SWITCHOFF ‘14 – RANCANGAN TERGENDALA
Ketika para
penggiat industri perfileman negara melancarkan kempen apa yang dikenali
sebagai Switchoff ’14 – Rancangan Tergendala yang telah dirancang begitu lama,
lain pula kisahnya dengan rangkaian stesen TV terbesar di negara kita – Media Prima. Rangkaian stesen TV terbesar negara kita
semalam mengumumkan skim perpisahan sukarela di kalangan kakitangannya.
Kempen Switchoff ’14
– Rancangan Tergendala adalah inisiatif para penggiat industri perfileman
negara termasuk penerbit drama TV khususnya.
Intipatinya adalah memperjuangkan pelbagai isu antaranya bayaran bagi
drama dan program TV yang dibekalkan yang khabarnya tidak berubah sejak dua
dekad yang lalu.
Dua peneraju industri
penyiaran negara Astro dan Media Prima menjadi sasaran mereka kerana isu
bayaran ini. Kempen ini dianjurkan oleh
gabungan persatuan penggiat televisyen, industri filem dan pengiklanan dan
digerakkan oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM).
Kempen ini
khabarnya dihadiri oleh hampir 200 orang penggiat industri pada hari
pelancarannya rasminya pada 21 Oktober yang lalu. Ianya bakal mengadakan himpunan pada 11
November nanti dan dijangka lebih 1000 penggiat industri bakal hadir. Jika benarlah hal ini ianya satu kejayaan
kepada para penggiat indusrtri, ini kerana ramai yang tahu bahawa penggiat industri
khususnya perfileman dan drama di negara kita sukar untuk bersatu dan
menyatakan pendirian mereka.
Malah dalam industri
ini juga bukanlah sesuatu yang mustahil terdapat isu tikam belakang dan pilih
kasih antara stesen TV tertentu.
Bukanlah rahsia industri jika ada stesen televisyen yang menetapkan
bayaran yang berbeza mengikut selera mereka, malah para pelakon juga ditentukan
oleh stesen televisyen atas alasan komersil.
Kempen Switchoff ’14
– Rancangan Tergendala melalui himpunan pada 11 November nanti bakal
menyerahkan memorandum 11 perkara untuk tindakan pihak-pihak tertentu khususnya
yang terlibat secara langsung dalam industri penyiaran negara.
Antara 11 perkara dimuatkan
dalam memorandum yang bakal diserahkan adalah gesaan untuk mewujudkan akta industri
kandungan kreatif; penekanan terhadap hak harta intelek yang lebih adil dan
munasabah; menaikkan kadar harga dengan penekanan terhadap penyelarasan harga
slot kandungan di stesen TV; pengagihan slot TV yang lebih adil dengan
penekanan terhadap 70% kandungan tempatan; penguatkuasaan polisi kandungan
buatan tempatan.
Isu harga slot
kandungan adalah cerita yang telah lama berlegar dalam industri apatah lagi
bayaran yang tidak banyak bezanya sejak dua puluh tahun yang lalu. Walaupun ada penerbit yang mendapat bayaran
yang agak tinggi namun purata para penerbit sebenarnya tertekan dengan isu
bayaran oleh stesen TV.
Bayangkan sebuah
stesen TV yang membeli drama TV dari penerbit akan serta merta memperolehi hak
penyiaran dengan penerbitnya selepas bayaran diselesaikan dan stesen TV
tersebut pula dengan rasa tidak bersalah akan mengulangtayang sesuka hati
mereka tanpa perlu membayar sebarang bentuk royalti kepada penerbitnya.
Dalam usaha kita bercakap mengenai hak cipta dah
hak harta intelek, stesen TV adalah seperti ‘lanun cetak rompak’ yang meletakkan
maruah hak intelek di tepi longkang premis mereka.
Selain itu, stesen
TV juga seolah-olah menjadi perompak siang hari apabila bukan sahaja meletakkan
bayaran mengikut selera mereka dengan nada tidak terucap “take it or leave it” yang menjadikan para penerbit khususnya
penerbit kecil makan hati, kerana itu adalah industri pilihan mereka namun
terpaksa menelannya walaupun terpaksa membuat ‘penyelarasan kualiti’ terhadap
hasil karya mereka.
Isu stesen TV
terlibat dalam penghasilan iklan juga bukanlah sesuatu yang asing apabila
stesen TV dengan segala peralatan dan sumber menghasilkan iklan dan memberikan
jenama baru yang merobek pemain industri yang terlibat dengan pengiklanan
secara langsung.
Rasanya kempen
seperti Switch Off ’14 – Rancangan Tergendala
harus disokong bagi menjamin kelangsungan industri perfileman dan kreatif negara selain memartabatkan hak
dan nilai intelek pada kedudukan yang sewajarnya.
Tiada gunanya kita
bercakap mengenai dana itu dan ini jika bayaran penghasil kandungan masih di
tahap ‘ciput’ dan cukup-cukup makan dengan kualiti yang diselaraskan dengan
bayaran yang ‘ciput’!
Bersatulah
penggiat industri untuk melihat kejayaan Switch
Off ’14 – Rancangan Tergendala!
Ulasan