SALAM HARI PEKERJA!
Selepas
hampir lima dekad menghirup udara di bumi tuhan, saya telah melalui pelbagai
fasa dalam kehidupan. Sebagai seorang
anak kemudian menjadi bapa, sebagai seorang majikan kecil, menjadi pekerja,
menjadi majikan dewasa di samping pernah memimpin sekumpulan pekerja di bawah
saya.
Benarlah
kata orang, hanya jauhari mengenal maknikam.
Tiada siapa pun yang dapat merasai jerit perih seorang pekerja jika
tidak pernah melalui dan mengalaminya sendiri.
Alam adalah sebaik-baik guru.
Setiap
kali tibanya 1 Mei, ingatan sebagai pekerja dan orang bawahan saya akan
sentiasa mengisi kolam kenangan. Selama
hayat meraikan hari pekerja tentulah ada sesuatu yang sentiasa menjadi impian
saya, impian saya ialah mengharapkan agar para pekerja tidak lagi dianggap sebagai
orang bawahan, tetapi haruslah dianggap sebagai ‘bos’ dan rakan organisasi.
Pekerja
sebagai bos bukanlah sesuatu yang mustahil.
Di negara maju para pekerja merupakan aset bagi sesebuah
organisasi. Namun lain ceritanya di
negara kita, organisasi besar seperti syarikat berkaitan kerajaan yang meraih
keuntungan berbilion ringgit saban tahun sebenarnya gagal melihat peranan
pekerja dengan sebaiknya.
Sungguhpun
terdapat anugerah majikan cemerlang, pekerja cemerlang dan sebagainya, namun
lihat sahajalah bagaimana pekerja khususnya di peringkat bawahan sentiasa
merasa terpinggir. Siapakah yang
mengingati seorang pembantu am rendah berbanding seorang eksekutif.
Pengalaman
saya sendiri bagaimana di sebuah organisasi penyiaran, dasar pilih kasih yang
tidak langsung begitu ketara di antara pekerja eksekutif dan bukan
eksekutif. Layanan dwi standard semacam
ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan para pekerja.
Apabila
seorang pekerja bawahan terlantar sakit, bilangan ‘bos’ yang hadir boleh
dibilang dengan sebelah jari sahaja, namun jika seorang ‘bos’ hanya mengalami
selsema dan batuk yang biasa, lihat pula deretan yang mengunjunginya.
Bos
hanya akan bersikap manis, jika memerlukan sesuatu bentuk tugasan dilaksanakan
demi mereka. Ketika itu, sikap hipokrit
paling tinggi tiba-tiba sahaja menunjukkan sisinya.
Lihatlah
pekerja dari kacamata kemanusiaan. Pekerja bukanlah robot yang tidak mempunyai
perasaan. Saya juga mempunyai pengalaman
bagaimana seorang ‘bos’ melihat pekerjanya tidak lebih daripada sampah. Malah dengan bangga memberitahu bahawa ‘aku
bayar gaji’, dalam konteks yang sempit, tanggapan itu adalah benar namun perlu
juga diingat ‘wang bukanlah segalanya’.
Pekerja
masih manusia, perlukan penghargaan dan dihormati. Malah teori Marslow yang dihadam oleh jutaan
manusia yang mempelajari asas pengurusan meletakkan keperluan manusia berubah
mengikut keluk kehidupan.
Yang
paling mudah ditanyai oleh para bos adalah adakah mereka mahu diperlakukan
seperti ‘sampah’ jika mereka, anak mereka atau ahli keluarga mereka menjadi
seorang pekerja. Manusia sebagai bos,
majikan atau apa sahaja istilah yang digunapakai sentiasa menjadi khalifah dan
hamba di muka bumi ini.
Putaran
roda kehidupan kadang-kadang meletakkan pekerja hari ini menjadi majikan hari
esok dan sebaliknya. Walau sebesar
manapun kita sebagai majikan berpada-padalah pada para pekerja. Sebaik-baik kita sebagai majikan, majikan
yang terbaik adalah Allah SWT. Salam
Hari Pekerja 2014!
Ulasan