BUTA ITU CINTA?

Kita sering menonton cinta, sama ada di layar perak atau dalam realiti kehidupan sebenar.  Beberapa waktu dahulu saya pernah terfikir untuk mengabadikan kisah cinta dari aksiom yang popular – cinta itu buta.  

Tetapi apa yang sebenarnya mahu digambarkan adalah kisah cinta insan yang buta.  Itu kisah Rashid dan Shila yang bermain dalam fikiran saya.  Kisah Rashid dan Shila pernah saya tulis dalam entri bertarikh 11 Oktober 2012.

Cinta itu buta adalah aksiom yang lazim digunakan, tetapi menggambarkan kisah cinta pasangan buta bukanlah sesuatu yang mudah.  Itu intipati filem Tamil yang saya tonton pada minggu lepas.

Filem ‘Cuckoo’ (bunyi burung) bertolak daripada kisah cinta pasangan buta Tamizh dan Sudhandhirakodi (Kodi). Dikisahkan dalam bentuk imbas kembali, Cuckoo mengisahkan perjalanan kisah cinta pasangan ini daripada kaca mata seorang wartawan yang pernah memaparkan kisah hidup mereka.

Tuhan Maha Kaya, di sebalik kekurangan penglihatan, Tamizh dianugerahkan suara yang lunak sehingga mampu memukau para penonton dengan nyanyiannya. 

Cuckoo digarap oleh pengarah pertama kali Raja Murugan yang merupakan bekas wartawan yang menulis mengenai kisah cinta pasangan buta ketika menjadi wartawan majalah.

Dalam Cuckoo, kehidupan seharian dan perlakuan insan istimewa kurang penglihatan digambarkan dengan begitu selamba namun sangat teliti.  Misalnya adegan apabila si buta bertanyakan pendapat mengenai sesorang kepada sahabatnya yang juga buta, secara sinis sebenarnya menempelak kita yang celik.

Kisah pasangan Tamizh dan Kodi dalam Cuckoo bermula bagaimana mereka bertemu, bercinta dan mendapat halangan apabila Kodi yang bercita-cita menjadi seorang guru mahu dijodohkan dengan kenalan abangnya yang mempunyai agendanya sendiri.

Manusia rakus seperti abang Kodi yang menjadi pengawal keselamatan, kenalan abangnya yang berhasrat mempergunakan Kodi apabila berkahwin kelak, polis yang tidak amanah serta ahli politik yang terlibat dengan politik wang, semuanya membentuk premis cerita yang memaksa kita menilai kemanusiaan yang semakin menipis.

Lawak dalam Cuckoo juga adalah lawak yang biasa oleh kalangan insan istimewa yang diselitkan dengan sifat kepura-puraan seperti juga insan celik yang lain.  Dalam ertikata lain, Cuckoo tidak meminta simpati para penontonnya kerana itu adalah realiti sebenar kehidupan.

Walaupun Cuckoo tidak dibintangi oleh para pelakon daripada kalangan mereka yang buta, namun watak utama dalam filem ini memberikan lakonan yang mantap seolah-olah kita sebenarnya sedang berdepan dengan pasangan yang buta. 


Di tangan pengarah muda Raja Murugan, Cuckoo seperti menggerakkan kamera kepada watak-watak di dalamnya tanpa perlu pengarahan, ini kerana watak-wataknya hidup seperti biasa dan bukannya seperti berlakon dalam filem! 

Ulasan

anep berkata…
mcm best je..
SIS berkata…
CINTA ITU BUTA..bila cinta itu tak mengenal siapa tapi kalau BUTA ITU CINTA..maknanya seolah2 disebabkan BUTA itulah penyebab CINTA...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?