LETIH PM DUA PENGGAL!

Semalam ketika merasmikan Konvensyen UMNO Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional  melahirkan rasa malu dan letih kerana bergelar pembangkang di negeri Selangor.

“Saya rasa letih dan sangat memalukan apabila kita (BN) dipanggil pembangkang”.

Memang sepatutnya Perdana Menteri merasakan demikian.  Ini kerana sejak tahun 2008 negeri Selangor berada di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.  Sebagai negeri termaju, Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas tsunami politik pada Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008.

Selepas itu, BN telah melipatgandakan usaha untuk merebut Selangor dengan kempen ‘Yakini BN, Sayangi Selangor’ dengan diketuai oleh Datuk Sri Mohd Zin Mohamed.  Namun bukan sahaja gagal merebut Selangor namun dimalukan apabila pakatan rakyat berjaya menambah kerusi di DUN Selangor.  Datuk Sri Mohd Zin yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Sepang juga tewas kepada calon PAS.

Pada PRU 13, BN hanya memenangi 12 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri di Selangor berbanding 20 yang dimenangi dalam PRU 12.  Ironinya ketika itu Perdana Menteri sendiri mengetuai UMNO Selangor bagi menghadapi PRU 13.

Kini UMNO Selangor diketuai oleh Datuk Seri Noh Omar sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, dan harapan menggunung untuk merebut kembali negeri Selangor daripada pakatan rakyat terletak kepada beliau.

Tidak pasti di mana silapnya prestasi BN merudum begitu teruk sehingga kehilangan lebih banyak kerusi kepada Pakatan Rakyat dalam PRU 13.  

Dengan krisis Menteri Besar yang menguasai politik Selangor sejak permulaan tahun ini dan hanya selesai sebulan yang lalu, tentulah kelihatannya di atas kertas, BN mampu merampas kembali negeri Selangor apabila rakyat merasa meluat dengan permainan politik berlebihan di Selangor sehinggga memaksa Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan kerusi Menteri Besar.

Kini Azmin Ali mengambilalih sebagai Menteri Besar selepas mendapat perkenan Sultan Selangor. Politik dan krisis di Selangor beransur reda.  Soalnya adakah BN mampu merampas Selangor selepas prestasi hambar mereka pada PRU 13 dan kemelut kepimpinan dalam kalangan Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Konvensyen pada kali ini yang bertemakan ‘Bersama Melaksanakan Transformasi’ dihadiri lebih 2000 ahlinya di semua peringkat di negeri Selangor.

Khabarnya lima gerak kerja iaitu memperkasa dan merancang strategi; memperkasa jentera parti; memasyarakatkan parti; memikat pengundi; dan memenangi kembali negeri Selangor.  Bunyinya memang enak untuk didengar namun pelaksanaannya memerlukan pengorbanan bukan sedikit apatah lagi dengan konsep turun padang yang diamalkan oleh Menteri Besar yang baru, Azmin Ali.

Seperti mana-mana parti yang berjaya keluar daripada kemelut dan masalah, tentulah ianya akan menjadi lebih kuat, berhati-hati agar tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh para pemimpin mereka yang terdahulu.

Mungkin sewaktu krisis Menteri Besar Selangor ramai yang beranggapan bahawa BN mempunyai peluang cerah untuk merebut kembali negeri tersebut, apatah lagi apabila krisis yang berpanjangan mengundang kemurkaan Sultan. 

Sebagai Sultan, tentulah baginda tidak mahu rakyat terheret sama dalam kemelut parti, maka apabila Azmin Ali diperkenan sebagai Menteri Besar, beliau terus melaksanakan amanah dan tugas malah memecah rekod Menteri Besar Selangor dari Pakatan Rakyat yang pertama membuat lawatan ke Pulau Ketam.  Lawatan seperti ini nampaknya seperti tiada apa-apa namun bagi rakyat inilah bukti keprihatinan pemimpin Kerajaan terhadap mereka.

Datuk Seri Noh Omar dan rakan-rakan dalam BN memang mempunyai peluang yang cerah untuk merebut kembali jika mereka terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai sebuah ‘kerajaan negeri’ serta prihatin dan sentiasa turun padang.  Tumpuan harus diberikan kepada 8 buah DUN yang tidak berjaya dipertahankan pada PRU 13 dan melakukan kajian kes mengenai kekalahan mereka di kawasan tersebut.

Tanggapan bahawa krisis Selangor akan menguntungkan BN harus segera di tangkis.  Ini bukan seperti dalam permainan badminton yang memberikan mata daripada kesilapan lawannya!


Kepada Datuk Seri Noh Omar dan rakan-rakan dalam BN, Selamat Berjuang demi mengembalikan Selangor ke pangkuan BN di samping  mengurangkan letih dan malu Perdana Menteri supaya tidak berpanjangan tiga penggal.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
boleh ke...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?