SELAMAT DATANG TUAN PRESIDEN
Salam
1Malaysia Tuan Presiden, selamat datang ke negara kami. Kami negara kecil berjiwa besar, dunia tidak
begitu mengenali negara kami kecuali selepas kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac yang lalu. Kami pun menjadi sangat terkenal, apa
tidaknya pintu masuk kami sangat liberal dan mesra pengganas sehingga ada
penumpang yang menggunakan passport curi tanpa dapat dikesan.
Tuan
Presiden,
Gelaran
Presiden seperti yang digunakan oleh tuan selepas dilantik sebagai ketua negara
bukanlah apa-apa. Di negara kami,
ungkapan presiden adalah sangat lumrah di negara kami. Jadi janganlah tuan perasan dengan gelaran
Presiden yang tuan gunakan.
Ketua-ketua
parti dinegara kami juga digelar Presiden.
Malah perdana menteri kami juga adalah presiden parti UMNO yang telah
berusia lebih 60 tahun itu. Parti
orang-orang India seperti MIC dan MUIP juga diketuai oleh seorang presiden,
begitu juga parti dominan orang-orang Cina di negara kami, MCA. Malah jika ada kalangan rakyat negara kami
yang sealiran dengan pimpinan negara kami dan mempunyai sebilangan pengikut,
dia juga boleh menjadi presiden misalnya Presiden Kelab Poligami.
Kami
tidak begitu pasti tujuan lawatan tuan, namun khabarnya lawatan tuan adalah memenuhi
janji seperti yang diungkapkan oleh Duta kami ke negara tuan. Khabarnya juga tuan sepatutnya melawat kami
pada bulan Oktober yang lalu, namun terpaksa ditangguhkan.
Kali
terakhir seorang presiden negara tuan mengunjungi negara kami adalah pada tahun
1966, sekitar 40 tahun yang lampau, ketika itu Perdana Menteri kami adalah almarhum
Tuanku Abdul Rahman. Sempena lawatan
tuan presiden negara tuan ketika itu, sebuah penempatan yang diuruskan oleh
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan telah dinamakan sebagai FELDA Lyndon B.
Johnson.
Sempena
lawatan tuan ke negara kami, tidak pasti apa pula yang bakal dinamakan dengan
nama tuan. Namun itu bukanlah
persoalannya. Apalah ada pada nama.
Tuan
Presiden,
Bahang
kehilangan pesawat MH370 masih sangat terasa walaupun selepas hampir dua
bulan. Malah pemangku Menteri
Pengangkutan (mesti tuan tertanya-tanya mengapa pula jawatan Menteri Pengangkutan
sekadar dipangku) dikhabarkan melaporkan bahawa warga Cina dan keluarga mereka
telah dapat menerima dan faham mengenai kehilangan pesawat MH370. Namun lain pula ceritanya oleh laporan luar
negara termasuk media dari negara tuan.
Walaupun
tuan antara rakan sejawat yang dikagumi malah dipercayai oleh pimpinan negara
kami, namun media-media negara tuan tidak begitu dipercayai atau tidak
digalakan untuk dipercayai oleh pimpinan negara kami.
Tuan
Presiden,
Nasib
tidak menyebelahi tuan kerana tidak berpeluang untuk melihat himpunan yang
dirancang untuk diadakan pada 1 Mei nanti.
Memanglah tuan boleh saja menonton dan mendengar perkhabaran mengenainya
daripada laporan media. Khabarnya salah
satu agenda himpunan ini adalah membantah Perjanjian Transpasifik (TPPA) yang
negara tuan menjadi terajunya.
Ramai
di kalangan rakyat negara kami sebenarnya amat sangsi dengan intipati
perjanjian TPPA. Seperti kehilangan
pesawat MH370 yang diselubungi misteri malah menimbulkan pelbagai persoalan
berbanding jawapan begitu juga dengan TPPA.
Jika
mengikut pandangan pakar-pakar yang sealiran dengan tuan malah pimpinan negara
kami juga seperti sudah bersedia mahu melaksanakan kecuali perkara-perkara yang
melibatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan kami.
Untuk
pengetahuan tuan, ada juga kalangan pakar kami yang telah menimba ilmu di
negara tuan berfikiran bahawa TPPA akan membawa lebih banyak kemudaratan
daripada kebaikan kepada negara kami.
Adakah ilmu yang diajar di negara tuan berbeza pengisiannya kepada
rakyat negara tuan dan pelajar negara luar.
Tuan
Presiden,
Nampaknya
lawatan tuan pada kali ini sangat memberi kesan apatah lagi ketika pimpinan
kami sedang dilanda krisis keyakinan dan kepimpinan. Ianya berpunca daripada kehilangan pesawat
MH370 dan ditambah pula dengan pelbagai isu-isu semasa yang menyebabkan peratus
keyakinan rakyat terhadap kerajaan menjadi kurang.
Selain
itu, tentulah akan mengambil masa yang agak lama seorang lagi Presiden dari
negara tuan mahu melawat negara kecil berjiwa besar seperti kami. Semoga lawatan tuan ke negara kami akan
memberikan kekuatan moral kepada para pemimpin kami yang sangat mereka
dahagakan.
Sempena
lawatan tuan, setem kenang-kenangan juga dilancarkan oleh pihak berkuasa pos di
negara kami. Malah tentu tuan akan
berbangga bahawa lawatan tuan ke negara kami akan mendapat liputan malah
khabarnya akan disiarkan secara langsung, dengan selitan komersil oleh
syarikat-syarikat makanan segera daripada negara tuan.
Kami
sebenarnya berbangga dengan kehadiran tuan ke negara kecil berjiwa besar kami,
apa tidaknya tayar kenderaan rasmi tuan sepanjang 5 meter dan seberat 7500
kilogram sebenarnya dihasilkan oleh ladang getah kami. Pada awal bulan ini, para penoreh getah dan
pemilik ladang getah berhimpun membantah kemerosotan harga getah, walaupun
barangan berasaskkan getah semakin meningkat harganya di pasaran.
Semoga
tuan akan sentiasa mengenang lawatan singkat tuan ke negara kami dan menyimpan kemas
dalam memori tuan walaupun ada spekulasi liar yang mengaitkan negara tuan
dengan kehilangan pesawat MH370 kami!
Janganlah
tuan risau mengenai spekulasi liar dan tidak berasas itu, kerana pimpinan
negara kami telah memberikan amaran keras kepada rakyat negara ini untuk tidak
mempercayai spekulasi dan hanya percaya kepada sumber yang sahih. Selamat datang Tuan Presiden.
Ulasan