MAHA YANG TERBAIK!


Ketika tulisan ini dimuatnaik, pameran agrotani dan indusri, Malaysian Agriculture, Horticulture & Agrotourism Show (MAHA) 2014 baru sahaja melabuhkan tirainya. 

Pameran dwitahunan itu yang bermula pada 20 November yang lalu telah berlangsung di Pusat Pameran Pertanian Serdang (MAEPS) selama 11 hari.

Sejak ianya dihidupkan semula dalam format seperti hari ini pada tahun 1999, pameran MAHA telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Agrotani pada skala yang besar.  Pelbagai elemen telah disuntik bagi memastikan bahawa pameran ini akan mencapai sasaran penganjurannya.

Sejak ianya ditukar kepada format  seperti sekarang, MAHA telah dirasmikan oleh tiga orang Perdana Menteri yang dimulai oleh Datuk Seri Dr. Mahathir (kini Tun) merasmikan MAHA 1999 yang telah berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, pada 26 Ogos – 31 Ogos 1999.

Selepas mengundurkan diri pada Oktober 2003, MAHA 2004, 2006 dan 2008 dirasmikan oleh Perdana Menteri yang kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun). Pameran MAHA 2004 masih lagi berlangsung di The Mines, dengan 550 gerai pameran.

Pameran MAHA 2006 buat pertama kali berlangsung di lokasi sekarang iaitu di MAEPS dengan penyertaan hampir 2000 syarikat berlangsung pada 11 – 23 Ogos 2006.  Pameran pada tahun tersebut telah menggamit lebih sejuta pengunjung berbanding hanya 200,000 ketika pada tahun 1999.

Selain tiga orang Perdana Menteri terlibat secara langsung dalam penganjuran MAHA setiap dua tahun, MAHA juga menyaksikan sentuhan beberapa orang Menteri Pertanian yang terlibat dalam penganjurannya.

Datuk Seri Affendy Norwawi yang ketika itu menyandang jawatan Menteri Pertanian memulakan era penganjuran MAHA pada tahun 1999 dan kemudiannya pada tahun 2002 sebelum Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Agrotani ketika dalam kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga adalah Menteri yang memperkenal aspek komersil dalam pertanian apabila memperkenalkan tema ‘Pertanian Adalah Perniagaan’.

Datuk Seri Noh Omar juga terlibat sebagai Menteri Pertanian dan Industri Agrotani dalam penganjuran MAHA 2010 dan 2012.

Sebagai seorang pengunjung MAHA sejak pertama kali pada tahun 1999 dan sentiasa menjadi pengunjung setia setiap kali MAHA berlangsung, MAHA 2014 akan sentiasa diingati sebagai MAHA yang terbaik daripada segi penganjurannya.

Pelbagai elemen diperkenalkan pada MAHA 2014 ini, antaranya adalah aplikasi MAHA 2014 yang boleh dimuaturun melalui telefon pintar samada untuk platform Android atau iOS.

Selain itu, MAHA 2014 juga dimulakan dengan dua hari pertama didedikasikan kepada kelompok perniagaan iaitu pada 20 dan 21 yang dibuka untuk golongan peniaga dan tidak kepada orang awam.  Ini adalah membolehkan program pemadanan perniagaan berlangsung demi memberikan manfaat kepada syarikat-syarikat yang menyertai MAHA 2014.

Jika pada tahun ini berlangsung pemilihan UMNO, maka Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Menteri yang terlibat dengan penganjuran MAHA 2014, tentulah akan menjadi kelebihan kepada beliau.

Sasaran pengunjung seramai 3.5 juta orang adalah angka yang realistik memandangkan laluan di hadapan MAEPS sentiasa sesak sepanjang berlangsungnya MAHA 2014 ini. 

Khabarnya pengujung yang hadir telah melepasi sasaran pengunjung yang ditetapkan.

Tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa MAHA 2014 adalah yang terbaik setakat ini daripada segi penganjurannya walaupun akan terdapat kelemahan-kelemahan kecil khususnya daripada aspek logistik, namun sepanjang menghadiri MAHA sejak di Bukit Jalil sehingga ke MAEPS, MAHA 2014 adalah yang terbaik.


Tahniah kepada Menteri Pertanian dan Industri Agrotani, Datuk Seri Ismail Sabri yang telah meninggalkan legasi yang kukuh yang harus ditandingi oleh siapa sahaja yang menerajui Kementerian ini pada sesi penganjuran MAHA 2016 nanti!
Share this article :
 

+ komen + 1 komen

Tanpa Nama
1 Disember 2014 6:59 PG

setuju...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger