BODOH ORANG CERDIK!

Saya hampir tergelak membaca dalam akhbar bagaimana ada pihak-pihak yang membantah permohonan lesen menjual arak dalam sebuah pasaraya di Bandar Baru Bangi.  Bantahan ini khabarnya diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Serdang, Ahmad Yani Ahmad Aziz. 

Malah gambar yang disiarkan di dalam akhbar dengan berlatarbelakangkan tulisan ‘Sidang Media UMNO Bahagian Serdang’.  Tidak pasti saya adakah ini gimik awal atau ‘gazzette’ menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada hujung bulan nanti.

Memanglah kita harus memerangi kemungkaran dalam apa bentuk dengan apa cara sekalipun.  Tiada salahnya Pemuda UMNO bersama para penduduk Islam di Bangi  membantah permohonan lesen menjual arak yang dikemukakan oleh pasaraya Aeon.

Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, penjualan arak secara terbuka juga perlu mendapat persetujuan daripada penduduk sekitarnya.  Para penduduk boleh membuat bantahan sekiranya mereka tidak bersetuju dengan permohonan tersebut.

Daripada aspek perundangan, para penduduk memang mempunyai hak untuk membantah seperti yang dinyatakan dalam iklan permohonan yang disiarkan di dalam akhbar tempatan.

Seingat saya, Bangi diisytihar sebagai Bandar ilmu pada bulan Julai 2007 dan perasmiannya disempurnakan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang menjadi Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008 sempena 30 tahun Bandar Baru Bangi.

Penduduk Bandar Baru Bangi (BBB) memang selayaknya memperjuangkan kawasan kediaman mereka sebagai Bandar ilmu, ini kerana BBB dikelilingi institusi-institusi pengajian tinggi yang terdiri daripada UKM, UNITEN, UniKL, USIM, Universiti Multimedia, KUIS dan Kolej Universiti Nilai malah kawasan ini juga terdapat banyak lagi institusi penyelidikan.

Dengan impian begitu besar dan hasrat menjadikan BBB sebagai Bandar Ilmu, kehadiran pelbagai entiti perniagaan di kawasan mereka seakan digeruni apatah lagi jika sebuah pasaraya besar memohon lesen menjual arak secara borong dengan alasan “70 peratus daripada penduduk Bangi adalah beragama Islam”.

Ironinya, bantahan ini digerakkan oleh Pemuda UMNO Serdang dan bukannya PAS yang kononnya memperjuangkan Islam.  Adakah Bandar Baru Bangi akan menerima nasib yang sama seperti Bandaraya Shah Alam yang majoritinya adalah penduduk Islam, namun bukan sahaja penjualan arak oleh kedai serbaneka malah juga mempunyai kilang arak.

Beberapa tahun yang lalu, Jabatan Agama Islam Selangor pernah menyerbu dan merampas kedai-kedai serbaneka yang menjual arak namun terpaksa mengalah kepada tuntutan DAP serta PKR, ini kerana undang-undang berhubung penjualan arak lebih memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan berbanding kerajaan negeri.

Sekiranya para penduduk Bandar Baru Bangi berjaya dalam bantahan mereka, seharusnya mereka patut mendapat pujian malah Pemuda UMNO Serdang mampu mendabik dada mengenai usaha mereka membantu para penduduk Bandar Baru Bangi.

Sekiranya usaha ini tidak berjaya, cadangan saya Pemuda UMNO Serdang membahaskannya dalam Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung nanti, malah umat Islam di seluruh negara akan berterima kasih kepada Pemuda UMNO Serdang sekiranya di akhir perhimpunan nanti diputuskan bahawa Malaysia bakal menjadi negara bebas arak! 


Terima kasih Pemuda UMNO Serdang.

Ulasan

barajiwa berkata…
Bertempik sorak di depan khalayak untuk tontonan ialah satu bentuk wayang yang selama ini, biasanya berkesan. Usaha begini gagal bila ramai yang berfikir dan menjadi lebih kritis. Mereka yang berfikir juga berani menyoal perbuatan-perbuatan sebegini. Oleh itu marilah kita galakkan tindakan, bukan lagi menonton percakapan atau membaca teks muluk-muluk yang sepanjang zaman tidur dan tak pernah bangun-bangun itu. Wallahuaklam.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?