CATATAN DARI ISTANA
Hari
ini sepanjang hari saya berkurung di
istana, namun bukan istana negara tetapi Istana Kehakiman yang menempatkan
Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan, satu-satunya platform tertinggi bagi
sistem perundangan negara.
Saya
sebenarnya sengaja memilih untuk berada di Mahkamah Rayuan bagi mengikuti
sebuah kes yang melibatkan anak kenalan saya.
Kes ini telah berjalan selama 9 tahun dan sepatutnya hari ini adalah
hari penghakiman mengenai keputusan terhadap kesalahan yang telah dilakukan. Bermula dari jam 9.30 sehingga hampir jam 1
tenghari, hanya satu kes sahaja yang dapat didengar, malah itupun terpaksa di
sambung selepas rehat pada jam 2.30 petang.
Jika
mengikut giliran sebutan kes bagi anak kenalan saya adalah yang ketiga, dan
dianggarkan akan selesai sekitar tengahari, namun apa yang menyeronokkan ialah
hujah kedua-dua peguam bela dan pendakwa bagi kes yang pertama yang merupakan
cubaan menerima rasuah.
Tertuduh
sebenarnya telah pun dijatuhi hukuman oleh mahkamah sesyen dan mahkamah tinggi
sebelum ini dengan hukuman selama 6 tahun penjara dan denda sebanyak RM300,000
atau empat bulan penjara jika gagal melangsaikan denda tersebut. Tertuduh juga telah menjalani hukuman penjara
selama empat bulan kerana gagal membayar denda.
Sebagai sebuah negara berdaulat, si teruduh dalam kes ini ialah seorang
penjawat awam diberikan peluang seluas-luasnya untuk membuat rayuan pada
peringkat yang paling tinggi – Mahkamah Rayuan Persekutuan.
Bermula
daripada peguambela tertuduh yang memberikan pelbagai hujah bagi menangkis dan
melemahkan dakwaan si pendakwa raya, perbicaraan menjadi semakin menarik dan
pendedahan demi pendedahan mula dikupas oleh penguambela tertuduh. Tiga
orang hakim yang arif mengetuai perbicaraan mendengar dan mencatat segala
hujah. Selepas giliran peguambela
mengemukakan hujah pembelaan, giliran pendakwa untuk menyampaikan hujahnya bagi
menangkis hujah pembelaan.
Ketika
hampir jam satu tengahari, pendakwa masih menyampaikan hujah-hujahnya sesekali
ditempelak oleh para hakim, kelihatannya hujah pendakwaan seperti tidak begitu
meyakinkan, mungkin inilah sebabnya banyak kes yang terlepas daripada dakwaan
kerana hujah pihak pendakwaan yang tidak begitu meyakinkan.
Tertuduh
dalam kes ini yang merupakan seorang penjawat awam dan pentadbir di peringkat
daerah dan sebenarnya mempunyai kuasa untuk melaksanakan keputusan, dituduh
dalam cubaan untuk mendapatkan rasuah.
Ruang mahkamah dipenuhi oleh kaum keluarga tertuduh yang telahpun
bersara daripada jawatannya dua tahun lepas.
Selepas jam 2.30, hujah pendakwa disambung semula sehingga tiada lagi
bantahan daripada kedua-dua belah pihak.
Selepas hampir satu jam para hakim mendengar, akhirnya mereka meminta
izin untuk berehat selama sepuluh minit yang sebenarnya bertujuan bagi
berbincang dan membuat keputusan.
Pada
jam 3.45 para hakim keluar dan ketua hakim membacakan keputusan yang telah
mereka bertiga capai sepanjang mengadili dan mendengar rayuan sitertuduh. Tidak dijangka tertuduh dikekalkan hukuman
yang telah dijatuhkan sebelum ini malah tarikh hukuman berkuatkuasa dari tarikh
hari ini. Seperti saya yang mengikuti
kes ini daripada pagi tadi, seluruh ahli keluarga tertuduh tidak dapat menahan
sebak. Namun itulah harga yang terpaksa
dibayar atas jenayah rasuah walaupun hanya cubaan kerana sebenarnya si tertuduh
tidak pun memperolehi wang rasuah yang dimintanya.
Menghampiri
jam empat, apabila hakim bertanyakan apakah kes selepas ini, kerana telah
menghampiri selesai waktu kerja, peguam anak kenalan saya memohon untuk menangguhkan ke
satu tarikh yang lain dan ditetapkan oleh hakim tiga bulan dari tarikh hari
ini.
Walaupun
proses rayuan berjalan dengan begitu teliti bagi memberikan keadilan kepada
tertuduh, namun apa yang dikesalkan ialah apabila keluarga seperti kenalan saya
yang terpaksa berkampung di mahkamah sehari suntuk terpaksa pulang hampa kerana
kes rayuannya tidak dapat didengar kerana kesuntukan masa. Cubalah bayangkan harapan dan perbelanjaan
setiap kali hadir ke mahkamah dan terpaksa pulang tanpa apa-apa hasil.
Ini
mungkin contoh terbaik, rakyat didahulukan.
Mungkin pihak-pihak tertentu boleh melakukan sesuatu demi rakyat bagi
mengurangkan beban keluarga seperti kenalan saya itu!
Ulasan