BULI, MENGAPA TERUK SANGAT?

Saya tidak pasti sama ada saya mempunyai hak untuk mempersoalkan Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan berhubung dengan peningkatan kes buli akhir-akhir ini.

Sebagai seorang bapa, saya telah menetapkan polisi bahawa kesemua anak saya sama ada lelaki mahupun perempuan akan menjalani kehidupan sebagai penghuni asrama.  Sama ada asrama penuh mahupun asrama harian.

Terbaru adalah apabila sebuah klip video yang dimuatkan dalam laman internet menjadi wabak apabila memamaparkan insiden buli melibatkan pelajar sekolah.  Apatah lagi insiden yang dipaparkan berlaku di asrama sekolah.

Ini bukanlah kali pertama klip video buli menghiasi laman internet.  Telah ada beberapa kali dengan pelbagai insiden buli melibatkan pelajar sekolah.

Untungnya dengan kecanggihan telefon dan internet, pihak sekolah mahupun Kementerian Pendidikan tidak lagi boleh menafikan sewenang-wenangnya insiden buli di sekolah.

Sebagai seorang bapa yang mempunyai anak yang tinggal di asrama, tentulah perkembangan buli akhir-akhir ini boleh mengurangkan lena tidur.

Pada masa ini gejala buli bukan sahaja dilakukan oleh pelajar lelaki malah pelajar perempuan juga terlibat akhir-akhir ini, dan tidak hanya di bandar malah di luar bandar juga.

Pada tahun 2006, ketika Datuk Seri Hishamuddin menjadi Menteri Pelajaran, saya terlibat dalam kempen anti buli yang digerakkan oleh Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin Murid (JIMGD).

Selepas beberapa tahun kini diwujudkan pula program yang dinamakan Sistem Kawalan Disiplin Murid (e-Disiplin) yang khabarnya dapat mengesan dan mengawal tingkahlaku murid.

Soalnya dengan bilangan ratusan pelajar yang tinggal di asrama bagi sesebuah sekolah tentulah amat mustahil untuk warden mengawasi mereka.  Malah tidak mustahil nisbah murid dan warden boleh mencapai sehingga 60 murid bagi seorang warden.

Jikapun kita mempunyai sistem yang maha canggih, penglibatan ibu bapa secara total adalah tuntutan terbaik bagi mengekang gejala buli.  Peranan ibu bapa dan institusi keluarga perlu digembelingkan sebaik mungkin. 

Adakah sistem yang ada sekarang tidak begitu efektif sehingga masalah buli masih berlaku walaupun tidak begitu berleluasa.

Adakah mekanisme yang membolehkan faktor akauntabiliti kepada para ibu bapa terhadap kesalahan buli yang dilakukan oleh anak-anak mereka dilaksanakan.  Mungkin para pengamal perundangan boleh memikirkan untuk mengaitkan ibu bapa dengan salah laku anak-anak yang masih bersekolah.


Apa sudah jadi dengan kempen 3K, Kempen Sekolah Selamat dan sebagainya, harapannya kejadian buli sehingga membawa maut akan sentiasa mengingatkan kita tentang kemelut buli walau sekecil manapun.  

Janganlah para pentadbir dan pemimpin politik yang masih menganggap isu buli adalah ‘isu terpencil’!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
pinjam cakp politikus - kes terpencil hi hi hi..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?