SWITCHOFF ‘14 – RANCANGAN TERGENDALA

Ketika para penggiat industri perfileman negara melancarkan kempen apa yang dikenali sebagai Switchoff ’14 – Rancangan Tergendala yang telah dirancang begitu lama, lain pula kisahnya dengan rangkaian stesen TV terbesar di negara kita – Media Prima.  Rangkaian stesen TV terbesar negara kita semalam mengumumkan skim perpisahan sukarela di kalangan kakitangannya.

Kempen Switchoff ’14 – Rancangan Tergendala adalah inisiatif para penggiat industri perfileman negara termasuk penerbit drama TV khususnya.  Intipatinya adalah memperjuangkan pelbagai isu antaranya bayaran bagi drama dan program TV yang dibekalkan yang khabarnya tidak berubah sejak dua dekad yang lalu.

Dua peneraju industri penyiaran negara Astro dan Media Prima menjadi sasaran mereka kerana isu bayaran ini.  Kempen ini dianjurkan oleh gabungan persatuan penggiat televisyen, industri filem dan pengiklanan dan digerakkan oleh Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM). 

Kempen ini khabarnya dihadiri oleh hampir 200 orang penggiat industri pada hari pelancarannya rasminya pada 21 Oktober yang lalu.  Ianya bakal mengadakan himpunan pada 11 November nanti dan dijangka lebih 1000 penggiat industri bakal hadir.  Jika benarlah hal ini ianya satu kejayaan kepada para penggiat indusrtri, ini kerana ramai yang tahu bahawa penggiat industri khususnya perfileman dan drama di negara kita sukar untuk bersatu dan menyatakan pendirian mereka.

Malah dalam industri ini juga bukanlah sesuatu yang mustahil terdapat isu tikam belakang dan pilih kasih antara stesen TV tertentu.  Bukanlah rahsia industri jika ada stesen televisyen yang menetapkan bayaran yang berbeza mengikut selera mereka, malah para pelakon juga ditentukan oleh stesen televisyen atas alasan komersil.

Kempen Switchoff ’14 – Rancangan Tergendala melalui himpunan pada 11 November nanti bakal menyerahkan memorandum 11 perkara untuk tindakan pihak-pihak tertentu khususnya yang terlibat secara langsung dalam industri penyiaran negara.

Antara 11 perkara dimuatkan dalam memorandum yang bakal diserahkan adalah gesaan untuk mewujudkan akta industri kandungan kreatif; penekanan terhadap hak harta intelek yang lebih adil dan munasabah; menaikkan kadar harga dengan penekanan terhadap penyelarasan harga slot kandungan di stesen TV; pengagihan slot TV yang lebih adil dengan penekanan terhadap 70% kandungan tempatan; penguatkuasaan polisi kandungan buatan tempatan.

Isu harga slot kandungan adalah cerita yang telah lama berlegar dalam industri apatah lagi bayaran yang tidak banyak bezanya sejak dua puluh tahun yang lalu.  Walaupun ada penerbit yang mendapat bayaran yang agak tinggi namun purata para penerbit sebenarnya tertekan dengan isu bayaran oleh stesen TV. 

Bayangkan sebuah stesen TV yang membeli drama TV dari penerbit akan serta merta memperolehi hak penyiaran dengan penerbitnya selepas bayaran diselesaikan dan stesen TV tersebut pula dengan rasa tidak bersalah akan mengulangtayang sesuka hati mereka tanpa perlu membayar sebarang bentuk royalti kepada penerbitnya.

Dalam  usaha kita bercakap mengenai hak cipta dah hak harta intelek, stesen TV adalah seperti ‘lanun cetak rompak’ yang meletakkan maruah hak intelek di tepi longkang premis mereka.

Selain itu, stesen TV juga seolah-olah menjadi perompak siang hari apabila bukan sahaja meletakkan bayaran mengikut selera mereka dengan nada tidak terucap “take it or leave it” yang menjadikan para penerbit khususnya penerbit kecil makan hati, kerana itu adalah industri pilihan mereka namun terpaksa menelannya walaupun terpaksa membuat ‘penyelarasan kualiti’ terhadap hasil karya mereka.

Isu stesen TV terlibat dalam penghasilan iklan juga bukanlah sesuatu yang asing apabila stesen TV dengan segala peralatan dan sumber menghasilkan iklan dan memberikan jenama baru yang merobek pemain industri yang terlibat dengan pengiklanan secara langsung.

Rasanya kempen seperti Switch Off ’14 – Rancangan Tergendala harus disokong bagi menjamin kelangsungan industri perfileman  dan kreatif negara selain memartabatkan hak dan nilai intelek pada kedudukan yang sewajarnya. 

Tiada gunanya kita bercakap mengenai dana itu dan ini jika bayaran penghasil kandungan masih di tahap ‘ciput’ dan cukup-cukup makan dengan kualiti yang diselaraskan dengan bayaran yang ‘ciput’!

Bersatulah penggiat industri untuk melihat kejayaan Switch Off ’14 – Rancangan Tergendala!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
mmg patut pun...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?