CATATAN DARI ISTANA



Hari ini sepanjang hari saya berkurung  di istana, namun bukan istana negara tetapi Istana Kehakiman yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, satu-satunya platform tertinggi bagi sistem perundangan negara.



Saya sebenarnya sengaja memilih untuk berada di Mahkamah Rayuan bagi mengikuti sebuah kes yang melibatkan anak kenalan saya.  Kes ini telah berjalan selama 9 tahun dan sepatutnya hari ini adalah hari penghakiman mengenai keputusan terhadap kesalahan yang telah dilakukan.  Bermula dari jam 9.30 sehingga hampir jam 1 tenghari, hanya satu kes sahaja yang dapat didengar, malah itupun terpaksa di sambung selepas rehat pada jam 2.30 petang.

Jika mengikut giliran sebutan kes bagi anak kenalan saya adalah yang ketiga, dan dianggarkan akan selesai sekitar tengahari, namun apa yang menyeronokkan ialah hujah kedua-dua peguam bela dan pendakwa bagi kes yang pertama yang merupakan cubaan menerima rasuah.

Tertuduh sebenarnya telah pun dijatuhi hukuman oleh mahkamah sesyen dan mahkamah tinggi sebelum ini dengan hukuman selama 6 tahun penjara dan denda sebanyak RM300,000 atau empat bulan penjara jika gagal melangsaikan denda tersebut.  Tertuduh juga telah menjalani hukuman penjara selama empat bulan kerana gagal membayar denda.  Sebagai sebuah negara berdaulat, si teruduh dalam kes ini ialah seorang penjawat awam diberikan peluang seluas-luasnya untuk membuat rayuan pada peringkat yang paling tinggi – Mahkamah Rayuan Persekutuan.

Bermula daripada peguambela tertuduh yang memberikan pelbagai hujah bagi menangkis dan melemahkan dakwaan si pendakwa raya, perbicaraan menjadi semakin menarik dan pendedahan demi pendedahan mula dikupas oleh penguambela tertuduh.    Tiga orang hakim yang arif mengetuai perbicaraan mendengar dan mencatat segala hujah.  Selepas giliran peguambela mengemukakan hujah pembelaan, giliran pendakwa untuk menyampaikan hujahnya bagi menangkis hujah pembelaan.

Ketika hampir jam satu tengahari, pendakwa masih menyampaikan hujah-hujahnya sesekali ditempelak oleh para hakim, kelihatannya hujah pendakwaan seperti tidak begitu meyakinkan, mungkin inilah sebabnya banyak kes yang terlepas daripada dakwaan kerana hujah pihak pendakwaan yang tidak begitu meyakinkan. 

Tertuduh dalam kes ini yang merupakan seorang penjawat awam dan pentadbir di peringkat daerah dan sebenarnya mempunyai kuasa untuk melaksanakan keputusan, dituduh dalam cubaan untuk mendapatkan rasuah.  Ruang mahkamah dipenuhi oleh kaum keluarga tertuduh yang telahpun bersara daripada jawatannya dua tahun lepas.  Selepas jam 2.30, hujah pendakwa disambung semula sehingga tiada lagi bantahan daripada kedua-dua belah pihak.  Selepas hampir satu jam para hakim mendengar, akhirnya mereka meminta izin untuk berehat selama sepuluh minit yang sebenarnya bertujuan bagi berbincang dan membuat keputusan.

Pada jam 3.45 para hakim keluar dan ketua hakim membacakan keputusan yang telah mereka bertiga capai sepanjang mengadili dan mendengar rayuan sitertuduh.  Tidak dijangka tertuduh dikekalkan hukuman yang telah dijatuhkan sebelum ini malah tarikh hukuman berkuatkuasa dari tarikh hari ini.  Seperti saya yang mengikuti kes ini daripada pagi tadi, seluruh ahli keluarga tertuduh tidak dapat menahan sebak.  Namun itulah harga yang terpaksa dibayar atas jenayah rasuah walaupun hanya cubaan kerana sebenarnya si tertuduh tidak pun memperolehi wang rasuah yang dimintanya.

Menghampiri jam empat, apabila hakim bertanyakan apakah kes selepas ini, kerana telah menghampiri selesai waktu kerja, peguam anak kenalan saya memohon untuk menangguhkan ke satu tarikh yang lain dan ditetapkan oleh hakim tiga bulan dari tarikh hari ini.  

Walaupun proses rayuan berjalan dengan begitu teliti bagi memberikan keadilan kepada tertuduh, namun apa yang dikesalkan ialah apabila keluarga seperti kenalan saya yang terpaksa berkampung di mahkamah sehari suntuk terpaksa pulang hampa kerana kes rayuannya tidak dapat didengar kerana kesuntukan masa.  Cubalah bayangkan harapan dan perbelanjaan setiap kali hadir ke mahkamah dan terpaksa pulang tanpa apa-apa hasil.  

Ini mungkin contoh terbaik, rakyat didahulukan.  Mungkin pihak-pihak tertentu boleh melakukan sesuatu demi rakyat bagi mengurangkan beban keluarga seperti kenalan saya itu!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
menarik..
Ulasan dipadam berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?