BODOH ORANG CERDIK!
Saya
hampir tergelak membaca dalam akhbar bagaimana ada pihak-pihak yang membantah
permohonan lesen menjual arak dalam sebuah pasaraya di Bandar Baru Bangi. Bantahan ini khabarnya diketuai oleh Ketua
Pemuda UMNO Serdang, Ahmad Yani Ahmad Aziz.
Malah
gambar yang disiarkan di dalam akhbar dengan berlatarbelakangkan tulisan ‘Sidang
Media UMNO Bahagian Serdang’. Tidak
pasti saya adakah ini gimik awal atau ‘gazzette’
menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada hujung bulan
nanti.
Memanglah
kita harus memerangi kemungkaran dalam apa bentuk dengan apa cara
sekalipun. Tiada salahnya Pemuda UMNO
bersama para penduduk Islam di Bangi membantah permohonan lesen menjual arak yang
dikemukakan oleh pasaraya Aeon.
Sebagai
sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, penjualan arak secara
terbuka juga perlu mendapat persetujuan daripada penduduk sekitarnya. Para penduduk boleh membuat bantahan
sekiranya mereka tidak bersetuju dengan permohonan tersebut.
Daripada
aspek perundangan, para penduduk memang mempunyai hak untuk membantah seperti
yang dinyatakan dalam iklan permohonan yang disiarkan di dalam akhbar tempatan.
Seingat
saya, Bangi diisytihar sebagai Bandar ilmu pada bulan Julai 2007 dan
perasmiannya disempurnakan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang menjadi Menteri
Besar Selangor pada 22 Jun 2008 sempena 30 tahun Bandar Baru Bangi.
Penduduk
Bandar Baru Bangi (BBB) memang selayaknya memperjuangkan kawasan kediaman
mereka sebagai Bandar ilmu, ini kerana BBB dikelilingi institusi-institusi
pengajian tinggi yang terdiri daripada UKM, UNITEN, UniKL, USIM, Universiti
Multimedia, KUIS dan Kolej Universiti Nilai malah kawasan ini juga terdapat
banyak lagi institusi penyelidikan.
Dengan
impian begitu besar dan hasrat menjadikan BBB sebagai Bandar Ilmu, kehadiran
pelbagai entiti perniagaan di kawasan mereka seakan digeruni apatah lagi jika
sebuah pasaraya besar memohon lesen menjual arak secara borong dengan alasan “70
peratus daripada penduduk Bangi adalah beragama Islam”.
Ironinya,
bantahan ini digerakkan oleh Pemuda UMNO Serdang dan bukannya PAS yang kononnya
memperjuangkan Islam. Adakah Bandar Baru
Bangi akan menerima nasib yang sama seperti Bandaraya Shah Alam yang
majoritinya adalah penduduk Islam, namun bukan sahaja penjualan arak oleh kedai
serbaneka malah juga mempunyai kilang arak.
Beberapa
tahun yang lalu, Jabatan Agama Islam Selangor pernah menyerbu dan merampas kedai-kedai
serbaneka yang menjual arak namun terpaksa mengalah kepada tuntutan DAP serta
PKR, ini kerana undang-undang berhubung penjualan arak lebih memberi kuasa
kepada Kerajaan Persekutuan berbanding kerajaan negeri.
Sekiranya
para penduduk Bandar Baru Bangi berjaya dalam bantahan mereka, seharusnya
mereka patut mendapat pujian malah Pemuda UMNO Serdang mampu mendabik dada
mengenai usaha mereka membantu para penduduk Bandar Baru Bangi.
Sekiranya
usaha ini tidak berjaya, cadangan saya Pemuda UMNO Serdang membahaskannya dalam
Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung nanti, malah umat Islam di
seluruh negara akan berterima kasih kepada Pemuda UMNO Serdang sekiranya di
akhir perhimpunan nanti diputuskan bahawa Malaysia bakal menjadi negara bebas
arak!
Terima
kasih Pemuda UMNO Serdang.
Ulasan