee Yong, Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani yang juga Ketua Biro Profesional Muda MCA pusat,  di sampaikan oleh YB Tony Pua, Ahli Parlimen PJ Utara yang juga Pengarah Publisiti DAP.  Menariknya sesi taklimat ini seolah-olah menutup mulut kebanyakan mereka yang hadir tanpa apa-apa maklumat mengenai isu TALAM.  

Isu TALAM yang kononnya merupakan satu bentuk ‘bail out’ oleh Kerajaan Negeri Selangor terhadap TALAM disanggah secara fakta malah saya tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Datuk Chua Tee Yong hanyalah sebagai ‘budak belasahan’ kepada usaha menawan semula negeri Selangor.

Taklimat yang begitu jelas bagi setiap isu yang dinyatakan oleh Datuk Chua Tee Yong dijawab secara fakta oleh YB Tony Pua, sehingga tiada sebarang soalan berkaitan dengan isu TALAM oleh yang hadir.  Malangnya semua penjelasan yang dibuat oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor gagal dilaporkan secara berwibawa oleh akhbar-akhbar arus perdana khususnya akhbar yang mempunyai hubungan dengan MCA.  

Ironinya, kesemua hutang oleh TALAM adalah ketika zaman pemerintahan BN, walaupun telah juga diadakan perjanjian penyelesaian pada tahun 2006, namun tiada satu pun yang berjaya dikutip oleh Kerajaan negeri ketika pemerintahan BN dahulu.

Dalam sesi taklimat ini juga diselitkan taklimat oleh pengurusan tertinggi Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) di mana menjawab rasional mengambil pinjaman bank bagi melunaskan pembelian tanah daripada Perbadanan Menteri Besar, yang mana sebagai satu entiti di bawah Kerajaan Negeri melakukan urusniaga atas dasar perniagaan.  

Rasanya adalah lebih baik Datuk Chua Tee Yong memeriksa fakta sebelum menyalak lebih kuat lagi, kerana sebagai seorang akauntan bertauliah, adalah mustahil tidak memahami aspek penyelesaian  hutang TALAM oleh Perbadanan Menteri Besar.  

Sebagai Timbalan Menteri Pertanian & Asas Tani, adalah juga lebih baik, Datuk Chua Tee Yong mencari jalan membantu Kerajaan memperolehi semula apa yang telah diberikan kepada NFC, daripada menyalak mengenai isu TALAM yang hanya mencuit sedikit sana dan sini tanpa melihat keseluruhan proses penyelesaian hutang TALAM oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Datuk Chua Tee Yong juga harus berani menyahut cabaran pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk berdebat secara terbuka bagi membuktikan kesungguhannya mempertahankan fakta-fakta mengenai isu TALAM, daripada terus memberikan gambaran yang salah mengenai biro yang diwakilinya.

Ulasan

anep berkata…
lebih baik dari bn yang melupuskan utang anak ramli..
SIS berkata…
mmg bn terdesak...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?