MENGAPA BAYAR LEBIH?


Sama ada kita sedar atau tidak, aspek penyelesaian masalah tidak begitu diberi perhatian.  Mungkin ini kesan daripada penekanan berlebihan terhadap peperiksaan sehingga proses pembelajaran dan pengajaran kelihatan seperti laluan sehala – JALAN PEPERIKSAAN.

Kerajaan kita pada hari ini juga kelihatan seperti tidak kreatif dalam penyelesaian masalah atau mungkin berkiblat kepada sesuatu elemen yang merupakan agenda yang mudah  diterka.  Saya mengatakan demikian kerana akhir-akhir ini pelbagai masalah rakyat tidak ditangani dalam aspek penyelesaian yang kreatif dan inovatif.

Sebagai contoh, sebagai langkah mengurangkan kemalangan jalan raya, pihak-pihak berkenaan lebih mudah memikirkan penyelesaian mengenakan saman yang tinggi.  Begitu juga dalam menangani beban hidup, kerajaan lebih senang meluluskan pelbagai insentif yang akhirnya merupakan penyelesaian jangka pendek dan tidak langsung melihat permasalahan yang sebenarnya.

Apabila Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang  konsesi air terawat mereka dikendalikan oleh pihak SYABAS mengalami gangguan bekalan air, alasan yang diberikan oleh ahli-ahli politik daripada Kerajaan Persekutuan dan pemimpin dangkal daripada kalangan mereka ialah kegagalan pihak Kerajaan Negeri menyetujui projek Langat 2. 

Kerajaan Persekutuan beranggapan (atau sengaja beranggapan) bahawa tanpa projek Langat 2, kemelut air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bakal meruncing.  Walaupun kos projek ini keseluruhannya ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan tetapi sumber dana tersebut diperolehi melalui  pinjaman dari agensi negara Jepun.  Sudah barang tentu, pinjaman ini harus dilunaskan dan satu daripada mekanisme mudah oleh kerajaan ‘Janji Ditepati’ ialah menaikkan kadar tarif  air di samping menjaga kepentingan pihak-pihak seperti SYABAS dan yang seangkatan dengannya.

Kos Projek Langat 2 dianggarkan bernilai RM8.65 billion dan benarkah daripada kos ini tiada satupun ketirisan yang bakal dilabel sebagai ‘dana politik’ kerajaan ‘Janji Ditepati’.  Kelihatannya Kerajaan Persekutuan lebih berminat meneruskan projek Langat 2 daripada memikirkan secara kreatif dan murah bagaimana lebih banyak wang rakyat dapat diselamatkan.  Katalah daripada anggaran kos RM8.65 billion dan hanya 5% atau paling lebih 10% yang digunakan untuk mengurangkan kadar air tidak berbayar (non revenue water) sebanyak 10% yang akan menyumbangkan hampir 500 juta liter air sehari.

Projek Langat 2 yang sangat dicanangkan juga menyalurkan air mentah daripada Pahang yang terpaksa ditanggung oleh Selangor dengan kos sebanyak RM60 juta setahun,  masalahnya di Selangor bukanlah kekurangan air mentah (yang diakui oleh pemimpin dangkal kerajaan ‘Janji Ditepati’) tetapi ialah air terawat.  Kaedah yang lebih mudah dan murah yang melihat permasalahan dasar iaitu berusaha mengurangkan peratusan air tidak berfaedah yang kini pada pada paras 30% kepada hanya 20% atau lebih rendah.  Langkah lain ialah mengoptimumkan keupayaan loji-loji air dan empangan di Selangor.

Mengapa kita harus membelanjakan RM8.65 billion jika masalah yang sama boleh diselesaikan secara kreatif dan inovatif dengan sebahagian  kos daripada RM8.65 billion, bukankah Kerajaan kini melaungkan pendekatan inovatif namun dalam kes ini, kerajaan memilih untuk melaksanakan sesuatu yang mahal walaupun penyelesaian murah ada sebagai alternatif.  Adakah ini sebahagian daripada proses menepati janji kepada ‘kroni’ kerajaan ‘Janji Ditepati’.

Selain itu, khabarnya sebelum ini Projek Langat 1 telah dibina pada tahun 2009 namun ianya juga tidak menyelesaikan masalah air di Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya, dan kini mahu pula meneruskan Projek Langat 2!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
masyuk masyuk..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?