MANA KEUNTUNGAN UNTUK RAKYAT?

Seronok membaca mengenai syarikat-syarikat melaporkan mencatatkan keuntungan.  Tidak kiralah syarikat swasta, berkaitan kerajaan atau syarikat yang terlibat langsung dengan kerajaan.

Jika syarikat swasta, tentulah keuntungan akan dipulangkan dalam bentuk imbuhan kepada pengarah dan pemiliknya.  Jika syarikat tersenarai pula ianya akan dikembalikan dalam bentuk dividen kepadan para pemegang sahamnya selepas imbuhan kepada pihak pekerja dan pengurusan diberikan sewajarnya.

Tetapi jika syarikat yang dimaksudkan adalah entiti yang dikawalselia oleh Kerajaan maka apa yang paling wajar adalah adalah mengembalikannya kepada rakyat.  Apatah lagi jika pelanggannya adalah rakyat jelata yang hampir 30 peratus menikmati Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Semalam dilaporkan bahawa syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM6.4 billion bagi tahun 2013.  Ianya adalah seperti yang dilaporkan bagi tempoh tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2013.

Sebagai rakyat jelata tentulah kita mengucapkan tahniah kepada pihak semua pihak dalam TNB termasuk kakitangan dan pengurusan mereka. 

Namun sebagai rakyat jelata juga kita mungkin bertanya, apalah makna jika sebuah entiti seperti Tenaga Nasional mencatatkan keuntungan bersih berbillion ringgit namun hasilnya tidak terpancar secara jelas dan nyata dalam bentuk imbuhan kepada para pelanggannya pengguna elektrik seperti anda dan saya.

Dengan catatan keuntungan bersih berbillion ringgit, khabarnya TNB masih bernafsu untuk meningkatkan tarif elektrik penggunanya.

Pada awal tahun ini, tarif elektrik dinaikkan sebanyak 15% kepada 38.53 sen per kilowatt jam (kWh). 

Rakyat biasa seperti anda dan saya tentulah tidak memahami bahasa ekonomi seperti yang diungkap oleh pegawai kanan MyPower Corporation Berhad, Azimah Abdul Aziz.

“Kos sebenar kuasa tanpa subsidi sekitar 42 sen per kWh seperti dicadangkan ke atas tarif semasa 38.53 sen per kWh.  Memandangkan kos minyak dijangka naik, jurang antara kos sebenar dan tarif semasa dijangka melebar”.

Adakah ini bermakna, rakyat akan sentiasa diberi tanggapan bahawa kerajaan ‘mendahulukan rakyat’ akan sepanjang masa dimomokan dengan ungkapan ‘subsidi kerajaan’ sungguhpun penyedia perkhidmatannya mencatat keuntungan bersih berbillion ringgit?

Matematik mudah bagi rakyat adalah meningkatkan prestasi, mengurangkan ketirisan dalam segala bentuk dan akhirnya memulangkan atau mengekalkan tarif elektrik pada kadar serendah-rendahnya!

Rakyat tidak mungkin mahu tahu apa yang dinikmati oleh para pengarah, pengurusan dan kakitangan syarikat, namun bagi rakyat jelata seperti anda dan saya yang membaca mengenai keuntungan bersih berbillion ringgit, tentulah berita kenaikan tarif elektrik seperti sesuatu yang tidak munasabah dan keterlaluan.

Apalah maknanya keuntungan melimpah ruah berbillion ringgit, namun tidak dapat dinikmati oleh ‘pemegang saham’ utamanya – rakyat.

Entiti seperti TNB seharusnya mencari jalan mengekalkan tarif pada kadar paling rendah dengan langkah bijak pengurusan dan pelaburan bagi membolehkan rakyat menikmati lebih banyak manfaat daripada keuntungan mereka.


Mungkin selepas ini akan ada ahli politik bebal yang akan mengatakan “sebenarnya tariff kita masih ditahap rendah”! 

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
rakyat didahulukan utk kenaikan trif sahja..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?